Topik diikuti
Pergi ke BHkuGeylang cicir mata, Sailors dan Tampines pula semakin mengancam
Hougang, Young Lions tertekan untuk bangkit dan pamer prestasi lebih meyakinkan
Geylang cicir mata, Sailors dan Tampines pula semakin mengancam
Liga Perdana Singapura (SPL) menyaksikan satu lagi minggu perlawanan yang penuh drama.
Pendahulu liga, Geylang International, kehilangan mata pertama mereka musim ini selepas diikat tanpa jaringan.
Lion City Sailors pula meneruskan kebangkitan mereka, sementara Tampines Rovers bangkit daripada ketinggalan pada separuh masa pertama.
Manakala Hougang United terus bergelut di tangga kedua bawah liga walaupun bermula dengan agak meyakinkan pada awal musim.
Seri tanpa jaringan pertama musim, tetapi tetap penuh aksi
Selepas memenangi tiga perlawanan pembukaan untuk mendahului liga, Geylang terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas seri tanpa jaringan semasa menentang Balestier.
Kedua-dua pasukan menghasilkan beberapa peluang untuk memperolehi kemenangan, tetapi hasrat menjaringkan gol tidak kesampaian.
Keputusan itu menamatkan permulaan sempurna pasukan pimpinan jurulatih Noor Ali, tetapi mereka masih kekal di puncak SPL dengan 10 mata daripada empat perlawanan.
Balestier, yang sebelum ini menewaskan Hougang 2-1, wajar diberi pujian kerana berjaya menyekat serangan Geylang dan memperoleh satu mata berharga.
Walaupun Geylang gagal mengekalkan rekod kemenangan, keputusan itu juga menunjukkan bahawa pasukan lain semakin bersedia untuk memberikan cabaran kepada pendahulu liga itu.
Dengan Tampines masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan, persaingan di tangga teratas bakal menjadi lebih menarik pada minggu-minggu mendatang.
Sailors makin mengancam
Sailors pula menunjukkan tanda-tanda semakin serasi di bawah ketua jurulatih baru, Mark Jackson, apabila menewaskan FC Jurong 2-0 di Stadium Jurong East pada 18 Oktober.
Selepas membelasah Young Lions 6-1 dalam perlawanan liga sebelumnya dan menewaskan Tai Po FC dari Hong Kong 1-0 dalam Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), Sailors meneruskan momentum positif dengan satu lagi persembahan meyakinkan.
Jurong memulakan pertarungan dengan baik dan mengancam benteng Sailors pada awal perlawanan, tetapi pasukan pelawat segera membalas, tetapi mendapati dua jaringan mereka dibatalkan akibat ofsaid.
Akhirnya, Giovanni Haag membuka jaringan untuk Sailors menerusi sepakan penalti pada minit ke-41 sebelum Shawal Anuar menggandakan kelebihan pada minit ke-77.
Bagi Jackson, keputusan kemenangan berturut-turut ini menjadi petanda positif sedang pemain terus menyesuaikan diri dengan pendekatan baharunya.
Young Lions dihambat masalah lama
Young Lions memulakan perlawanan dengan baik dan mendahului menerusi sepakan penalti Daisuke Sakai pada penghujung separuh masa pertama, sekali gus memberi harapan untuk meraih keputusan positif di Our Tampines Hub (OTH).
Namun, Tampines bangkit selepas rehat untuk menjaringkan empat gol dan memastikan kemenangan ketiga berturut-turut dalam liga.
Skuad muda Young Lions sebelum ini turut mendahului Sailors dan Geylang, tetapi akhirnya tewas besar kepada kedua-dua pasukan itu.
Kegagalan mengekalkan disiplin pertahanan, mengurus tekanan dan bertindak balas apabila momentum berubah terus menjadi kelemahan utama mereka.
Walaupun mempunyai kemampuan untuk mengancam lawan, Young Lions perlu belajar mengawal permainan selepas berada di hadapan dan mengelakkan kesilapan yang membuka ruang kepada pasukan lawan menghukumnya.
Ketua jurulatih Tampines, Nazri Nasir, menegaskan bahawa kemenangan merupakan jangkaan asas bagi Tampines.
“Bagi Tampines Rovers, kita perlu menang. Itu yang diharapkan daripada kelab ini,” katanya.
“Tetapi pada akhirnya, musim ini bukan ditentukan oleh satu atau dua perlawanan. Yang penting ialah kedudukan kita apabila sampai ke garisan penamat.”
Kemenangan itu mengekalkan rekod sempurna Tampines selepas tiga perlawanan, dengan enam mata di samping mempunyai satu perlawanan dalam tangan berbanding pendahulu liga, Geylang.
Hougang merosot selepas permulaan baik
Keadaan semakin meruncing buat Hougang yang tewas 1-2 kepada Tanjong Pagar pada 16 Oktober.
Selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk seri 2-2 dengan Sailors dalam perlawanan pembukaan, Hougang mengalami tiga kekalahan berturut-turut.
Mereka kini tanpa kemenangan selepas empat perlawanan dengan hanya mempunyai satu mata.
Cabaran bagi kelab itu kini bukan sekadar mencari kemenangan pertama, tetapi membina semula keyakinan dan kestabilan selepas beberapa keputusan mengecewakan.
Jika mereka mahu kembali ke landasan betul, mereka perlu mengurangkan kesilapan dan mencari cara untuk mengekalkan prestasi sepanjang perlawanan.
Keputusan Perlawanan Minggu 4 SPL (16 - 18 Oktober)
Hougang United 1- 2 Tanjong Pagar United
Geylang International 0 - 0 Balestier Khalsa
FC Jurong 0 - 2 Lion City Sailors
Tampines Rovers 4 - 1 Young Lions