Bagi pemandu Williams, Alex Albon, Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Singapura, yang berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober, sentiasa terasa seperti perlumbaan di tanah air sendiri.

Selain Marina Bay merupakan litar paling dekat dengan tanah airnya, Thailand, suasananya – daripada makanan tempatan Asia hingga iklim tropika – membuat beliau rasa seperti dirinya sudah pulang ke Thailand.

Beliau malah menganggap Singapura sebagai perlumbaan ‘tanah air’nya, sekali gus mengukuhkan kedudukan istimewa litar itu dalam kalendarnya.

“Penduduk Asia Tenggara... semua orang sangat mesra dan baik antara satu sama lain.

“Setiap kali saya datang ke Singapura, untuk benar-benar diterima dan disambut oleh penduduk setempat itu sangat menyenangkan.

“Terdapat juga persamaan kebudayaan Asia, dapat makan makanan Asia dan merasai kelembapan serta cuaca ini, ia membuatkan saya rasa seperti kembali ke Thailand,” kata Albon kepada Berita Harian (BH).

Namun, di sebalik rasa keselesaan itu, beliau sendiri tahu perkara itu tidak menjadikan litar di Singapura semakin mudah, walaupun dengan pengalaman.

Malah, beliau mendapati Marina Bay kekal sebagai salah satu perlumbaan yang paling mencabar dari segi fizikal dan mental dalam kalendar F1.

Di sebalik keindahan suasana malam Grand Prix Singapura, Litar Marina Bay kekal sebagai antara litar paling mencabar dari segi fizikal dan mental dalam kalendar Formula Satu (F1).
Di sebalik keindahan suasana malam Grand Prix Singapura, Litar Marina Bay kekal sebagai antara litar paling mencabar dari segi fizikal dan mental dalam kalendar Formula Satu (F1). - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Bagi Albon, pengajaran terbesar daripada Litar Marina Bay ialah apabila beliau membandingkan musim pertamanya dengan musim kedua di litar tersebut.

“Pengajaran terbesar merupakan dari tahun pertama ke tahun kedua – betapa fizikalnya perlumbaan di Singapura.

“Bukan sekadar kerana cuaca panas, tetapi ia juga sangat mencabar dari segi mental. Ia litar jalan raya dan kami berlumba pada waktu malam, ketika penglihatan tidak begitu jelas,” katanya.

Marina Bay memang terkenal dengan tuntutan fizikalnya.

Litar sepanjang 4.927 kilometer itu mempunyai 19 selekoh dan perlumbaan utama berlangsung selama 62 pusingan, dengan pemandu boleh kehilangan sehingga kira-kira 3 kilogram berat badan sepanjang perlumbaan.

Sebab itu, pengalaman tersebut mengubah cara Albon membuat persiapan.

Beliau dan pasukannya memberikan lebih perhatian kepada latihan haba dan persediaan fizikal menjelang perlumbaan Singapura.

Namun tahun ini, cabarannya bertambah.

Buat kali pertama, Singapura akan menganjurkan perlumbaan Sprint.

Sesi latihan bebas (FP1) pertama dan Kelayakan Sprint berlangsung pada 9 Oktober, diikuti Sprint serta kelayakan Grand Prix pada 10 Oktober sebelum perlumbaan utama 62 pusingan pada 11 Oktober.

Bagi Albon, format itu bukan sesuatu yang semestinya ideal bagi litar seperti Marina Bay.

Menurutnya, litar seperti Singapura memerlukan masa bagi pemandu membina keyakinan kerana dinding berada begitu hampir dengan kereta.

“Litar sebegini mengambil masa untuk kami membina keyakinan. Kami hampir perlu memaksa diri keluar daripada zon selesa. Menjelang Kelayakan Sprint, kami sudah perlu berada pada tahap kelajuan yang sepatutnya,” katanya.

Itu bermakna Albon perlu mengambil lebih banyak risiko lebih awal daripada kebiasaan.

“Dalam FP1 dan Kelayakan Sprint, kami perlu mengambil lebih banyak risiko berbanding biasa untuk mendapatkan rentak dengan lebih pantas,” tambahnya.

Apabila ditanya apa yang beliau mahu penyokong ingat tentang kerjayanya dalam F1, Albon tidak menyentuh tentang kemenangan atau jumlah mata.

Sebaliknya, beliau memilih satu perkataan – ketabahan.

“Saya mahu orang ingat bahawa ia tidak datang dengan mudah bagi ramai pemandu.

“Banyak kisah tentang ahli sukan yang berjaya menggambarkan mereka sebagai yang terbaik, mereka menjadi yang terbaik dengan mudah.

“Saya rasa kerjaya saya dipenuhi banyak naik turun. Itu bermula sebelum F1, sejak awal saya berlumba, tetapi saya sentiasa mampu bangkit semula dan masih beraksi pada tahap tinggi,” katanya.

“

“Pengajaran terbesar merupakan dari tahun pertama ke tahun kedua – betapa fizikalnya perlumbaan di Singapura. Bukan sekadar kerana cuaca panas, tetapi ia juga sangat mencabar dari segi mental. Ia litar jalan raya dan kami berlumba pada waktu malam, ketika penglihatan tidak begitu jelas.”
Alex Albon, pemandu Williams.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan