Guardiola bukti semangat untuk jaya masih membara, apabila benam Arsenal 2-0

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guardiola bukti semangat untuk jaya masih membara, apabila benam Arsenal 2-0

Pengurus City raih kejayaan kelima dalam kejohanan, apabila benam Arsenal 2-0
Mar 23, 2026 | 3:11 PM

Guardiola bukti semangat untuk jaya masih membara, apabila benam Arsenal 2-0

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
bola sepak, Piala Carabao, Manchester City, Arsenal, Pep Guardiola
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menunjukkan kegembiraannya selepas pasukannya menjaringkan gol pembukaan dalam perlawanan final Piala Carabao antara Arsenal dengan City di Stadium Wembley, London, 22 Mac. - Foto EPA

LONDON: Larian dan tarian Pep Guardiola di sepanjang sisi luar padang Wembley membuktikan bahawa semangatnya untuk meraih kejayaan masih membara, dengan api persaingan yang masih belum luntur.

Aksi spontan itu dibuat selepas tandukan kedua Nico O’Reilly dalam masa empat minit yang memastikan kemenangan 2-0 Manchester City ke atas Arsenal dalam final Piala Carabao pada 22 Mac.

Ini merupakan kemenangan kelima Guardiola dalam kejohanan tersebut.

Guardiola meluahkan perasaan gembiranya dengan menumbuk ke udara ke arah penyokong City yang giat bersorak meraikan kemenangan itu. 

Selepas wisel penamat dibunyikan, Guardiola memeluk para pemain dan kakitangan sokongan dengan penuh erat.

Aksi yang ditonjolkan Guardiola itu jelas menunjukkan betapa pentingnya kemenangan ini buat beliau.

“Saya mahu kad kuning lagi, itulah sebabnya saya buat begitu,” gurau Guardiola ketika ditanya mengenai aksi spontan beliau menyambut kemenangan pasukannya itu.

“Kalau saya tidak boleh meraikan kemenangan pada saat seperti ini, menentang pasukan sehebat Arsenal (bila lagi saya patut berbuat demikian?), dan melihat cara kami bermain... emosi saya berkait rapat dengan cara kami bermain.

“Saya bukan kecerdasan buatan, saya seorang manusia, dan saya mahu meraikannya. Ini bukan untuk mempersenda Arsenal atau penyokong lain – saya hanya meraikan bersama pasukan saya. Dan apabila saya rasa sesuatu, saya luahkannya.”

Sebaliknya, Arsenal diselubungi kesuraman apabila mereka gagal merebut peluang memenangi piala pertama sejak Piala FA 2020 – akibat prestasi kurang menonjol dalam membuat hantaran, sehingga terlambat untuk mengubah corak permainan.

Misi City dan Guardiola bukan sekadar ingin memenangi Piala Carabao, malah untuk tampil dengan persembahan hebat yang mampu menanam ‘benih’ keraguan dalam minda Arsenal.

Arsenal buat masa ini berada di kedudukan pertama (70 mata) dalam carta Liga Perdana England (EPL) dengan kelebihan sembilan mata berbanding City (61 mata).

Ini adalah perlawanan sesuai bagi kedua-dua pasukan untuk tampil menonjolkan diri mereka – City telah berjaya menyatakan keunggulan mereka dengan jayanya, manakala Arsenal gagal di setiap sudut.

Hanya masa yang akan menentukan sama ada keputusan perlawanan itu bakal memberi kesan lebih mendalam.

Adakah keputusan itu akan menjadi pembakar semangat bagi City untuk bangkit dalam perlumbaan liga itu? Adakah kekecewaan kekalahan ini akan merencatkan momentum Arsenal?

City pasti berharap serangan itu meninggalkan kesan psikologi ke atas Arsenal. 

The Gunners pula perlu menyusun semula strategi dan membuktikan daya tahan mereka kekal utuh.

Yang tidak dapat dinafikan ialah pasukan yang lebih baik – jauh lebih baik – telah menang pada hari itu.

City mungkin tidak lagi memiliki ketekalan hebat seperti era pasukan Guardiola yang pernah memenangi empat EPL berturut-turut, namun pasukan versi baru yang telah dibina semula itu masih menyerlah sebagai pasukan bola sepak terbaik England apabila mereka bermain dengan betul.

Ini merupakan piala besar ke-16 Guardiola bersama City, dan walaupun spekulasi mengenai masa depannya dengan pasukan itu selepas musim ini masih hangat diperkatakan, cara pasukannya bermain serta semangat dan keterujaan pengurus asal Sepanyol itu sendiri membuktikan bahawa beliau masih dahagakan kejayaan.

Piala Carabao yang turut dikenali sebagai Piala EFL, mungkin tidak seunggul Liga Juara-Juara atau EPL, namun Guardiola tidak menghiraukan semua itu ketika beliau meraikan kejayaan terbarunya ini.

Guardiola akui bahawa nasib City di EPL kini di luar kawalan mereka, namun kemenangan itu pasti akan menyuburkan harapan dalam pasukan itu

“Sejujurnya, saya ingin berada sembilan mata di depan,” katanya.

“Ia di tangan mereka (pasukan). Kami perlukan masa, dan masa rehat yang luar biasa. Saya letih, dan selepas ini kita akan lihat (prestasi pasukan), langkah demi langkah.”

Beliau menambah: “Saya benar-benar gembira kerana Mikel (Arteta) telah membina pasukan yang hampir tidak dapat ditewaskan. 

“(Kemenangan) lima Piala Carabao dalam 10 tahun bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg