Dua pemain sayap Institusi St. Joseph (SJI), Aidan Irfan dan Gavriel Lai, menerima hadiah perpisahan yang indah pada 14 Ogos, sebelum mereka bertolak ke Sepanyol untuk menimba ilmu sebagai penerima Biasiswa Unleash The Roar! (UTR!).
Pasukan SJI menjaringkan tiga gol untuk menewaskan Sekolah Menengah Meridian bagi merebut kejuaraan bola sepak lelaki Divisyen C pertama mereka sejak memulakan semula sukan itu pada 2012.
Kemenangan itu datang hanya empat hari sebelum Aidan dan Gavriel berlepas ke Sepanyol untuk menyertai kelab Rayo Alobendas, sebagai antara sembilan penerima kumpulan kedua Biasiswa UTR!
Gavriel, yang menyumbang satu gol dan satu assist (pembuka jalan) dalam perlawanan itu, menyifatkan kemenangan tersebut sebagai “salah satu salam perpisahan terbaik”.
Aidan, yang juga menjaring satu gol, menambah: “Sangat indah menang sebelum terbang (ke Sepanyol), dan saya amat berterima kasih dengan sokongan daripada sekolah dan rakan-rakan saya.”
Sumbangan kedua-dua pemain itu sangat besar musim ini, dengan Gavriel menjaringkan lapan gol dan Aidan tujuh. Selain mereka, Zhou Luye dan Keanu Song menjaringkan sembilan gol.
Walaupun Gavriel mengalami sedikit kecederaan pada peringkat lewat perlawanan akhir itu, usahanya dalam minit-minit terakhir membolehkan SJI mucul sebagai juara.
Mereka menambahkan kelebihan dua gol tiga minit selepas separuh masa kedua bermula apabila Gavriel melakukan assist untuk Luye menyumbatkan gol.
Penjaga gawang SJI, Colin Chew, menyelamatkan satu percubaan Meridian dengan hebat pada minit ke-49 untuk mengekalkan rekod bersih mereka.
Kira-kira 11 minit selepas itu, Gavriel menendang bola yang terpantul dari palang gawang Meridian melepasi penjaga gol, Evan Lee.
Gavriel berkata: “Saya rasa saya dapat bermain dengan lebih cermat, tapi menjaringkan satu gol dan melakukan satu assist sudah cukup baik.”
“Saya menjangka semua rakan sepasukan akan bekerja keras, dan saya tahu jika saya terus berusaha, akhirnya saya akan dapat menjaringkan gol. Saya ingin menyokong mereka juga.
“Pada hujung perlawanan... saya mula berasa sakit tetapi saya tetap berusaha sekuat tenaga untuk bermain hingga akhir, dan tentu sekali, usaha itu berbaloi.”
Kapten SJI, Scott Reid, berkat kejayaan mereka adalah hasil usaha penjaring gol dan pertahanan yang kuat.
Pasukan itu melepaskan satu gol tunggal dalam sembilan perlawanan – dalam kemenangan pusingan awal 2-1 ke atas Sekolah Menengah St. Gabriel pada 11 Julai.
Menurut Scott, keazaman mereka selepas itu telah terbukti.
“Gol-gol tersebut mendorong kami menjadi lebih baik, dan mengekalkan pertahanan kami dengan lebih ketat dan kuat,” ujarnya.
Guru yang memimpin pasukan itu, Encik Loqman Alfaiz, menambah:
“Ini adalah sekumpulan individu berbakat, tetapi bukan itu sahaja, mereka bersatu dan sangat berdedikasi. Sejak awal tahun, mereka komited untuk memberi yang terbaik.”
Walaupun Meridian mendapat perak, kapten Wayne Cheong, berkata ia adalah “peluang besar untuk berkembang”.
Beliau menambah: “Walaupun hasilnya tidak seperti yang kami harapkan, saya percaya bahawa dengan lebih disiplin dan fokus, kami boleh mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.”
Mereka masih mempunyai sebab untuk meraikannya, kerana pasukan perempuan sekolah itu mengekalkan gelaran dengan kemenangan 3-1 ke atas pasukan gabungan pemain dari Sekolah Menengah Boon Lay, Sekolah Perempuan Methodist dan Sekolah Menengah Westwood.
Ia adalah kejuaraan ketiga secara berturut-turut.
Pemain sayap, Nayli Elvira, pemain tengah Nur Risya Rizqyqa dan penyerang Amber Lee menjaringkan gol untuk Meridian, manakala Aria Romano menyumbatkan gol lawan mereka.
Kapten Nayli berkata: “Kami menguasai permainan pada separuh masa pertama.
“Dalam perlawanan, kami sentiasa memberi 200 peratus, dan kami sentiasa tenang sepanjang perlawanan.”
Jurulatih, Fabio da Silva, menyerlahkan fakta semua pasukannya mara ke perlawanan akhir pada 2024 – mereka juga merangkul gelaran lelaki dan perempuan Divisyen B.
Kapten bersama pasukan gabungan, Esther Lau, Zarra Nazneen dan Surah Raudah, berbangga dengan tempat kedua mereka, setelah tewas 6-0 kepada lawan yang sama pada pusingan awal.
Esther menambah: “Kami benar-benar bekerja keras hari ini, dan semua orang melakukan yang terbaik.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg