Ketua jurulatih Lions, Gavin Lee, menyambut baik kepelbagaian posisi dan fleksibiliti taktikal Perry Ng selepas pemain pertahanan Cardiff City itu berjaya memperoleh kewarganegaraan Singapura.

Bercakap kepada media buat kali pertama sejak Ng diberikan kewarganegaraan Singapura - sekali gus membuka laluan buatnya melakukan penampilan sulung untuk Singa di Piala Asia - Lee berkata kehadiran pemain berpengalaman itu mampu memberikan pasukan kelebihan penting ketika berdepan situasi perlawanan yang sukar.

Lee berkata berita mengenai naturalisasi Ng turut disambut baik oleh pemain-pemain Singa, terutama kerana pemain berusia 30 tahun itu sudah beberapa kali menyertai kem latihan pasukan kebangsaan sejak 2024.

Ng juga bukan wajah baharu buat sebahagian besar pemain dan barisan kejurulatihan, setelah menjalani latihan bersama Singa serta menyertai beberapa aktiviti pasukan sebelum memperoleh kewarganegaraan.

“Para pemain juga teruja kerana beliau sudah bersama kami di beberapa kem sebelum ini, berlatih bersama kami.

“Beliau seorang yang baik dan pasti akan menyumbang kepada pasukan dalam pelbagai cara,” kata Lee.

Bagi Lee, nilai terbesar yang boleh dibawa Ng bukan semata-mata pengalaman bermain di England, tetapi keupayaannya membantu Singapura menghadapi lawan dan situasi dengan tahap intensiti yang lebih tinggi.

Ng memainkan peranan penting dalam kempen Cardiff yang kembali ke Liga Kejuaraan (satu tahap di bawah Liga Perdana England) selepas hanya semusim di Liga Satu.

Beliau turut menjaringkan gol ketika Cardiff menewaskan Reading 3-1 pada April untuk mengesahkan kenaikan ke Liga Kejuaraan tersebut.

Pada penghujung musim 2025/26, Ng turut dipilih dalam Kesebelasan Terbaik Liga Satu PFA, satu pengiktirafan terhadap persembahan mantapnya bersama Cardiff.

Lee melihat pengalaman tersebut sebagai satu aset yang boleh membantu Lions.

“Beliau jelas bermain di tahap yang sangat tinggi,

“Jadi apabila seseorang yang berada di tahap seperti itu datang dan menyertai kita, beliau akan terus memberikan kita keupayaan untuk berdepan lawan yang sukar ... beliau memperkukuhkan keupayaan kami,” kata Lee.

Namun bagi Lee, akhirnya status Ng sebagai pemain naturalisasi bukan perkara utama.

Apa yang lebih penting ialah kesediaannya untuk benar-benar menjadi sebahagian daripada pasukan dan memahami tanggungjawab yang datang dengan menyarung jersi Singapura.

“Dan akhirnya, terpulang kepada pemain itu untuk menunjukkan kepada semua bahawa beliau benar-benar layak apabila beliau menyarungkan jersi ini.

“Beliau mahu mewakili negara, beliau mahu menyanyikan Majulah Singapura bersama kami, dan beliau sebahagian daripada kami,” kata Lee.