Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gravenberch menyerlah, bantu Liverpool menang

Oct 6, 2023 | 11:14 AM
JARINGAN PERTAMA: Pemain tengah Liverpool, Ryan Gravenberch (jersi nombor 38), menjaringkan gol pertamanya buat Liverpool dalam kemenangan 2-0 atas Union Saint-Gilloise. Prestasi beliau dalam perlawanan ini meyakinkan Juergen Klopp.
JARINGAN PERTAMA: Pemain tengah Liverpool, Ryan Gravenberch (jersi nombor 38), menjaringkan gol pertamanya buat Liverpool dalam kemenangan 2-0 atas Union Saint-Gilloise. Prestasi beliau dalam perlawanan ini meyakinkan Juergen Klopp. - Foto EPA-EFE

ANFIELD: Ryan Gravenberch menjaringkan gol pertamanya buat Liverpool semasa mereka menewaskan Union Saint-Gilloise dalam Liga Europa.

Beliau menjaringkan gol tersebut sebelum separuh masa pertama, selepas rembatan Trent Alexander-Arnold ditepis oleh Anthony Moris.

Gol itu memberikan semangat dalam separuh masa pertama yang agak membosankan akibat kekurangan peluang gol di Anfield.

Darwin Nunez terlepas peluang keemasan apabila percubaannya tersasar selepas mendapat hantaran Mohamed Salah, manakala Gustaf Nilsson terlepas tandukan dari jarak dekat untuk Union Sanit-Gilloise.

Gravenberch beraksi cemerlang, dinafikan gol keduanya selepas sejam apabila percubaan beliau ditepis keluar oleh Moris.

Pasukan Belgium itu cuba mempertingkatkan saingan tetapi Liverpool melengkapkan kemenangan mereka apabila Diogo Jota menjaringkan gol kedua The Reds.

Ia bukanlah persembahan yang mengagumkan buat Liverpool, tetapi selepas kontroversi video penolong pengadil (VAR) semasa kekalahan Liga Perdana England (EPL) pada 1 Oktober menentang Tottenham, ini merupakan kemenangan yang rutin dan tanpa masalah.

Liverpool mengetuai Kumpulan E dengan enam mata daripada dua perlawanan.

“Anda tidak boleh hanya menang apabila anda benar-benar (bermain dengan) menarik. Ini pengalaman baik... kami dapat belajar banyak daripada perlawanan ini,” kata pengurus Liverpool, Juergen Klopp.

Pemain tengah warga Belanda, Gravenberch, 21 tahun, tiba dari Bayern Munich tetapi terpaksa bersabar untuk mendapatkan peluang menunjukkan bakat beliau.

Penampilannya di EPL adalah sebagai pemain ganti, dengan dua permulaannya dalam Liga Europa dan Piala Liga.

Namun, ini merupakan persembahan yang menarik perhatian oleh Gravenberch, yang banyak terlibat dalam perlawanan tersebut – mencipta peluang bagi rakan-rakannya selain menjaringkan gol pembukaan.

Beliau mempunyai satu gol dan dua assist dalam tiga permulaan, satu sumbangan yang mungkin akan membantunya mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Liverpool yang beraksi dalam EPL tidak lama lagi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg