Dengan dorongan sekumpulan peminat yang memberi sorakan gemuruh di Pusat Akuatik OCBC pada 23 Julai, pasukan Greece mempamerkan aksi cemerlang untuk menewaskan Hungary 12-9 dalam perlawanan akhir polo air wanita Kejohanan Akuatik Dunia 2025 (WCH 2025).
Kemenangan tersebut memberikan Greece gelaran juara dunia keduanya, setelah memenanginya buat kali pertama di China pada 2011.
Kapten pasukan Greece, Eleftheria Plevritou, berkata: “Saya tahu sejak awal lagi... hati saya merasakan (bahawa kami akan menang).
“Semasa sesi latihan pertama kami di kolam pertandingan, terdapat (satu sepanduk digital yang menyatakan) ‘Greece juara’. Ia seperti satu petanda, dan kini kami adalah juara dunia.
“Pada hari pertama kami datang ke kolam ini, seorang pegawai teknologi (memasang sepanduk tersebut). Bagi saya, ia adalah petanda bahawa kami akan menang.”
Pasukan Greece dan Hungary pernah berentap dalam perlawanan akhir polo air wanita semasa Piala Dunia 2025 pada April di China, dengan Greece turut menjuarai pertandingan tersebut dengan keputusan 13-9.
Kededua pasukan tersebut juga bertemu dalam peringkat kumpulan di Singapura, dengan Hungary menewaskan Greece 10-9 pada 11 Julai, lapor The Straits Times (ST).
Dalam perlawanan akhir, Greece membuka jaringan menerusi penjaring terbanyak dalam kejohanan tersebut, Foteini Tricha (25 gol, termasuk tiga gol dalam perlawanan akhir).
Walaupun pemain Hungary, Natasa Rybanska, menyamakan kedudukan, gol yang dijaringkan oleh Eleni Xenaki dan Plevritou membantu Greece menamatkan suku pertama dengan kelebihan 3-1.
Pada suku kedua, Greece menguasai permainan apabila Xenaki menyempurnakan tiga gol, sementara pemain Hungary terus bergelut untuk menjaringkan gol – sering kali dihalang penjaga gol Greece, Ioanna Stamatopoulou, yang berjaya menyelamatkan beberapa percubaan bahaya.
Greece menamatkan babak pertama dengan kelebihan 8-4 menjelang waktu rehat.
Walaupun Hungary bangkit semula pada suku ketiga (2-2) dan suku keempat (3-2), Greece memenangi pertandingan tersebut dengan keputusan 12-9.
Pemain Hungary, Rita Keszthelyi berkata: “Kami tidak begitu cekap dari awal lagi dalam pertahanan. Kami juga bergelut dan tidak cukup sabar ketika menyerang.
“Hari ini, pasukan Greece bermain lebih baik daripada kami. Mereka memang layak menang.”
Dalam perlawanan merebut pingat gangsa sebelum itu, pasukan nombor satu dunia, Sepanyol, hampir kalah tetapi berjaya juga menewaskan pasukan ranking ketiga, Amerika Syarikat, dengan keputusan 13-12.
Kejohanan Akuatik Dunia 2025, yang julung kalinya dianjurkan di Singapura, bermula secara rasmi pada 11 Julai dengan pertandingan polo air di Pusat Akuatik OCBC.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg