Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gol pertama Antony musim ini selamatkan United

Piala FA: City, Newcastle dan Liverpool turut mara ke pusingan kelima
Jan 29, 2024 | 4:37 PM
Pemain sayap Antony (tengah) menjaringkan gol pertamanya sejak April untuk meletak Manchester United di hadapan semula, sekali gus mendorong kemenangan 4-2 ke atas Newport County dalam perlawanan pusingan keempat Piala FA.
Pemain sayap Antony (tengah) menjaringkan gol pertamanya sejak April untuk meletak Manchester United di hadapan semula, sekali gus mendorong kemenangan 4-2 ke atas Newport County dalam perlawanan pusingan keempat Piala FA. - Foto REUTERS

NEWPORT: Manchester United mengelak disingkir daripada Piala FA oleh Newport County – pasukan di tangga ke-16 Liga Kedua England – apabila gol pertama Antony musim ini mendorong kemenangan 4-2 mereka pada 29 Januari.

Bruno Fernandes meletak United di hadapan pada minit ketujuh dan Kobbie Mainoo menggandakan jaringan mereka dengan gol pertamanya untuk United pada minit ke-13.

Namun, Bryn Morris mendapatkan satu gol untuk Newport dan Will Evans kemudian menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua.

Dengan persembahan United kurang mengagumkan, Antony menjadi penyelamat tidak dijangka apabila beliau menjaringkan gol pada minit ke-68 – jaringan pertamanya sejak April selepas prestasi kurang baik dan dakwaan keganasan rumah tangga yang dinafikannya.

Rasmus Hojlund kemudian menjaringkan satu lagi gol untuk United pada masa tambahan.

Kemenangan United datang di tengah-tengah satu lagi masalah bagi pengurus Erik ten Hag, yang terpaksa menangani dakwaan bahawa beliau berselisih faham dengan Marcus Rashford.

Ten Hag, dengan pasukannya menduduki tempat kelapan dalam Liga Perdana England (EPL) dan telah tersingkir daripada Liga Juara-Juara, menjelaskan ketiadaan Rashford daripada pasukan itu dengan mengatakan penyerang itu “melapor sakit”.

Namun, terdapat laporan bahawa penyerang England berusia 26 tahun itu dilihat di kelab malam di Northern Ireland pada 25 Januari, beberapa jam sebelum beliau tidak menghadiri latihan esoknya.

Apabila ditanya tentang perkara itu, ten Hag berkata, “Ini adalah hal dalaman. Saya akan menanganinya.”

Jika United kalah, ia tidak menjadi kejutan dek masalah yang dihadapi kelab itu, yang ditambah pula dengan prestasi baik Newport dalam Piala FA.

Penyokong Newport bersemangat dan berkumpul di stadium dengan berharap dapat menyaksikan sejarah dicatat dengan kemenangan ke atas United.

Newport menyingkirkan Leicester daripada Piala FA pada 2019 dan mereka berharap dapat menimpakan nasib serupa ke atas United.

Ten Hag memulakan barisan utamanya untuk mengelakkan kejutan seperti itu.

Tempat duduk sementara disediakan bagi menampung jumlah penonton, dan ada penyokong memanjat perancah untuk menonton perlawanan tersebut.

Sementara itu dalam perlawanan Piala FA yang lain, Chelsea seri 0-0 dengan Aston Villa pada 27 Januari dan terpaksa bermain perlawanan ulangan pada 8 Februari.

“Saya rasa persembahan kami bagus, tetapi kami tidak memanfaatkan peluang yang kami hasilkan,” kata pengurus Chelsea, Pochettino, kepada media.

Juara bertahan Manchester City menewaskan Tottenham Hotspur 1-0 pada 27 Januari melalui jaringan lewat Nathan Ake pada minit ke-88.

Newcastle juga mara ke pusingan kelima dengan kemenangan 2-0 ke atas Fulham.

Pengurus Newcastle, Eddie Howe, masih bertekad mendapatkan trofi pertamanya di bawah pemilik Arab Saudi.

Liverpool pula menundukkan Norwich 5-2 dalam perlawanan yang menghiburkan.

Ia perlawanan pertama mereka selepas pengurus Jurgen Klopp mengumumkan beliau akan tinggalkan kelab itu akhir musim ini. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg