Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hab Tenis Kallang anjur kejohanan tenis antarabangsa wanita 2025-2027

Kejuaraan 250 Persatuan Tenis Wanita (WTA) sebahagian Jelajah WTA Hologic 2025, libat lebih 50 kejohanan di 26 negara, wilayah
Jul 4, 2024 | 5:36 PM
Kejohanan 250 WTA 2025 akan diadakan pada minggu mulai 27 Januari di Kallang Tennis Hub yang baru dibuka, kemudahan tenis dalam bangunan pertama Singapura yang mampu menganjurkan kejohanan antarabangsa.
Kejohanan 250 WTA 2025 akan diadakan pada minggu mulai 27 Januari di Kallang Tennis Hub yang baru dibuka, kemudahan tenis dalam bangunan pertama Singapura yang mampu menganjurkan kejohanan antarabangsa. - Foto fail

Peminat tenis dapat menonton aksi tenis bertaraf dunia secara langsung di Singapura tidak lama lagi.

Dari 2025 hingga 2027, Hab Tenis Kallang akan menganjurkan kejohanan 250 Persatuan Tenis Wanita (WTA).

Dalam satu kenyataan media pada 4 Julai, Hab Sukan Singapura mengumumkan Kallang Alive Sport Management (KASM) telah memperoleh hak penganjuran kejohanan itu.

KASM ditubuhkan oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, dan Majlis Sukan Singapura (SportSG) bagi menguruskan Hab Sukan Singapura, yang kemudahannnya termasuk Hab Tenis Kallang.

“WTA mempunyai sejarah yang kaya di Singapura, setelah mengadakan Pusingan Akhir WTA di sini dari 2014 hingga 2018,” kata Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WTA, Steve Simon.

“Kami teruja untuk kembali musim depan dengan acara 250 WTA,” ujarnya lagi.

Kejohanan 250 WTA 2025 akan diadakan pada minggu mulai 27 Januari di Kallang Tennis Hub yang baru dibuka. Ia adalah kemudahan tenis dalam bangunan pertama Singapura yang berupaya menganjurkan kejohanan antarabangsa.

Acara itu adalah sebahagian daripada kalendar Jelajah WTA Hologic 2025, yang menampilkan lebih 50 kejohanan merentasi 26 negara dan wilayah.

Kejohanan 250 adalah peringkat terendah dalam Jelajah WTA, selepas kejohanan peringkat 500 dan 1,000, dan kemudian Grand Slam.

Ketua Pegawai Operasi (COO) APG yang juga Pengarah Kejohanan baru, Laura Ceccarelli, menambah: “Singapura membawa pengalaman tenis bermutu yang telah menarik beberapa pemain terbaik dunia.

“Kami menantikan tahap permainan baru di acara 250 WTA sepanjang tiga tahun akan datang.”

CEO KASM, Quek Swee Kuan, pula melahirkan rasa teruja untuk kembali menyertai Jelajah WTA.

“Acara ini melengkapkan kalendar sukan yang rancak di Hab Sukan Singapura dan mempromosikan sukan itu pada peringkat tempatan dan serantau,” kata beliau.

“Kami berhasrat membawa khalayak tenis, masyarakat yang lebih luas, dan atlet muda dan nasional kami bersama-sama untuk meraikan sukan ini,” tambahnya.

Pusingan akhir WTA (2014-2018), iaitu acara utama dalam kalendar tenis wanita, merupakan kejohanan tenis antarabangsa pertama yang dianjurkan di Hab Sukan Singapura.

Ini diikuti oleh ATP (Persatuan Pemain Tenis Profesional) Terbuka Singapura, iaitu kejohanan 250 ATP, yang diadakan di Arena OCBC pada 2021.

CEO SportSG, Alan Goh, berkata: “Acara 250 WTA ini akan mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai destinasi sukan utama.

“Penggemar tenis boleh menantikan aksi langsung daripada pemain antarabangsa dan mendapat inspirasi untuk belajar, menonton dan bermain sukan ini.”

Presiden Persatuan Tenis Singapura, Jasmine Quek, menambah: “Pertandingan ini akan menjadi kunci dalam menjadikan Singapura sebuah destinasi utama untuk tenis kompetitif.

“Dengan menyaksikan pemain profesional bertaraf dunia beraksi, atlet muda kita akan mendapat inspirasi untuk meningkatkan tahap persaingan mereka.”

Hab Tenis Kallang, yang dibuka pada April 2024, telah pun menganjurkan acara penting seperti Pertandingan Akhir Divisyen ‘A’ Tenis Sukan Sekolah Kebangsaan dan Pertandingan Berpasukan Persekutuan Tenis Asia 12&U.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg