Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

 PREVIU - EVERTON LWN MAN UNITED

United harus waspada jiwa ‘berontak’ Everton

 Rasa marah dipotong 10 mata secara tidak adil semarakkan semangat Toffees
Nov 26, 2023 | 05:31 AM



LIVERPOOL: Satu ketidakadilan yang amat besar. Tragedi bola sepak. Pasukan ‘kaya’ boleh lepas daripada tindakan tetapi pasukan kerdil tiada pembelaan.


Demikian antara reaksi para penyokong Everton setelah pasukan tersebut dihukum dengan pemotongan 10 mata, setelah didapati bersalah melanggar peraturan keuntungan dan kemampanan Liga Perdana England.

Ini setelah pasukan bergelar Toffees itu menanggung jumlah kerugian melebihi apa yang dibenarkan buat tiga musim berturut-turut. Antara musim 2019-2020 dengan 2021-2022, Everton telah kerugian £124.5 juta ($209.3 juta) – lebih tinggi daripada £105 juta yang dibenarkan.

“Peraturannya agak jelas, dan semua orang yang rasional dapat melihat bahawa Everton gagal mematuhinya, sekali gus wajar didenda,” kata bekas pemain midfield Everton, Leon Osman, yang kini pengulas bola sepak.

“Namun, perasaan marah yang meluap-luap ini berlatarbelakangkan kelewatan pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas pasukan lebih kaya seperti Manchester City dan Chelsea,” ujar beliau.

Man City dan Chelsea turut berdepan tuduhan melanggar peraturan yang sama dengan City menghadapi 115 tuduhan.

“Namun, persepsinya ialah dengan sumber kewangan kelab-kelab ini yang lebih besar, mereka mampu melewatkan dan akhirnya mengatasi tuduhan tersebut menerusi saluran undang-undang,” tambah Osman.

Dalam konteks perlawanan malam ini (12.30 tengah malam waktu Singapura) menentang Manchester United, Osman berkata ketidakadilan yang menimpa Toffees boleh dijadikan pembakar semangat.

“10 mata yang dipotong memang tidak ideal, tapi ia juga bukan bermakna musim Everton sudah berakhir. Jika mereka berjaya merebut tiga mata menentang United, mereka boleh mula mendaki tangga liga semula,” ujarnya.

Perkara itulah yang diharapkan pengurus Everton, Sean Dyche.

Beliau enggan mengulas panjang mengenai hukuman yang dikenakan ke atas pasukannya, namun menerangkan keputusan yang dianggap tidak adil itu telah membakar semangat anak buahnya.

“Perasaan seperti diperlaku secara tidak adil, perasaan geram dan marah ini, kami boleh salurkan kepada sesuatu yang positif... bermula dengan perlawanan sukar menentang United.

“Ia merupakan minggu yang amat menarik... ramai pemain yang tidak ada di kelab semasa hukuman dijatuhkan, dan apabila mereka pulang mereka tidak tahu apa untuk difikirkan.

“Kami perlu cepat mengatasi perasaan dan kemelut ini. Ia di luar bidang kuasa kami, pasukan jurulatih dan pemain. Jadi kami hanya boleh memberi respons di dalam bidang kuasa kami, iaitu di padang,” ujar beliau.

Bekas pemain United yang kini menyarung jersi Everton, James Garner, berkata beliau dan rakan-rakan sepasukan sudah mula menerima keadaan dan fokus kepada tugasan seterusnya.

“Sejujurnya ia mengecewakan kerana kami telah berjuang untuk mendapatkan 10 mata tersebut sehingga membawa kelab ini ke kedudukan yang lebih selesa menyusuli permulaan musim yang kurang sempurna.

“Namun, ia adalah sesuatu yang sudah berlaku dan kami kini harus menyalurkan tenaga dan emosi kepada perlawanan menentang United.

“Bagi saya perlawanan ini mempunyai elemen sentimental kerana saya membesar dan dewasa sebagai seorang individu, seorang pemain bola sepak di Old Trafford, tetapi dengan segala yang berlaku, saya hanya memikirkan tiga mata sahaja,” tambah Garner, antara pemain muda yang menyerlah di United, bahkan merupakan kapten pasukan belia Red Devils.

Pengurus United, Erik Ten Hag, berkata beliau memahami kekecewaan yang dihadapi Everton.

Namun, beliau menarik perhatian, cabaran kewangan perlu dipertimbang apabila sesebuah pasukan itu melaksanakan proses pembangunan semula seperti United.

“Anda ada wang tidak semestinya anda boleh berbelanja sesuka hati. Itu cabarannya, dan saya rasa dari segi prinsip, ia adalah baik untuk bola sepak,” ujar beliau.

Sedang beliau bersimpati dengan keadaan yang menimpa Everton, Ten Hag berkata seluruh pasukan United hanya fokus kepada tugas mereka di Goodison Park.

“Everton adalah tempat yang sukar untuk mendapatkan mata penuh, jadi kami tidak mampu hilang fokus,” ujarnya.

Bekas penyerang United, Dimitar Berbatov, berkata United mempunyai kelebihan dari segi kualiti pemain.

Namun, apabila bertandang ke Goodison Park, selain bakat mereka juga perlu menyaingi Everton dengan semangat dan kerja keras.

“Anda tidak akan ada masa ambil mudah, walau sesaat pun, apabila anda bermain menentang Everton di Goodison Park.

“Penyokong mereka begitu bersemangat dan bermati-matian menyokong pasukan mereka. Elemen penyokong seolah-olah menjadi pemain ke-12 bagi Everton,” ujar beliau.

Bersetuju, pemain bek tengah United, Jonny Evans, menerangkan bahawa pasukannya perlu menjaringkan gol pertama.

“Gol pertama adalah penting. Jika Everton mendapat gol pertama, dengan sokongan penyokong mereka, Goodison Park menjadi tempat yang lebih sukar untuk kami.

“Jadi apa pun yang berlaku, kami harus kekal tenang,” kata beliau lagi.

Berbatov berkata United sekali lagi perlu mengatasi masalah kecederaan mereka.

Menurut beliau, tiada siapa yang dapat meramalkan kesebelasan utama United dengan begitu banyak masalah kecederaan.

“Kalau tidak silap, tujuh atau lapan pemain utama kini cedera, manakala keadaan pemain seperti Hojlund dan Onana belum diketahui.

“United benar-benar perlu mengatasi masalah kecederaan mereka secepat mungkin, dan berharap tiada kecederaan baru.

“Sementara itu, mereka harus berjuang, menyaingi semangat dan kesungguhan pasukan seperti Everton untuk mengutip mata penuh dan meneruskan kebangkitan dan peningkatan mereka secara bertahap-tahap,” ujarnya.

Diminta mengulas mengenai senarai kecederaan, Ten Hag berkata beliau mahu bercakap mengenai pemain yang bersedia untuk beraksi dan bukan mereka yang tidak akan diturunkan.

“Kecederaan adalah lumrah bola sepak. Apa yang kami lalui sejak perlawanan pertama musim, ia sesuatu yang sukar dipercayai. Kami hanya mampu meneruskan perjuangan dan memandangkan ke depan,” tambah beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >