Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Singa Muda kurang semangat juang, inisiatif manfaat peluang?

Skuad bawah 22 tahun perlu tebus kekecewaan tewas 1-3 di tangan Timor-Leste dengan pamerkan keinginan lebih tinggi
Dec 7, 2025 | 9:50 PM
Kumpulan A Sukan SEA 2025, Singapura, Timor-Leste
Dua emosi berbeza dapat disaksikan di Stadium Rajamangala ketika perlawanan Kumpulan A Sukan SEA 2025 antara bawah 22 tahun Singapura dengan Timor-Leste. Singapura tewas 1-3 dalam perlawanan tersebut. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Ketika pasukan bola sepak bawah 22 tahun Singapura tumpas 1-3 di tangan Timor-Leste pada 6 Disember, bukan setakat keputusannya yang membimbangkan penyokong setempat.

Sebaliknya, rasa dahaga dan semangat juang yang penyokong ingin lihat daripada para pemain muda ini seakan tidak dipamerkan.

Sudah semestinya penyokong kecewa, kerana kempen Sukan SEA 2025 Singapura di ambang penyingkiran.

Anak buah Firdaus Kassim kini menghadapi misi hampir mustahil pada perlawanan terakhir Kumpulan A menentang Thailand pada 11 Disember.

Mereka perlu menang perlawanan itu dengan jumlah gol yang besar, dan berharap keputusan kumpulan lain memihak kepada mereka.

Bukan itu sahaja, dengan masa singkat sebelum perlawanan menentang pasukan tuan rumah itu, Firdaus perlu mengatasi cabaran dalam menanamkan keberanian serta sikap inginkan lebih daripada lawan, dalam diri para pemain.

Hanya tiga pasukan teratas daripada tiga kumpulan, serta pasukan di tempat kedua terbaik, akan menempah tiket ke separuh akhir.

Singa Muda kini menduduki tangga ketiga kumpulan tanpa sebarang mata, di belakang Thailand dan Timor-Leste, kedua-duanya memiliki tiga mata.

Bolehkah pembangunan pemain dijadikan alasan?

Penyokong memahami bahawa skuad bawah 22 tahun negara merupakan pasukan pembangunan yang mempunyai kekangan seperti Perkhidmatan Negara (NS) dan persekolahan.

Walau demikian, tidak cukup untuk menjadikan hal itu sebagai alasan untuk tidak bermati-matian di padang.

Mereka perlu menunjukkan mereka inginkan kemenangan lebih daripada pasukan lawan.

Ketika menentang Timor-Leste, anak buah Firdaus kelihatan lesu dan jarang memberi tekanan.

Malah, Timor-Leste, yang baru dibelasah Thailand 1-6 pada 3 Disember, menunjukkan keinginan yang lebih tinggi.

Larian yang bertenaga dan tidak gentar untuk menghadapi pertahanan Singa wajar diberi pengiktirafan.

Pemain Singapura, Andrew Aw (jersi merah), kelihatan sedang berebut bola dengan pemain Timor-Leste, Luis Figo.
Pemain Singapura, Andrew Aw (jersi merah), kelihatan sedang berebut bola dengan pemain Timor-Leste, Luis Figo. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Jurulatih Timor-Leste, Emral Bustamam, bangga dengan kejayaan anak buahnya dan berkongsi, antara ‘rahsia’ kejayaan mereka ialah keinginan pemain untuk mempamerkan potensi mereka.

Menurutnya, pemainnya berkemungkinan ingin menonjolkannya di hadapan kelab di Thailand agar dapat mencapai impian bermain di sana.

Dalam sidang media selepas perlawanan yang diadakan di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, Emral, berkata:

“Timor-Leste berada di bawah Singapura dari segi kemudahan… tetapi para pemain bekerja keras walaupun mereka tidak mendapat faedah kewangan yang mencukupi.

“Kemenangan ini sangat bermakna bagi kami.”

Singa Muda kurang keupayaan taktikal, inisiatif

Antara sebab Timor-Leste mencapai kemenangan ialah pemain Singapura hanya melihat bola dan tidak menutup ruang, membiarkan bahagian tengah melopong, serta tidak melakukan larian berbahaya di bahagian serangan.

Pemain seperti, Olagar Xavier, Zenivio Mota, dan Vabio Canavaro, mempunyai banyak ruang untuk mengucar-ngacirkan pertahanan Singa.

Malah, untuk dua jaringan pertama mereka, tiada pemain Singapura yang menutup ruang di tengah kotak penalti.

Ini memberi Timor-Leste peluang mudah untuk melakukan rembatan.

Dari sudut serangan pula, Singa Muda jarang membuat larian berbahaya melepasi bahagian pertahanan lawan.

Hantaran ke bahagian serangan sering disia-siakan, lantas tidak membuahkan peluang jaringan yang banyak.

Untuk mengatasinya, pemain muda ini perlu lebih banyak mengambil inisiatif, mendapatkan bola dan bijak mengawal permainan.

Penyerang dan kapten Timor-Leste, Zenivio Mota (jersi putih), merupakan antara sinar pasukannya dengan gelecek dan larian berbahaya yang sekali gus mengucar-ngacirkan pertahanan Singapura.
Penyerang dan kapten Timor-Leste, Zenivio Mota (jersi putih), merupakan antara sinar pasukannya dengan gelecek dan larian berbahaya yang sekali gus mengucar-ngacirkan pertahanan Singapura. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Selepas perlawanan tersebut, Firdaus meminta maaf kepada penyokong atas persembahan anak buahnya.

Namun, beliau menambah bahawa persembahan pasukannya bukan kerana kurang berusaha.

Beliau berkata: “Kami memohon maaf kepada para penyokong. Ini bukan apa yang mereka jangkakan.

“Kami harap mereka dapat memahami bahawa ini adalah sebahagian daripada perjalanan untuk membina persiapan bagi kempen akan datang.

“Tiada siapa yang suka kalah, termasuk saya sendiri, tetapi saya fikir ini adalah salah satu halangan yang perlu kita tempuhi bagi mencapai kejayaan dalam masa terdekat.”

Tetapi tidak cukup dengan itu.

Firdaus perlu mendorong pemainnya supaya bangkit serta menzahirkan sifat kepimpinan di atas padang ketika menentang Thailand.

Sukar untuk menukar taktik terutama sekali memandangkan mereka hanya ada beberapa hari untuk membuat persiapan bagi pertembungan tersebut.

Namun, satu perkara yang boleh mereka usahakan adalah mempamerkan sifat dahaga apabila beraksi untuk Singapura.

Apabila mereka beraksi bermati-matian dan berusaha memenangi setiap bola, ia secara tidak langsung dapat memberi kegembiraan kepada penyokong Singapura, sekali gus menunjukkan para pemain ini layak menyarung jersi negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg