Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Satu mata cukup bagi Brighton lompati Man U

Jan 23, 2024 | 2:35 PM
BAZIR PELUANG: Penjaga gawang Brighton & Hove Albion, Jason Steele, beraksi menentang penyerang Wolverhampton Wanderers, Matheus Cunha. Walaupun kededua pasukan mempunyai beberapa peluang menjaringkan gol, mereka tidak memanfaatkannya dengan baik dan perlawanan berakhir 0-0.
BAZIR PELUANG: Penjaga gawang Brighton & Hove Albion, Jason Steele, beraksi menentang penyerang Wolverhampton Wanderers, Matheus Cunha. Walaupun kededua pasukan mempunyai beberapa peluang menjaringkan gol, mereka tidak memanfaatkannya dengan baik dan perlawanan berakhir 0-0. - Foto REUTERS

BRIGHTON: Brighton & Hove Albion hanya mendapat satu mata daripada perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers, yang berakhir tanpa jaringan, pada 23 Januari.

Namun, satu mata itu cukup untuk meletakkannya di tempat ketujuh Liga Perdana England (EPL), di atas Manchester United.

Pasukan bimbingan Roberto De Zerbi itu, yang tidak kalah dalam sembilan perlawanan di padang sendiri, mendahului United dek perbezaan jumlah gol dengan kededua pasukan mempunyai 32 mata daripada 21 perlawanan.

“(Saya) kecewa dengan keputusan perlawanan, saya rasa kami sepatutnya menang,” kata De Zerbi kepada media.

“Tetapi Wolves adalah sebuah pasukan yang sangat baik dengan pemain yang bagus, terutama serangan mereka, justeru kami menghormati mereka.

“Kami mempunyai matlamat untuk berada di tempat 10 teratas. Saya rasa kami sedang bermain dengan baik, saya rasa kami gembira,” tambah beliau.

Wolves, pasukan bimbingan Gary O’Neil, yang tiba di Amex menyusuli tiga kemenangan EPL berturut-turut dan tidak kalah dalam enam perlawanan dalam semua pertandingan, berada di tempat ke-11 EPL dengan 29 mata.

O’Neil berkata beliau berasa lebih bangga akan pemainnya daripada kecewa walaupun mereka meraih hanya satu mata.

“Pemain kami semua memerah tenaga... cara kami menghadapi perlawanan ini, betapa agresif mereka, bagaimana mereka mengikut rancangan perlawanan,” kata beliau kepada media.

“Sudah tentu saya ingin kami menjaringkan lebih banyak gol, ada banyak peluang tapi malangnya kami tidak memanfaatkannya, namun dapat satu mata bagus juga,” tambah O’Neil.

Kededua pasukan mewujudkan beberapa peluang pada separuh masa pertama, tetapi perlawanan menjadi lebih rancak pada separuh masa kedua apabila Matheus Cunha memaksa penjaga gawang Brighton Jason Steele menyelamatkan percubaannya dengan hebat.

Kededua pasukan berjaya menghasilkan beberapa peluang berturut-turut.

Cunha mendapat peluang keemasan apabila beliau melepasi Steele, yang berada jauh dari gawangnya, tetapi penyerang itu tidak berjaya memanfaatkan peluang tersebut, dan perlawanan itu berakhir tanpa jaringan walaupun terdapat 19 percubaan yang mengenai sasaran.

Pemain tengah Brighton, James Milner, yang membuat penampilan debut EPL-nya pada 2002 pada usia 16 tahun, melepasi Ryan Giggs untuk menduduki tempat kedua dari segi penampilan terbanyak dalam EPL dengan 633 perlawanan.

Beliau hanya perlu 20 penampilan lagi untuk menyamakan rekod Gareth Barry.

“Perlawanan ini merupakan perkara terpenting malam ini dari segi perlawanan, saya harap saya masih mampu bermain beberapa lagi perlawanan,” kata Milner kepada media. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg