Kumpulan pemain golf di Singapura berasa sedih apabila Padang Golf Marina Bay ditutup pada penghujung Jun 2024.
Ia merupakan antara beberapa padang golf awam yang masih ada di Singapura.
Ia membolehkan pemain golf, tanpa menjadi ahli mana-mana kelab, untuk masuk dan bermain.
Di samping itu, ia juga mempunyai lapangan pukulan golf yang panjang dengan pemain golf baru boleh belajar, sementara pemain berpengalaman boleh mengasah kemahiran mereka.
Sementara itu, terdapat kebimbangan bahawa satu lagi kemudahan awam, Padang Golf Eksekutif Mandai (MEGC), akan juga ditutup.
Namun pemerintah memutuskan untuk melanjutkan pajakannya selama dua tahun kepada Disember 2026.
Ini satu keputusan yang dialu-alukan dan mendapat sokongan besar.
Namun ada rancangan bahawa tapak MEGC akan dijadikan kemudahan lain. Langkah itu akan memberi kesan ketara kepada masyarakat golf.
Golf di Singapura berada di persimpangan jalan.
Pada satu pihak, permainan ini lebih popular berbanding sebelum ini – peningkatan bilangan pemain golf setiap tahun seperti yang ditunjukkan satu kajian terperinci.
Sebaliknya, kemudahan bermain golf semakin menyusut pada kadar membimbangkan melainkan ada pemikiran semula.
Ini terutamanya mengenai kemudahan awam dan menjejas rata-rata pemain golf yang tidak mampu untuk mendapatkan keahlian persendirian.
Sebagai penjaga sukan kebangsaan, Persatuan Golf Singapura (SGA), sentiasa memperjuangkan pembangunan sukan itu, selain ingin menangani beberapa aspek penting dalam situasi tersebut.
Data terkini daripada Laporan Penyertaan Global R&A 2023 menunjukkan peningkatan ketara dalam penyertaan golf di Singapura, dengan bilangan pemain golf meningkat daripada 80,000 pada 2018 kepada 120,000 pada 2023.
Lonjakan itu menggariskan populariti golf semakin meningkat dan tarikannya yang semakin meluas merentasi pelbagai demografi, terutamanya dalam kalangan pemain golf lebih muda (berumur di bawah 35 tahun) dan pemain golf wanita.
Tinjauan yang lebih terkini melaporkan seorang daripada 10 rakyat Singapura telah bermain di padang golf pada 2023.
Selain itu, satu perempat daripada rakyat Singapura yang tidak bermain golf sekarang berminat berbuat demikian pada masa depan.
Semasa tempoh Covid-19, padang golf tempatan penuh sesak dan kemudahan akses kepada permainan itu memainkan peranan penting dalam menggalak kesihatan mental dan kesejahteraan, di tengah-tengah kemurungan dan kebimbangan disebabkan pandemik.
Laporan Golf dan Kesihatan R&A juga telah menyerlahkan faedah kesihatan fizikal, mental dan sosial golf yang meluas, termasuk pencegahan dan rawatan 40 penyakit kronik utama, dengan pemain golf secara purata hidup lima tahun lebih lama daripada bukan pemain golf.
Walaupun minat terhadap golf semakin meningkat, Singapura telah menyaksikan penurunan dalam kemudahan golf yang boleh diakses sejak beberapa tahun.
Padang Golf Seletar Base ditutup pada 2007, diikuti beberapa kelab sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk Jurong Country Club pada 2016; Raffles Country Club pada 2018; dan lokasi asal Bukit Chermin Keppel Club pada 2022.
Kemudahan awam lain yang telah ditutup ialah seperti padang golf Champions (2023) dan Marina Bay pada Jun.
MEGC, yang merupakan pengalaman pertama golf di padang golf bagi ramai pemain baru, akan ditutup pada 2026.
Penutupan itu telah mengakibatkan kehilangan satu pertiga daripada padang golf di sini, kebanyakannya padang golf awam, menjadikannya semakin sukar bagi pemain golf biasa untuk mencari tempat bermain.
Pengurangan itu amat ketara bagi padang golf awam. Hampir semuanya sama ada telah hilang atau akan lenyap tidak lama lagi.
Penutupan Padang Golf Marina Bay dan penutupan MEGC yang akan berlaku, akan menghalang perkembangan progresif golf selepas bertahun-tahun usaha oleh pihak berkepentingan melainkan padang awam baru tersedia.
Tamparan lebih besar mungkin berlaku beberapa tahun lagi apabila pajakan Orchid Country Club (OCC) tamat pada 2030.
Agak susah difikirkan bahawa kita akan kehilangan dua kawasan utama yang memberi manfaat kepada kesihatan sukan dan kebajikan tenaga kerja dalam jangka masa yang begitu singkat, tanpa penyelesaian yang dapat dilihat.
Sifat dinamik perancangan guna tanah Singapura memerlukan keseimbangan yang menampung kedua-dua pertumbuhan ekonomi dan pembangunan golf.
Pada masa golf menjadi begitu popular dan membuat sumbangan besar kepada badan amal dan menganjurkan kejohanan besar, pemain golf mendapati diri mereka tidak mempunyai banyak tempat untuk bermain.
SGA tetap berdedikasi untuk membangunkan permainan di Singapura dan memastikan ia terangkum.
Kami ingin melihat strategi guna tanah yang seimbang dan bertenaga sejajar dengan keperluan pertumbuhan bandar dan pembangunan golf di Singapura.
Kami akan meneruskan usaha dalam mempromosi sukan ini kepada masyarakat yang lebih luas, termasuk meneroka format alternatif golf.
Kelab golf kami semakin sedar dan peka terhadap keperluan untuk memanfaatkan kemudahan dan sumber masing-masing kepada orang awam, memastikan golf kekal terangkum.
Tan Chong Huat ialah presiden Persatuan Golf Singapura (SGA) dan Joshua Ho ialah bekas atlet golf negara dan kini pengurus besar SGA.
“
“Sifat dinamik perancangan guna tanah Singapura memerlukan keseimbangan yang menampung kedua-dua pertumbuhan ekonomi dan pembangunan golf. Pada masa golf menjadi begitu popular dan membuat sumbangan besar kepada badan amal dan menganjurkan kejohanan besar, pemain golf mendapati diri mereka tidak mempunyai banyak tempat untuk bermain. SGA (Persatuan Golf Singapura) tetap berdedikasi untuk membangunkan permainan di Singapura dan memastikan ia terangkum.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg