Topik diikuti
Pergi ke BHkuGol Shah Shahiran bantu Tampines Rovers tundukkan Jurong FC 1-0
Gol Shah Shahiran bantu Tampines Rovers tundukkan Jurong FC 1-0
Jaringan tunggal perlawanan pemain tengah Tampines, Shah Shahiran, pada separuh masa kedua sudah memadai untuk menghadiahkan kemenangan tipis 1-0 buat Tampines Rovers ke atas Jurong FC dalam saingan Liga Perdana Singapura (SPL) di Our Tampines Hub pada 29 November.
Keghairahan Tampines untuk memburu kemenangan jelas terserlah apabila Naberu Yoshitaka menguji penjaga gawang Jurong, Hassan Sunny seawal 20 saat selepas wisel permulaan dibunyikan.
Namun, Jurong FC turut mempamerkan tentangan sengit dengan melancarkan beberapa gerakan berbahaya ke arah gawang Tampines.
Bagaimanapun, setiap percubaan berjaya dipatahkan oleh benteng pertahanan pasukan tuan rumah.
Tampines hampir memecah kebuntuan pada minit ke-36 apabila hantaran lintang Koya Kazama hampir menemui Hide Higashikawa, namun pertahanan Jurong berjaya menghalang bola daripada jatuh kepada kaki penyerang tersebut.
Meskipun kedua-dua pasukan saling mengatur serangan dalam usaha mencari gol pembukaan, tiada jaringan berjaya dihasilkan sehingga separuh masa pertama berakhir.
Tampines akhirnya memecah kebuntuan pada separuh masa kedua menerusi Shah Shahiran pada minit ke-58.
Kesilapan Syed Firdaus yang tidak sedar kehadiran Shah yang sedang menghampirinya dimanfaatkan sepenuhnya apabila pemain itu merampas bola sebelum memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol pembukaan perlawanan.
Jaringan itu merupakan gol pertama Shah dalam saingan SPL musim ini.
Jurong terus mengasak bagi mencari gol penyamaan, namun Tampines juga tidak berdiam diri apabila berusaha menambah jaringan bagi melebarkan jurang kelebihan.
Faris Ramli hampir menggandakan kelebihan Tampines selepas sekali lagi memanfaatkan kesilapan tandukan lemah Kim Yoonsik.
Namun, percubaannya gagal menewaskan Hassan yang pantas keluar untuk menafikan peluang tersebut.
Kedua-dua pasukan terus mengasak mencari gol, tetapi hasrat tidak kesampaian dan perlawanan berakhir 1-0 memihak Tampines.
Kemenangan itu menyaksikan Tampines Rovers kini berada di tangga kedua SPL dengan 19 mata - berkongsi mata yang sama dengan juara bertahan, Lion City Sailors di tempat pertama.