Topik diikuti
Pergi ke BHkuTampines buru kemenangan ketiga, Young Lions mahu henti rentetan kekalahan
‘The Stags’ pimpinan Nazri Nasir mahu teruskan permulaan cemerlang awal musim tetapi akur hadapi tugas mencabar lawan pasukan yang bersemangat mahu bangkit
Tampines buru kemenangan ketiga, Young Lions mahu henti rentetan kekalahan
Tampines Rovers berpeluang meneruskan permulaan cemerlang mereka dalam Liga Perdana Singapura (SPL) musim ini apabila menerima kunjungan pasukan muda Young Lions pada 18 Oktober dengan pasukan pelawat terdesak mencari jalan untuk menghentikan rentetan kekalahan yang semakin membimbangkan.
Dua perlawanan, dua kemenangan dan enam mata tanpa gawangnya dibolosi meletakkan Tampines pimpinan Nazri Nasir di tangga kedua liga, di belakang Geylang International yang sudah mengumpul sembilan mata daripada tiga perlawanan.
Sebaliknya, Young Lions masih mencari kemenangan pertama selepas tewas dalam ketiga-tiga perlawanan pembukaan mereka.
Lebih membimbangkan, gawang pasukan kendalian Firdaus Kassim sudah dibolosi 15 gol, termasuk dua kekalahan besar – 1-5 kepada Geylang dan 1-6 kepada Lion City Sailors.
Di bawah bimbingan Nazri, Tampines menunjukkan mereka mempunyai kesabaran dan kecekapan untuk menembusi pertahanan lawan.
Kemenangan 4-0 ke atas Tanjong Pagar United pada 11 Oktober menjadi bukti.
Walaupun gagal memanfaatkan beberapa peluang pada separuh masa pertama, kelab bergelar The Stags itu akhirnya membuka jaringan menerusi Hide Higashikawa pada minit ke-63 sebelum Seiga Sumi, Yuma Kimura dan Faris Ramli, menambah tiga gol pada penghujung perlawanan.
Keupayaan Tampines meningkatkan tekanan selepas rehat memberi mereka kelebihan menjelang pertemuan dengan Young Lions, yang mendapatinya sukar untuk mengekalkan disiplin pertahanan apabila diasak bertubi-tubi oleh barisan serangan pasukan lawan.
Namun, Tampines tidak boleh menganggap kemenangan dapat digenggam dengan mudah.
Mereka mengambil masa lebih sejam untuk menembusi pertahanan Tanjong Pagar, dan perlu memastikan mereka lebih berkesan sekiranya Young Lions memilih untuk bertahan.
Tugas menguruskan kecergasan pemain juga penting, memandangkan Tampines beraksi dalam beberapa pertandingan.
Selepas perlawanan liga menentang Tanjong Pagar, mereka turut mempunyai komitmen dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) sebelum kembali memberi tumpuan kepada SPL.
Higashikawa kekal sebagai ancaman utama Tampines.
Penyerang Jepun itu, yang dinobatkan Pemain Terbaik SPL musim lalu, sudah membuka akaun gol liganya musim ini menerusi tandukan menentang Tanjong Pagar.
Kadar jaringan dan pergerakannya di dalam kotak penalti menjadikannya pemain yang perlu diawasi Young Lions, khususnya jika mereka membenarkan pemain Tampines menghantar bola ke kawasan bahaya.
Seorang lagi pemain yang wajar diberi perhatian ialah Shah Shahiran.
Pemain tengah itu menghasilkan dua assist (bantuan gol) ketika menentang Tanjong Pagar, termasuk hantaran untuk gol pembukaan Higashikawa dan gol Kimura.
Keupayaan Shah membuat hantaran-hantaran tepat di samping mencari ruang untuk rakannya lain bertindak boleh menjadi kunci untuk mengatasi kubu pertahanan Young Lions.
Jika beliau diberi masa dan ruang di bahagian tengah, Tampines berpotensi mencipta lebih banyak peluang untuk Higashikawa dan pemain serangan lain.
Walaupun keputusan mereka mengecewakan, Young Lions menunjukkan mereka mampu mencipta detik berbahaya pada awal perlawanan.
Hisatoshi Nishido menjaringkan gol pembukaan ketika menentang Geylang sebelum pasukannya tewas 1-5.
Dalam perlawanan menentang Sailors pula, Toi Kagami mengejutkan lawan dengan jaringan pada minit ke-10, tetapi Sailors menyamakan kedudukan hanya empat minit kemudian sebelum akhirnya menang besar.
Corak itu menunjukkan bahawa Young Lions mempunyai kemampuan untuk mengancam lawan, tetapi masih belum mampu mengekalkan prestasi sepanjang 90 minit.
Kekalahan besar bukan semata-mata soal barisan pertahanan.
Apabila pasukan ketinggalan atau kehilangan kawalan permainan, jarak antara pemain boleh semakin terbuka, sekali gus memberi lawan lebih banyak ruang untuk menyerang.
Young Lions perlu menunjukkan permainan yang berdisiplin, mengurangkan kesilapan dan menyerap tekanan pasukan lawan dengan lebih baik, lebih-lebih lagi apabila berdepan pasukan berpengalaman seperti Tampines.
Pasukan muda itu tentunya meletakkan harapan memperkukuh barisan pertahanannya ke atas bahu seorang lagi pemain asal Jepun, Shuya Yamashita.
Berpengalaman beraksi selama empat musim dan membuat 149 penampilan bersama The Stags sebelum ini, pemain pertahanan berusia 28 tahun dari Jepun ini memiliki pengetahuan mendalam tentang corak serangan serta kelemahan bekas sepasukannya itu.
Kelebihan taktikal ini amat diperlukan oleh skuad muda Young Lions untuk menyekat barisan hadapan Tampines yang terkenal dengan corak permainan pantas dan klinikal.
Dengan enam mata daripada dua perlawanan, Tampines mempunyai peluang untuk terus meningkatkan tekanan ke atas Geylang dalam persaingan di tangga teratas SPL.
Kemenangan di tempat sendiri juga akan membantu mereka mengekalkan momentum dalam mengharungi jadual yang padat musim ini.
Young Lions pula memerlukan keputusan positif untuk menghentikan permulaan buruk mereka.
Namun, mereka perlu memperbaiki pertahanan secara menyeluruh jika mahu mengelakkan satu lagi kekalahan besar.
Berdasarkan prestasi semasa, Tampines jelas mempunyai kelebihan, terutama dengan ketajaman Higashikawa serta pilihan serangan dari bangku pemain simpanan yang mampu mengubah permainan.
Persoalannya kini sama ada Tampines dapat meneruskan langkah cemerlang awal musim mereka atau Young Lions bangkit dengan penuh semangat untuk mengubah nasib mereka?