Dua pasukan, dua permulaan sempurna, masing-masing dengan enam mata penuh.

Justeru, Geylang International dan FC Jurong akan menguji rekod kemenangan mereka apabila Liga Perdana Singapura (SPL) disambung semula selepas tempoh rehat antarabangsa.

Dengan kedua-dua pasukan memenangi dua perlawanan pembukaan musim ini, pertembungan di Our Tampines Hub (OTH) pada 10 Oktober bukan sekadar perebutan tiga mata semata-mata.

Ia merupakan peluang awal bagi mana-mana pasukan untuk membuktikan kesungguhan mereka dan mengukuhkan kredibiliti sebagai pencabar utama mahkota SPL musim ini.

Jurong mempunyai kelebihan dari segi perbezaan gol selepas menjaringkan tujuh gol tanpa gawangnya dibolosi, manakala Geylang turut menunjukkan taring di bahagian serangan dengan menjaringkan enam gol dan hanya dibolosi satu gol.

Bagi Jurong, permulaan musim ini merupakan permulaan baik dan berupa mesej kepada juara bertahan SPL, Lion City Sailors, bahawa mereka mampu memberikan saingan hebat musim ini.

Mereka membuka kempen dengan kemenangan 4-0 ke atas Young Lions sebelum menewaskan Hougang United 3-0, sekali gus mengekalkan rekod gawang tanpa bolos selepas dua perlawanan.

Penyerang FC Jurong, Toa Suenaga (kiri), menjadi sandaran utama jentera serangan FC Jurong selepas menjaringkan dua gol dan satu bantuan gol dalam dua perlawanan pembukaan Liga Perdana Singapura (SPL).
Penyerang FC Jurong, Toa Suenaga (kiri), menjadi sandaran utama jentera serangan FC Jurong selepas menjaringkan dua gol dan satu bantuan gol dalam dua perlawanan pembukaan Liga Perdana Singapura (SPL). - Foto FAS

Penyerang berusia 20 tahun dari Jepun, Toa Suenaga – yang dipinjamkan daripada kelab Jepun, Renofa Yamaguchi FC – memberi kesan serta-merta apabila menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Young Lions, sebelum menyumbang satu assist atau bantuan gol ketika menewaskan Hougang United 3-0.

Kehadiran pemain antarabangsa Jepun, Keisuke Honda, menambahkan lagi perhatian terhadap projek Jurong, tetapi keputusan pasukan bimbingan Jaswinder Singh di atas padang tetap menjadi ukuran utama bagi pasukan yang mahu mencabar kejuaraan.

Ketua jurulatih FC Jurong, Jaswinder Singh, memastikan pasukannya mengekalkan disiplin tinggi dan keseimbangan antara jentera serangan dengan pertahanan. Pasukannya telah menjaringkan tujuh gol tanpa gawang dibolosi dalam dua perlawanan awal SPL.
Ketua jurulatih FC Jurong, Jaswinder Singh, memastikan pasukannya mengekalkan disiplin tinggi dan keseimbangan antara jentera serangan dengan pertahanan. Pasukannya telah menjaringkan tujuh gol tanpa gawang dibolosi dalam dua perlawanan awal SPL. - Foto FAS
Jurulatih Geylang International, Noor Ali, mengingatkan pasukannya agar fokus pada persaingan satu lawan satu dan beraksi secara kolektif apabila menentang FC Jurong dalam usaha mendapatkan keputusan yang diinginkan.
Jurulatih Geylang International, Noor Ali, mengingatkan pasukannya agar fokus pada persaingan satu lawan satu dan beraksi secara kolektif apabila menentang FC Jurong dalam usaha mendapatkan keputusan yang diinginkan. - Foto FAS

Namun, jurulatih Geylang, Noor Ali akur bahawa kekuatan Jurong bukan sekadar bergantung pada satu atau dua individu, dan pasukannya memerlukan semangat berpasukan yang ampuh bagi menghadapi saingan sengit itu nanti.

“Kami perlu beraksi mantap dalam situasi satu lawan satu esok (10 Oktober). Saya tahu mereka mempunyai kualiti tersendiri, namun untuk meraih keputusan positif menentang Jurong, kami memerlukan usaha kolektif daripada setiap pemain,” kata Noor Ali kepada Berita Harian (BH).

Melalui dua perlawanan mereka, pasukan bimbingan Noor Ali membuktikan bahawa mereka juga mempunyai kemampuan untuk mengharungi musim yang baik.

Geylang memulakan musim dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Tanjong Pagar United sebelum membelasah Young Lions 5-1 dalam perlawanan kedua.

Dua keputusan itu menunjukkan bahawa anak didik Noor Ali bukan sahaja mampu mengutip mata dalam perlawanan sengit, malah mempunyai senjata serangan untuk mendapatkan gol-gol pasukan.

Namun, Noor sendiri mengingatkan bahawa pasukannya masih mempunyai ruang untuk memperbaiki prestasi.

“Saya tidak akan mengatakan ia persembahan lima bintang. Saya rasa kami boleh melakukan lebih baik lagi,” katanya.

Beliau bagaimanapun memuji kerja keras pemainnya yang mampu mengekalkan intensiti sepanjang lebih 90 minit permainan.

“Saya gembira melihat pemain mampu beraksi melebihi 90 minit dalam setiap perlawanan. Permulaan musim ini amat positif kerana kami masih berupaya mencipta peluang sehingga ke penghujung perlawanan,” katanya.

Konsistensi itu penting apabila mereka turun ke padang bagi pertarungan dengan Jurong yang setakat ini menunjukkan keseimbangan antara ketajaman serangan dengan disiplin pertahanan.

Penyerang Geylang International, Dejan Racic (kanan), berhasrat mula menemui sentuhan jaringannya bagi menembusi benteng kebal FC Jurong dalam perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) di Our Tampines Hub pada 10 Oktober.
Penyerang Geylang International, Dejan Racic (kanan), berhasrat mula menemui sentuhan jaringannya bagi menembusi benteng kebal FC Jurong dalam perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) di Our Tampines Hub pada 10 Oktober. - Foto ST

Geylang tentunya meletakkan harapan ke atas penyerang Dejan Racic untuk mendapatkan gol pasukan.

Malah, Racic tidak menyembunyikan hasratnya dapat membantu pasukannya itu menundukkan Jurong.

“Kami akan melakukan persiapan yang terbaik. Kami dan Jurong merupakan dua pasukan yang mempunyai permulaan sempurna, jadi saya harap kami dapat kekalkan rentak kemenangan itu dengan menundukkan mereka,” kata beliau.

Racic menjaringkan gol ketika kemenangan 5-1 ke atas Young Lions, sekali gus membuktikan kemampuannya menjadi ancaman di kawasan penalti.

Keupayaannya mencari ruang dan menyudahkan peluang boleh menjadi faktor penting jika Geylang mahu menjadi pasukan pertama untuk membolosi gawang Jurong musim ini.

Jurong pula boleh bergantung kepada Suenaga, yang memulakan musim dengan dengan aksi cemerlang. Selain kebolehannya menjaringkan gol, Suenaga turut berupaya mencipta peluang untuk rakan sepasukan, menjadikannya ancaman yang perlu dikawal pertahanan Geylang.

Pertarungan antara ketajaman Racic dengan pertahanan Jurong yang masih kebal boleh menjadi salah satu penentu perlawanan.

Sementara kemampuan Suenaga memanfaatkan ruang di bahagian serangan pula berpotensi jadi halangan paling mencabar buat Geylang.

Selepas persiapan sepanjang dua minggu, kedua-dua pasukan kini perlu membuktikan mereka mampu meneruskan rentak positif masing-masing.

Dengan rekod sempurna dipertaruhkan dan kedudukan teratas menjadi sasaran, pertemuan ini bukan sekadar perebutan tiga mata.

Malah, ia peluang keemasan untuk salah satu pasukan memukul canang sebagai pencabar serius dalam persaingan SPL musim ini.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti