Topik diikuti
Pergi ke BHkuGuardiola bakal tinggalkan Man City?
Guardiola bakal tinggalkan Man City?
Bekas pembantu Guardiola, Enzo Maresca, kini disebut-sebut sebagai calon utama ambil alih jawatan
Guardiola bakal tinggalkan Man City?
MANCHESTER: Manchester City sedang membuat persiapan bagi pemergian Pep Guardiola selepas perlawanan Liga Perdana England (EPL) menentang Aston Villa pada 24 Mei.
Ini bermakna pengurus kelab itu bakal menamatkan kerjaya gemilangnya selama sedekad di Etihad, menurut laporan media Britain pada 18 Mei.
Laporan daripada portal sukan terkemuka Daily Mail dan The Athletic mendedahkan bahawa pengurus berusia 55 tahun itu akan melepaskan jawatannya meskipun kontrak semasanya masih berbaki setahun.
Setakat ini, pihak pengurusan City enggan memberikan sebarang ulasan rasmi berhubung spekulasi tersebut.
Setakat ini, City mengekalkan kontraknya untuk musim hadapan dan berharap beliau akan kekal sebagai pengurus.
Bagaimanapun, kelab itu telah mengatur majlis perarakan trofi di sekitar bandar raya Manchester pada 18 Mei bagi meraikan kejayaan menjulang Piala Liga dan Piala FA.
Majlis berkenaan turut dilihat oleh penganalisis bola sepak sebagai majlis perpisahan buat Guardiola.
Spekulasi tentang masa depan pengurus itu telah berleluasa selama berbulan-bulan, dengan persoalan tentang tempoh perkhidmatannya di City sering timbul dalam sidang akhbar.
Pada 15 Mei, ketika ditanya sama ada lawatan ke Wembley pada hari berikutnya untuk perlawanan akhir Piala FA akan menjadi lawatan terakhirnya ke sana, beliau hanya menjawab: “Tidak mungkin” kerana mempunyai “satu tahun lagi” dalam kontraknya.
Apabila ditanya BBC Sport sebelum perlawanan akhir Piala FA pada 16 Mei, sama ada beliau masih akan berada di kelab itu musim depan, Guardiola menjawab: “Ya.”
Sejak berhijrah ke England pada 2016, pengurus kelahiran Sepanyol itu telah mengubah Manchester City menjadi kuasa besar bola sepak dunia dengan menghadiahkan 20 trofi, termasuk enam gelaran Liga Perdana England (EPL) dan kejuaraan sulung Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
City berpeluang menambah satu lagi koleksi trofi sekiranya mereka memenangi dua aksi terakhir liga menentang Bournemouth dan Aston Villa.
Susulan laporan pengunduran tersebut, bekas pengurus Chelsea yang juga bekas pembantu Guardiola di City, Enzo Maresca, kini disebut-sebut sebagai calon utama untuk mengambil alih jawatannya bermula musim depan.
Di bawah kendalian Guardiola yang disokong dana besar daripada keluarga diraja Abu Dhabi, City berjaya keluar daripada bayang-bayang musuh tradisi, Manchester United, untuk menguasai saingan domestik.
Falsafah permainan hantaran pendeknya turut merevolusikan bola sepak England sehinggakan taktik beliau mempengaruhi pengurus seperti Mikel Arteta (Arsenal), Arne Slot (Liverpool), dan Xabi Alonso (bekas pengurus Bayer Leverkusen, Real Madrid).
Sebelum mencipta legasi di England, Guardiola sudah pun membina reputasi sebagai antara jurulatih terbaik Eropah apabila memenangi dua kejuaraan UCL bersama Barcelona (2008–2012) dan tiga gelaran Bundesliga berturut-turut bersama Bayern Munich.
Namun, keputusan mengejutkan untuk meninggalkan kelab itu timbul ketika arena bola sepak antarabangsa sedang menantikan keputusan rasmi berhubung siasatan kes salah laku kewangan melibatkan lebih 100 tuduhan oleh pihak EPL terhadap City.
Kes berkenaan, yang mula difailkan sejak Februari 2023, telah selesai menjalani proses pendengaran oleh jawatankuasa bebas pada Disember 2024 dan keputusannya dijangka bakal memberikan kesan besar kepada reputasi serta pencapaian kelab itu. – Agensi berita.
