Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nur Muhammad Asis, pemain bola sepak S’pura pertama sertai kelab Portugal

Aug 1, 2024 | 4:07 PM
 Lion City Sailors
Pemain tengah Lion City Sailors, Nur Muhammad Asis, menandatangani kontrak setahun sebagai pemain pinjaman di pasukan Primeira Liga, Estrela da Amadora. - Foto ESTRELA DA AMADORA

Seperti kebanyakan kanak-kanak lelaki seusianya, Nur Muhammad Asis, membesar dengan mengidolakan ikon bola sepak, Cristiano Ronaldo, malah menyertakan nama bintang Portugal itu di dalam e-mel peribadinya.

Pemain tengah Lion City Sailors itu telah mengambil langkah lanjut untuk mengikuti jejak langkah Ronaldo.

Lion City Sailors mengumumkan pada 31 Julai bahawa pemain berusia 20 tahun itu telah berpindah ke Portugal sebagai pemain pinjaman selama setahun di pasukan Liga Primeira, Estrela da Amadora.

Peminjaman itu menjadikan Asis pemain Singapura pertama menandatangani kontrak profesional dengan kelab liga teratas Portugal.

Pada akhir musim 2023, Sailors menghantar Asis menghadiri beberapa percubaan di Portugal.

Di sana, beliau menarik perhatian pencungkil bakat tempatan, yang mencadangkannya kepada Estrela.

Proses perpindahan disusun selepas perbincangan antara kededua kelab, lapor The Straits Times (ST).

Asis, yang berada di Portugal untuk membuat persiapan bagi musim akan datang, yang bermula pada 9 Ogos, berkata ia adalah “satu penghormatan untuk bermain di negara yang sama tempat Ronaldo mengasah kemahirannya”.

Beliau menambah: “Bermain di luar negara, terutamanya di Eropah, adalah impian saya sejak kecil lagi.

“Peluang untuk bermain di luar negara bukan sahaja sebagai kemajuan (daripada sudut) profesional, malah peningkatan peribadi dan peluang untuk membuktikan diri saya kepada dunia.”

Berpangkalan di Amadora, barat laut Lisbon, tempat Ronaldo memulakan langkah pertamanya dalam bola sepak, Estrela menduduki tempat ke-14 dalam liga 18 pasukan pada musim 2023/2024.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian peminjaman, yang berlangsung sehingga 30 Jun 2025, Asis akan berlatih dan bermain dengan Pasukan B Estrela, sambil turut menyertai pasukan Bawah 23 tahun kelab itu.

Beliau juga akan dipantau dengan teliti oleh pengurus pasukan senior.

Pasukan B Estrela bermain di divisyen keempat, Campeonato de Portugal, manakala pasukan Bawah 23 tahun mereka bersaing dalam Liga Revelacao U-23, liga kebangsaan peringkat tertinggi yang mereka juarai pada musim 2022/2023, mengatasi pasukan seperti Benfica dan Sporting Lisbon.

Sebelum ini, kelab itu telah melahirkan beberapa pemain bola sepak terkemuka seperti bekas pemain pertahanan Everton dan Liverpool, Abel Xavier; bekas pemain sayap Manchester United, Bebe; dan bintang Manchester City, Ruben Dias.

Asis, yang mengetuai pasukan bawah-21 Sailors, sering disebut-sebut di peringkat belia kerana keupayaan teknikalnya dan ketenangannya mengawal bola.

Beliau menyertai Akademi Elit Sailors pada 2020 dan pada 2021, beliau menjadi sebahagian daripada kohort pertama pemain di bawah Bon Pendaftaran Awal Lion City Sailors, yang menawarkan peluang kepada pelatih akademi terpilih untuk mendaftar awal bagi Perkhidmatan Negara (NS) selepas menamatkan pendidikan menengah.

Ini memberi peluang kepada Asis untuk menjadi pemain pertama daripada pasukan remaja yang menandatangani kontrak profesional dengan Sailors selepas tamat NS pada 2023.

Sejak dinaikkan ke pasukan utama, Asis telah membuat lima penampilan SPL, dengan terakhir ketika kemenangan 6-0 ke atas Young Lions pada 22 Julai, dengan beliau melakukan satu ‘assist’ (pembuka laluan).

Pengarah sukan Estrela, Jose Faria, yang memainkan peranan penting dalam perpindahan itu, berkata:

“Asis mempunyai potensi besar untuk mencapai perkara besar dalam bola sepak, jadi kami gembira mendapatkannya bersama kami dan kami mahu beliau bekerja sekeras mungkin di sini.

“Saya amat yakin bahawa Estrela menyediakan persekitaran yang paling kondusif kepada bakat muda dari Singapura untuk berjaya, dan kami harap dapat menyumbang kepada pembangunannya di sini.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg