Menentang beberapa pemain golf dari universiti terkemuka di Amerika Syarikat, Hiroshi Tai, mencipta sejarah pada 28 Mei apabila beliau menjadi warga Singapura pertama melayakkan diri untuk beraksi di kejuaraan Masters.
Beliau meraih pencapaian itu selepas memenangi Kejohanan Persatuan Atletik Kolej Nasional (NCAA) di Carlsbad, California.
Beliau ialah pemain golf dari Asia pertama memenangi kejuaraan tersebut.
Dengan kemenangan itu, Tai, yang menuntut di Institut Teknologi Georgia sejak 2022, menempa tempat di dua pertandingan Major – Terbuka AS pada Jun 2024 dan Masters 2025.
Ini bermakna beliau akan menjadi pemain golf Singapura pertama yang bermain di Augusta National, lokasi berlangsungnya kejohanan Masters yang berprestij.
Pemenang kejohanan NCAA sebelum ini termasuk juara Major Ben Crenshaw, Bryson DeChambeau, Phil Mickelson dan Tiger Woods.
Tai, 22 tahun, berkata dalam temu bual selepas perlawanan:
“Ia agak menggerunkan, tetapi memenangi kejuaraan individu ini amat bermakna bagi saya. Tentu saja jurulatih (Bruce) Heppler telah melakukan tugas yang hebat dalam merekrut pemain.
“Beliau menyertakan nama saya dalam senarai itu sekali gus saya dikelilingi individu-individu yang hebat. Ia merupakan pengalaman yang menarik buat saya.”
Pengurus Besar Persatuan Golf Singapura (SGA), Joshua Ho, menyifatkan kemenangan Tai sebagai pencapaian besar dan percaya beliau akan bermain di peringkat tertinggi iaitu Jelajah PGA suatu hari nanti.
Encik Ho memberitahu The Straits Times:
“Ia adalah hari yang membanggakan bagi golf Singapura. Ini hanya permulaan untuk perjalanan yang lebih besar untuknya.
“Bermain dalam Majors akan menguji kemahirannya menentang pemain profesional terbaik dunia. Ia akan mendorongnya untuk terus berusaha dan akhirnya berpeluang bertanding pada salah satu jelajah Utama seperti Jelajah PGA.
“Beliau mempunyai peluang terbaik untuk mencapai semuanya. Walaupun beliau masih muda, kematangannya jauh melebihi usianya. Komitmen, dedikasi dan profesionalisme terhadap golf ialah sesuatu yang membezakannya daripada pemain golf elit lain.”
Encik Ho secara langsung mempunyai pengalaman dengan bakat dan kematangan Tai, setelah menjadi kedi beliau di Sukan SEA 2019.
Waktu itu, tumpuan lebih diberikan kepada rakan sepasukannya yang lebih berpengalaman iaitu, James Leow, yang baru sahaja merangkul pingat emas individu kedua Singapura di Filipina.
Namun pada separuh akhir kategori pasukan, Tai bangkit bantu mengalahkan Indonesia dalam penentuan ‘sudden-death’ atau kalah mengejut.
Encik Ho berkata:
“Formatnya adalah setiap pasukan harus memilih seorang pemain untuk bermain penentuan satu lawan satu. Semasa perbincangan pasukan, Hiroshi mengangkat tangannya dan berkata beliau bersedia untuk bermain.
“Baliau membuat birdie untuk menghantar Singapura ke final. Ini menunjukkan kematangan dan keyakinannya.”
Bertanding di Padang Golf La Costa North pada 27 Mei, Tai, yang berada di kedudukan ke-70 dalam Kedudukan Golf Amatur Dunia, berjaya mengatasi triple bogi pada lubang kedua terakhirnya untuk mengakhiri pusingan dengan mata satu bawah par 71.
Jumlah mata tiga bawah 285 yang diraih memberikannya kemenangan satu pukulan ke atas enam pemain, termasuk juara 2022 Gordon Sargent dari Universiti Vanderbilt.
Beliau juga terpaksa membuat pukulan par yang sukar pada lubang ke sembilan untuk memastikan Georgia Tech layak ke kejuaraan antara pasukan di kedudukan kelapan.
Pelajar itu adalah pemain keempat dari Georgia Tech untuk memenangi kejuaraan NCAA dan yang pertama sejak Troy Matteson pada 2002.
Sebelum ini beliau telah merangkul dua kejuaraan pada 2022 – Pertandingan Maui Jim dan Pertandingan Georgia Collegiate.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg