Ribuan peminat dijangka membanjiri kawasan di sekitar Litar Marina Bay untuk menyaksikan perlumbaan Formula Satu (F1) yang dinanti-nantikan, berlangsung selama tiga hari dari 3 hingga 5 Oktober.
Menjelang edisi ke-16, acara tahunan tersebut bukan sekadar menawarkan perlumbaan penuh debaran, malah turut menjanjikan pelbagai hiburan menarik untuk pengunjung, termasuk mereka yang bukan peminat tegar sukan permotoran.
Sejak dianjurkan pada 2008, Grand Prix Singapura telah menarik lebih 720,000 pelancong antarabangsa dan tiket sering kali laris terjual, dengan lebih 50 peratus penonton terdiri daripada penduduk tempatan.
Badan induk F1 pada 2025 mengklasifikasikan perlumbaan itu sebagai ‘perlumbaan bahaya haba’.
Keputusan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) itu dibuat berdasarkan ramalan suhu mencecah 31 darjah Celsius atau lebih tinggi.
Sebagai langkah keselamatan tambahan, pelumba dibenarkan memakai ves pendingin semasa perlumbaan.
Penggunaan ves tidak diwajibkan, namun setiap pasukan mesti melengkapkan kereta mereka dengan balast – alat untuk menambah berat kenderaan – bagi memastikan pelumba yang memilih untuk tidak menggunakannya tidak memperoleh kelebihan dari segi berat kenderaan.
Mana-mana pelumba yang tidak memakai ves perlu membawa pemberat tambahan sebanyak 0.5 kilogram bagi mengelak sebarang kelebihan prestasi.
Dalam perlumbaan F1, setiap kilogram yang dikurangkan boleh menyumbang kepada pengurangan sebanyak 0.1 saat dalam masa pusingan – perbezaan ketara dalam perlumbaan kompetitif.
Pelumba Mercedes, George Russell, pernah mencuba ves pendingin tersebut semasa Grand Prix Bahrain dan memberikan maklum balas positif.
Perubahan tersebut tidak menjejas keghairahan peminat F1.
Selain aksi perlumbaan, pentas hiburan di Padang turut menjadi tumpuan.
Acara itu pernah menampilkan bintang antarabangsa seperti Green Day, Rihanna, Katy Perry, Justin Bieber, Dua Lipa, Post Malone, Elton John dan The Killers.
Bagi edisi kali ini, legenda muzik Britain, Elton John, bakal kembali menggegarkan pentas, bersama penyanyi dan penulis lagu dari Scotland, Lewis Capaldi; bintang K-Pop, G-Dragon dan CL; kumpulan rok Amerika, Foo Fighters; serta deejay (DJ) dan penerbit terkenal dari Norway, Alan Walker.
Perlumbaan itu turut mengukuhkan reputasi Singapura sebagai hab hiburan utama di Asia, khususnya selepas kejayaan konsert mega luar musim perlumbaan oleh Coldplay, Lady Gaga dan Taylor Swift, dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Sebagai contoh, siri empat konsert eksklusif Lady Gaga di Singapura pada Mei lalu telah menjana anggaran hasil pelancongan antara $100 juta dengan $150 juta, menurut pakar.
Grand Prix Singapura mencatatkan kehadiran tertinggi dalam sejarah pada 2022 dengan 302,000 pengunjung.
Manakala secara konsisten setiap tahun sejak 2008, sekurang-kurangnya 200,000 orang menghadiri acara gah tersebut.
Coldplay dianggarkan menarik lebih 200,000 peminat dalam enam persembahan pada Januari, manakala Taylor Swift mengumpul lebih 300,000 peminat untuk enam konsertnya pada Mac.
Menurut anggaran penganalisis sektor swasta, konsert berskala besar seperti itu boleh menjana hasil pelancongan antara $350 juta dengan $450 juta, seperti yang dinyatakan Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Meskipun angka tersebut mengagumkan, Grand Prix Singapura menawarkan kesan ekonomi yang lebih besar dan berterusan.
Acara lumbaan tersebut telah memberikan pulangan ekonomi secara konsisten setiap tahun sejak 2008, berbeza dengan konsert atau acara sekali-sekala.
Menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB), acara itu telah menyumbang lebih $2.2 bilion dalam hasil pelancongan tambahan, melibatkan pelbagai sektor termasuk hospitaliti, makanan dan minuman, tarikan pelancongan serta runcit.
Pengarah bahagian sukan STB, Lilian Chee, berkata sejak edisi sulungnya, lebih 720,000 pelawat antarabangsa telah menghadiri perlumbaan itu, merangkumi lebih 40 peratus daripada jumlah keseluruhan penonton.
Ini bermaksud lebih sejuta warga tempatan dan penduduk tetap turut menyokong acara itu.
Menurut beliau, perlumbaan tersebut “kekal sebagai acara teras yang sangat dekat di hati rakyat tempatan”.
Untuk edisi 2024, Grand Prix Singapura mencatat kehadiran penuh seramai 269,072 peminat sepanjang tiga hari perlumbaan berlangsung.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg