LONDON: Walaupun baru 11 perlawanan berlangsung, perebutan gelaran Liga Perdana England kini tampak tertumpu pada dua pasukan – Liverpool dan Manchester City – manakala nasib kelab-kelab lain masih belum pasti.
Liverpool sedang mendahului liga setelah mengalahkan Aston Villa, sementara Manchester City kalah kepada Brighton.
Situasi ini membuatkan Liverpool berada lima mata di hadapan City dan sembilan mata atau lebih di hadapan pasukan lain.
Bekas penyerang Arsenal, Theo Walcott, yang kini menjadi pengulas BBC MOTD2, berkata:
“Saya tidak akan mengetepikan mana-mana pasukan yang masih berpeluang, semestinya tidak.”
“Liverpool pada suatu masa pasti mengalami kesukaran dan masalah kecederaan, seperti pasukan lain.”
Bekas pemain Liga Perdana, Troy Deeney, pula menyuarakan pandangan lebih tegas dengan berkata:
“Jika Arsenal kalah lagi, mereka mungkin tersingkir. Mereka perlu menewaskan Liverpool di tempat sendiri dan di tempat lawan, serta mengalahkan City.”
Penyokong Arsenal berharap mereka akan mendapat kejayaan pada musim ini selepas merapatkan kedudukan dengan Manchester City dalam dua musim sebelumnya.
Dengan City yang sedang bergelut selepas empat kekalahan berturut-turut, ini dilihat sebagai peluang yang sempurna.
Namun, Liverpool di bawah pengurus baru, Arne Slot, telah menunjukkan prestasi di luar jangkaan – dengan 28 mata daripada 33 mata yang diperoleh.
Arsenal kini ketinggalan sembilan mata di belakang Liverpool, kali pertama mereka ketinggalan begitu jauh, sejak akhir musim 2021-22.
Arsenal menghadapi permulaan yang sukar, bertemu enam daripada 10 pasukan teratas musim lalu, lima daripadanya di tempat lawan.
Pemain utama mereka, Martin Odegaard, juga sering tidak turun padang kerana masalah kecederaan.
Legenda Arsenal, Paul Merson, berpendapat kelab itu perlu mengurangkan jurang mata atau berisiko ketinggalan lebih jauh.
“Beliau (Arteta) perlu pastikan jurang mata itu turun ke enam mata, bukannya 12.
“Saya rasa mereka akan menghadapi kesukaran mengejar Liverpool sekarang. Jurang ini mungkin kekal sembilan mata hingga hujung Disember. Jika ia menjadi 12 mata, maka sudah tamat,” jelas Merson.
Selama ini, tiada pasukan pernah memenangi Liga Perdana selepas ketinggalan sembilan mata atau lebih selepas 11 perlawanan.
Arsenal perlu memenangi setiap baki perlawanan untuk mengejar Liverpool.
Liverpool adalah pasukan keenam dalam sejarah Liga Perdana yang mendahului dengan lima mata selepas 11 perlawanan, dan kelima-lima pasukan sebelumnya berjaya meraih gelaran juara, termasuk kelab itu sendiri pada musim 2019-20.
Walaupun timbul kebimbangan bahawa prestasi mereka selepas peralihan pengurus legenda, Jurgen Klopp, pada musim panas lalu, Liverpool telah berkembang maju di bawah kendalian, Slot.
Selepas kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa, pemain tengah Liverpool, Alexis Mac Allister, berkata:
“Sebelum musim (perlawanan) bermula, saya tidak akan mengatakan kami adalah calon (juara), tetapi sekarang tampak (seperti kami bakal menjuarainya).”
Bekas pemain tengah Liverpool, Jamie Redknapp, berkata dalam siaran Sky Sports:
“Mereka perlu mengekalkan momentum itu. Pada masa ini, Liverpool sedang berada di puncak. Liverpool akan bertemu Man City dalam beberapa minggu.”
Pada 1 Disember, Liverpool perlu menunjukkan taring mereka apabila menentang Manchester City di Anfield.
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, telah mengalami empat kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan untuk kali pertama dalam kerjaya.
Mengakui hal itu, Guardiola berkata: “Mungkin selepas tujuh tahun memenangi enam Liga Perdana, pasukan lain mungkin berhak memenanginya buat satu tahun.”
Walaupun begitu, Manchester City terkenal dengan prestasi cemerlang di penghujung musim dan telah mengatasi cabaran yang lebih besar – ketinggalan enam mata atau lebih dalam musim-musim ketika mereka memenangi gelaran sebelum ini.
“Bagi Manchester City, ini kelihatan seperti krisis kecil, dan kecederaan pemain telah menjejas peluang mereka merampas gelaran juara,” kata Redknapp.
Chelsea, Brighton, dan Nottingham Forest kesemuanya telah mengumpul 19 mata, sama seperti Arsenal yang berada di tempat keempat.
Chelsea, yang menduduki tempat keenam pada musim lalu, kini berada di kedudukan tiga teratas untuk kali pertama sejak musim 2021-22.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca, berkata pasukannya kini berada di kedudukan yang lebih baik daripada jangkaan, tetapi “kami masih di belakang City dan Arsenal”, ujarnya.
Walaupun Brighton dan Forest memulakan musim dengan cemerlang, kedua-duanya tidak dianggap sebagai pesaing kejuaraan.
Dengan hanya empat mata memisahkan Chelsea di tempat ketiga daripada Manchester United di tempat ke-13, perebutan tempat untuk Liga Juara-Juara masih terbuka luas. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg