LONDON: Banyak pihak kurang memberi perhatian tentang peluang sebuah kelab England yang berjaya melangkah ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara, dan itulah yang berlaku kepada Arsenal pada musim ini.

Disebabkan tekanan hebat yang dipikul anak buah Mikel Arteta untuk menamatkan penantian 22 tahun untuk meraih gelaran Liga Perdana England (EPL), rekod tanpa kalah luar biasa mereka menuju ke perlawanan kemuncak Eropah di Budapest boleh dikatakan tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya.

Gol pemain sayap, Bukayo Saka, pada separuh masa pertama memberikan kemenangan 1-0 buat Arsenal ke atas Atletico Madrid dalam perlawanan separuh akhir kedua pada 5 Mei, sekali gus mengesahkan kemenangan agregat 2-1.

Meskipun aksi mereka di Stadium Emirates itu bukan persembahan terbaik mereka, beberapa persembahan paling mantap Arsenal musim ini telah ditonjolkan di pentas Eropah.

Kelab dikenali sebagai The Gunners itu kekal sebagai satu-satunya pasukan yang belum pernah kalah dalam Liga Juara-Juara, dengan menewaskan pasukan besar seperti Bayern Munich, Inter Milan dan Sporting dalam perjalanan mereka pada musim ini.

Keinginan Arsenal untuk merebut takhta EPL jelas kelihatan, dan gelaran tersebut kini semakin hampir dalam genggaman susulan keputusan seri 3-3 pesaing terdekat, Manchester City di Everton pada 4 Mei.

Namun, ketangkasan Arsenal dalam aksi Eropah – yang jarang berdepan masalah mahupun ancaman penyingkiran – mungkin terlepas daripada perhatian.

“Saya rasa anda tidak boleh memandang rendah apa yang telah kami lakukan dalam pertandingan ini setakat ini,” kata pemain tengah, Declan Rice.

“Kami berhak meraikan saat ini. Ini adalah pertandingan paling berprestij dalam bola sepak kelab. Kami hanya cuba menikmati setiap detik yang ada.

“Kami tahu apa yang dipertaruhkan sebelum perlawanan bermula. Jika anda tidak menunjukkan semangat untuk perlawanan seperti ini, maka anda tidak akan bersemangat untuk mana-mana perlawanan bola sepak.

“Apabila kami mendahului 1-0, saya tahu kami akan menang.”

Buat kali pertama, penyokong Arsenal menyambut bas pasukan dengan sorakan dan suasana penuh semangat.

Ini sekali gus menetapkan rentak dan suasana yang disifatkan oleh Arteta sebagai “malam luar biasa”.

“Kami mencipta sejarah lagi bersama-sama,” kata Arteta.

“Saya sangat gembira dan bangga dengan semua yang terlibat dengan kelab bola sepak ini. Cara kami disambut di luar stadium tadi adalah sesuatu yang istimewa dan unik.

“Kami tahu betapa besarnya nilai (kemenangan) ini buat semua... pemain menunjukkan prestasi luar biasa dan selepas 20 tahun, buat kali kedua dalam sejarah, kami kembali ke final Liga Juara-Juara.”

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Arsenal terus menemui jalan untuk menang di sebalik tekanan semakin memuncak pada akhir musim ini.

Susulan kemenangan 3-0 ke atas Fulham pada 2 Mei, skuad The Gunners dilihat kembali bertenaga. 

Kemenangan dalam EPL itu berlaku pada waktu yang tepat sebelum aksi separuh akhir Liga Juara-Juara ini, dengan kemenangan ke atas Atletico melengkapkan rekod tanpa kalah mereka menuju ke final – dengan Arsenal hanya dibolosi enam gol sepanjang saingan tersebut.

Apabila ditanya sama ada beliau bangga dengan rekod tersebut, Arteta menjawab: 

“Ya, kerana kami tahu betapa sukar dan mencabarnya setiap lawan di peringkat ini.

“Atletico adalah pasukan luar biasa; cara mereka bersaing, penyelesaian yang mereka miliki, dan tindak balas pantas mereka terhadap setiap strategi yang kami cuba lakukan, semuanya sangat hebat.

“Sebab itulah mereka mampu berada di tahap ini, mereka telah melakukan tugas yang cemerlang, jurang perbezaan (antara kita) sangat kecil, dan malam ini nasib memihak kepada kami.”

Berikut sorotan bagaimana Arsenal berjaya menempah tempat ke final Liga Juara-Juara.

Selepas mengharungi 14 perlawanan tanpa kalah dalam Liga Juara-Juara, Arsenal kini mencatatkan rekod tanpa kalah terpanjang mereka dalam sejarah kejohanan tersebut, mengatasi rekod 13 perlawanan antara Mac 2005 dengan April 2006.

Arsenal berjaya melangkah ke final kejohanan ini buat kali pertama sejak 2006 – iaitu tempoh paling lama antara final Piala Eropah/Liga Juara-Juara bagi mana-mana pasukan sejak Atletico Madrid pada 2014 (40 tahun), dan paling lama bagi kelab England sejak Liverpool pada 2005 (20 tahun).

Arsenal mencatatkan rekod bersih dalam sembilan daripada 14 perlawanan, lebih banyak daripada mana-mana pasukan lain dalam kejohanan musim ini. 

Sementara itu, selepas City keciciran mata di Everton, saingan merebut takhta EPL kini berada dalam tangan The Gunners.

Hanya dua minggu lalu Arsenal mengalami kekalahan berturut-turut dalam saingan liga, namun selepas berjaya menundukkan Atletico serta mendahului lima mata di pentas EPL, kelebihan kini memihak sepenuhnya kepada mereka. – Reuters.