Ramai dalam kalangan penyokong bola sepak di Singapura mula tahu mengenai hasrat Perry Ng menyarung jersi negara sejak beberapa tahun lalu.

Namun tidak ramai menyedari bahawa perjalanan Ng untuk menjadi warga Singapura sebenarnya sudah bermula hampir 13 tahun lalu – ketika beliau sendiri masih belum lagi bergelar pemain profesional.

Lama sebelum muncul sebagai antara tonggak utama Cardiff City yang akan kembali beraksi dalam Liga Championship – divisyen kedua terunggul di England – pada musim depan, Ng bersama bapanya, Perry Sr, telah mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak berkepentingan di Singapura untuk meneroka kemungkinan beliau mewakili Singapura, iaitu negara asal mendiang datuknya, James Ng.

Selepas lebih sedekad melalui pelbagai fasa penuh ketidakpastian, impian itu akhirnya dilihat semakin hampir menjadi kenyataan.

“Perjalanan ini bermula ketika saya berusia sekitar 17 tahun. Kami telah berkunjung ke Singapura untuk bercuti bersama keluarga dan kami mengambil kesempatan untuk bertemu beberapa individu mengenai kemungkinan saya mewakili Singapura,” katanya ketika ditemui Berita Minggu (BM).

“Tetapi ketika itu, tiada siapa benar-benar tahu bagaimana proses itu boleh dimulakan.

“Selepas itu, beberapa tahun berlalu tanpa apa-apa perkembangan dan saya mula berfikir mungkin ia tidak akan berlaku.”

Ketika itu, Ng masih di awal perjalanan kerjayanya dan belum pun membuat penampilan bersama skuad utama Crewe Alexandra.

Pemain pertahanan kelahiran England, Perry Ng, layak untuk mewakili Singapura kerana pertalian dengan datuknya yang lahir di Singapura sebelum berhijrah ke Liverpool.
Pemain pertahanan kelahiran England, Perry Ng, layak untuk mewakili Singapura kerana pertalian dengan datuknya yang lahir di Singapura sebelum berhijrah ke Liverpool. - Foto ihsan PERRY NG

Namun, hasrat untuk mewakili Singapura sudah lama terpahat dalam dirinya, didorong oleh pertalian keluarganya dengan Republik ini menerusi mendiang datuknya.

Menurutnya, usaha awal itu bukanlah hasil pendekatan daripada pihak Singapura.

Sebaliknya, beliau dan bapanya sendiri yang berusaha mencari saluran bagi memahami proses untuk membolehkannya mewakili Singapura.

“Sejak awal lagi, saya dan ayah yang cuba mengatur pertemuan itu, bukannya pihak lain yang menghubungi kami terlebih dahulu,” kata Ng.

“Saya memang sentiasa mahu melakukan perkara ini. Saya sentiasa mahu mewakili Singapura.”

Walaupun usaha awal itu tidak membuahkan hasil, hasrat Ng tidak pernah berubah.

Malah, beliau pernah menyuarakan secara terbuka keinginannya untuk mewakili Singapura beberapa tahun sebelum proses kerakyatannya kembali digerakkan, membuktikan impian itu bukan sesuatu yang hanya muncul selepas beliau menempa nama di England.

Namun, usaha itu seakan-akan menemui jalan buntu.

Selama bertahun-tahun, tiada perkembangan yang benar-benar membawa beliau lebih hampir kepada impian tersebut.

Walaupun begitu, kerjaya Ng di padang terus bergerak pantas.

Prestasi konsistennya bersama Crewe Alexandra dan Wigan Athletic membuka pintu untuk menyertai Cardiff City pada 2022.

Bersama kelab Wales itu, beliau berkembang menjadi antara pemain paling penting bagi Cardiff City.

Perry Ng bukan sekadar pemain skuad, tetapi antara pemain penting dalam pasukan. Sumbangan beliau membolehkan beliau memenangi anugerah Pemain Terbaik untuk dua musim (2023 dan 2024) bersama Cardiff City.
Perry Ng bukan sekadar pemain skuad, tetapi antara pemain penting dalam pasukan. Sumbangan beliau membolehkan beliau memenangi anugerah Pemain Terbaik untuk dua musim (2023 dan 2024) bersama Cardiff City. - Foto Instagram BUSTERNG

Di sebalik perkembangan kerjayanya di England, impian menyarung jersi Singapura tidak pernah padam.

“Saya sentiasa merasakan sesuatu akan berubah suatu hari nanti, tetapi untuk beberapa tahun memang tiada apa yang berlaku,” katanya.

Titik perubahan akhirnya tiba sekitar tiga tahun lalu.

Menurut Ng, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Bernard Tan, menghubunginya dan sejak itu proses berkenaan mula bergerak semula.

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan bahawa Ng sedang menjalani proses mendapatkan kerakyatan Singapura menerusi Skim Bakat Sukan Asing, sekali gus menghidupkan semula impian yang hampir terkubur itu.

“Momentum itu terus berkembang sehingga hari ini. Sekarang saya berada di Singapura selama sebulan dan saya rasa kami semakin hampir,” katanya sambil tersenyum.

“Tetapi kami masih perlu bersabar. Saya masih begitu mahu menjayakannya dan berharap suatu hari nanti ia menjadi kenyataan.”

Perjalanan panjang itu kemudian memasuki satu lagi fasa penting apabila Ng menerima status Penduduk Tetap (PR) Singapura.

Bagi beliau, status PR itu bukan sekadar satu dokumen rasmi, malah bukti bahawa impian yang mula dipupuk ketika berusia 17 tahun akhirnya mula menjadi kenyataan.

Beliau mengakui berasa gementar ketika menunggu giliran mengambil kad pengenalannya di ibu pejabat Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

“Saya dan keluarga pergi bersama-sama ke ICA. Saya sendiri tidak tahu kenapa saya berasa gementar ketika menunggu giliran.”

“Tetapi apabila akhirnya saya menerimanya, ia satu perasaan yang luar biasa.”

Sepanjang berada di Singapura, Ng bukan sahaja telah menjalani latihan bersama skuad negara, malah menyaksikan aksi pemain nasional semasa menentang China di Stadium Jalan Besar.

Namun, pengalaman itu turut meninggalkan rasa terkilan kerana beliau hanya mampu menjadi penonton.

“Sudah tentu ia satu pengalaman yang hebat, tetapi pada masa sama ia mengecewakan kerana saya terlalu ingin berada di dalam padang.”

Selepas perlawanan itu, Ng turut meluangkan masa bersama penyokong setia SingaBrigade, yang disifatkannya sebagai antara pengalaman paling menyeronokkan sepanjang berada di Singapura.

“Mereka begitu luar biasa sekali. Saya tidak tahu bagaimana mereka mampu melompat dan menyanyi tanpa henti.”

“Ia mengingatkan saya kepada penyokong Liverpool ketika saya masih kecil. Malah, mungkin mereka lebih ‘gila’ daripada penyokong Liverpool,” katanya sambil ketawa.

Kini, dengan Singapura meneruskan perjuangan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027, penyokong tempatan pastinya berharap proses kerakyatan Ng dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat agar pemain pertahanan berusia 30 tahun itu akhirnya berpeluang memperkuatkan benteng skuad negara.

Apa yang paling sering bermain di fikirannya ialah detik pertama melangkah keluar ke padang Stadium Negara dengan jersi Singapura di hadapan keluarga serta ribuan penyokong tempatan yang telah lama menantikan kehadirannya.

“Saya rasa ia akan menjadi saat yang penuh emosi... dengan keluarga saya berada di stadium, saya rasa sukar untuk menggambarkan bagaimana perasaan itu nanti.

“Saya selalu memainkan gambaran itu dalam fikiran saya.

“Saya harap suatu hari nanti ia benar-benar akan menjadi kenyataan,” katanya.

Pemain pertahanan Cardiff City, Perry Ng, berkongsi bersama Berita Harian bahawa hasrat untuk mewakili Singapura sudah pun berputik sejak lebih 10 tahun lalu.
Pemain pertahanan Cardiff City, Perry Ng, berkongsi bersama Berita Harian bahawa hasrat untuk mewakili Singapura sudah pun berputik sejak lebih 10 tahun lalu. - Foto BH oleh FANDY RAZAK