Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, memberi bayangan bahawa Jack Grealish mungkin perlu mempertimbangkan untuk meninggalkan kelab itu pada musim panas ini.
Beliau berkata ini supaya pemain antarabangsa England itu boleh mendapatkan lebih banyak peluang bermain selepas tidak tersenarai dalam skuad City yang berlepas ke Amerika Syarikat untuk menyertai kejohanan Piala Kelab Dunia Fifa 2025.
Pemain tengah berusia 29 tahun itu, yang dibeli daripada Aston Villa dengan nilai £100 juta pada 2021, hanya membuat tujuh penampilan dalam kesebelasan utama dalam saingan Liga Perdana England (EPL) musim 2024-25.
Bercakap menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan G menentang Wydad Casablanca dari Maghribi, Guardiola mengakui masa depan Grealish bersama City masih belum pasti.
“Kami telah berbincang, antara beliau dengan kelab, dan memutuskan adalah lebih baik untuk beliau tidak menyertai pasukan ke Piala Dunia Kelab,” kata Guardiola.
“Jack ialah pemain yang luar biasa. Satu-satunya sebab beliau tidak banyak bermain musim lalu adalah keputusan saya sendiri. Kini, kami merasakan beliau perlu bermain secara konsisten. Kelab bersikap jujur, dan beliau juga begitu.”
Guardiola menegaskan kepentingan Grealish dalam skuad ketika mereka menjulang tiga kejuaraan pada musim 2022-23, serta pengaruhnya semasa bersama Aston Villa.
Namun, beliau mengakui dua musim terakhir menyaksikan Grealish bergelut untuk mengekalkan prestasi konsisten.
“Beliau amat menghormati dan menyayangi pasukan ini,” kata Guardiola.
“Kami merasakan lebih baik untuk dia kekal di Manchester, mencari tempat di mana dia boleh kembali merasai semangat untuk bermain dan mendapatkan semula prestasi seperti semasa tahun treble kami atau ketika di Villa.
“Realitinya, dalam dua musim kebelakangan ini, beliau kurang bermain dan dia perlu kembali merasai aksi secara tetap – dengan cabaran bermain setiap tiga hari.”
Walaupun Guardiola tidak menutup kemungkinan Grealish kekal di Stadium Etihad, beliau mengakui pemain itu dan kelab akan menggunakan tempoh Piala Dunia Kelab ini untuk menilai masa depannya.
“Saya tidak pasti sama ada masa depannya masih di Manchester,” katanya.
“Kami akan berada di luar negara sekarang, dan kita akan lihat apa yang berlaku.
“Buat masa ini, beliau masih pemain Manchester City, dan jika beliau perlu kembali, beliau akan kembali.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg