Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Granit Xhaka letak Sunderland ke tempat empat teratas EPL susulan seri dengan Everton

Nov 4, 2025 | 2:02 PM
Granit Xhaka, Sunderland, Everton, EPL
Granit Xhaka (kanan) menjaringkan gol penyamaan dalam perlawanan Sunderland menentang Everton. - Foto REUTERS

SUNDERLAND (England): Sunderland naik ke tempat empat teratas Liga Perdana England (EPL) selepas jaringan Granit Xhaka memberi keputusan seri 1-1 di tempat sendiri menentang Everton pada 3 November.

The Black Cats, julukan bagi Sunderland, boleh naik ke tempat kedua jika menang, tetapi mereka ketinggalan pada separuh masa pertama kepada jaringan cemerlang pemain Everton, Iliman Ndiaye.

Everton seolah-olah menyesal kerana tidak menggunakan penguasaan mereka pada separuh masa pertama apabila Thierno Barry terlepas peluang keemasan, selain sepakan Jack Grealish yang terkena tiang gol.

Sunderland mengambil masa kurang seminit pada separuh masa kedua untuk membalas apabila jaringan Xhaka terkena James Tarkowski untuk menewaskan Jordan Pickford di Stadium of Light.

Pasukan tuan rumah kemudiannya kelihatan lebih berkemungkinan meraih tiga mata, tetapi Wilson Isidor mensia-siakan peluang terbaik Sunderland untuk meraih kemenangan.

Namun, satu mata itu sekurang-kurangnya mengekalkan rekod tanpa kalah Sunderland di tempat sendiri bagi permulaan mengagumkan mereka bagi kempen EPL ini.

Everton mempunyai lima mata melebihi tiga kelab terbawah, pada tangga ke-14, tetapi kekurangan pemain penyerang yang baik sekali lagi menyebabkan mereka kehilangan genggaman kemenangan.

Satu detik ajaib memberikan pasukan pelawat pendahuluan pada minit ke-15 apabila Ndiaye berjaya melepasi empat pemain pertahanan Sunderland sebelum merembat ke sudut atas untuk gol keempatnya musim ini.

Tendangan jarak jauh oleh Grealish malangnya terkena tiang gol, tetapi kegagalan Barry yang akan kekal lama dalam ingatan penyokong.

Pemain Perancis itu masih belum menjaringkan gol sejak pemindahan 27 juta paun ($46 juta) dari Villarreal pada Julai. Namun beliau terlepas peluang lagi apabila menendang jauh dari sasaran, walaupun dengan gawang ternganga hasil hantaran lintang Grealish.

Walaupun 45 minit pertama kurang memuaskan, Sunderland menyamakan kedudukan dalam tempoh 44 saat pada separuh masa kedua apabila Xhaka menjaringkan gol pertamanya sejak tiba dari Bayer Leverkusen.

Keputusan itu meningkatkan kedudukan tangga Sunderland mengatasi Tottenham dan Chelsea serta sama mata dengan Liverpool.

Tetapi mereka perlu bermain dengan lebih baik untuk mempertahankan rentak tanpa kalah mereka di Stadium of Light apabila pendahulu EPL, Arsenal, bertandang ke gelanggang itu pada 8 November nanti. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg