MARANELLO (Italy): Lewis Hamilton berkata beliau telah “merealisasikan impiannya” dan menyebut hari pertamanya di Ferrari menandakan “era baru dalam sejarah pasukan ikonik ini”.
Hamilton, 40 tahun, memulakan persiapan untuk musim debut bersama pasukan barunya pada 20 Januari di kilang Ferrari di Maranello.
Juara dunia tujuh kali itu menandatangani kontrak dengan Ferrari pada Januari lalu, dengan komitmen kontrak bersama Mercedes menghalang sebarang hubungan rasmi sehingga akhir 2024.
“Ada beberapa hari yang akan dikenang selamanya dan hari ini, hari pertama saya sebagai pemandu Ferrari, adalah salah satu hari tersebut,” katanya di Instagram.
“Saya bernasib baik kerana telah mencapai beberapa perkara dalam kerjaya saya yang tidak pernah saya sangkakan, tetapi sebahagian daripada saya sentiasa berpegang kepada impian untuk berlumba dengan Ferrari. Saya tidak boleh rasa lebih gembira untuk merealisasikan impian itu hari ini,” kata beliau.
Hamilton menghabiskan hari pertamanya dengan bertemu orang-orang penting dan mengenali kilang serta pasukannya.
Ferrari berkongsi bahawa Hamilton dibawa berjumpa bos pasukan Frederic Vasseur dan ketua pegawai eksekutif Benedetto Vigna.
Beliau juga dibawa melihat pejabat pengasas Enzo Ferrari, di mana beliau melihat pasukannya bekerja.
Dalam satu kenyataan, Ferrari menyatakan Hamilton kemudian kembali ke ibu pejabat di Scuderia, bertemu dengan pasukan pengurusan dan (naib pengerusi) Piero Ferrari, sebelum memulakan program penyesuaian menyeluruh sepanjang hari, melawat semua jabatan untuk mengenali pasukan.
Pemandu dari Britain itu dijangka memandu kereta Formula Satu (F1) edisi 2023 di trek ujian Ferrari di Fiorano pada minggu ini, dan akan menghabiskan ujian tersebut beberapa hari seterusnya di Barcelona sebelum pelancaran Ferrari edisi 2025 pada 19 Februari.
Beliau juga dijangka mencuba kereta Ferrari 2025 di simulasi pasukannya.
Kereta 2023 adalah yang terbaru yang dibenarkan dipandu Hamilton di bawah sekatan ujian F1.
Antara perbezaan yang perlu beliau sesuaikan adalah ini kali pertama dalam kerjaya F1 beliau selama 18 tahun memandu kereta yang tidak menggunakan enjin Mercedes.
Ujian pramusim rasmi F1 akan diadakan di Bahrain pada 26 hingga 28 Februari, dengan Hamilton dan rakan sepasukan, Charles Leclerc, akan berkongsi ujian selama tiga hari.
Vasseur berkata Hamilton menghadapi cabaran untuk menyesuaikan diri dalam masa yang singkat sebelum permulaan musim di Australia pada 14 hingga 16 Mac.
Beliau berkata di majlis makan tengah hari Krismas Ferrari pada Disember:
“Ia tidak mudah, tetapi beliau datang dengan pengalamannya sendiri. Namun beliau bukan pemandu baru tahun ini... saya langsung tidak bimbang tentang perkara ini.”
Hamilton diberi tempat tinggal di Italy untuk membantunya membuat penyesuaian dengan Ferrari, yang dianggap sebagai pasukan kebangsaan.
Hamilton dan Ferrari akan tampil bersama pasukan lain pada pelancaran rasmi F1 di O2 Arena London pada 18 Februari sebelum kembali ke Italy untuk pelancaran kereta baru Ferrari pada hari berikutnya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg