Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amorim siap bawa United masuki era baru

Jurulatih Portugal mula urus Manchester United pada 11 Nov
Nov 12, 2024 | 2:55 PM
Ruben Amorim, jurulatih Portugal itu mengucapkan selamat tinggal kepada Sporting pada 10 November dengan memastikan kemenangan 4-2 dalam perlawanan menentang bekas kelab bola sepaknya, Braga.
Ruben Amorim, jurulatih Portugal itu mengucapkan selamat tinggal kepada Sporting pada 10 November dengan memastikan kemenangan 4-2 dalam perlawanan menentang bekas kelab bola sepaknya, Braga. - Foto AFP

LONDON: Era baru Manchester United bermula pada 11 November apabila Ruben Amorim menjejakkan kaki di Old Trafford untuk memikul tugas berat memulihkan kelab Liga Perdana England (EPL) untuk meraih kejayaan seperti dahulu.

Jurulatih Portugal itu mengucapkan selamat tinggal kepada Sporting pada 10 November dengan memastikan kemenangan 4-2 dalam perlawanan menentang bekas kelab bola sepaknya, Braga

Kemenangan itu adalah yang ke-11 Sporting dalam 11 perlawanan liga.

Sementara itu, suasana di United kembali bersemangat, susulan tiga kemenangan dalam empat perlawanan bagi semua pertandingan, sejak jurulatih sementara Ruud van Nistelrooy mengambil alih daripada Erik ten Hag yang dipecat pada Oktober.

United yang kini berada di tangga ke-13 dalam liga EPL, pernah dinobatkan sebagai juara liga England sebanyak 20 kali, tetapi mereka gagal bersaing untuk merebut gelaran liga perdana atau Liga Juara-Juara sejak Alex Ferguson bersara pada 2013.

Amorim, bekas pemain antarabangsa Portugal berusia 39 tahun, adalah pelantikan tetap keenam United sejak berakhirnya kepimpinan Ferguson yang sangat berprestasi selama 27 tahun.

David Moyes, Louis van Gaal, Jose Mourinho, Ole Gunnar Solskjaer dan Ten Hag semuanya datang dan pergi, tidak dapat membawa United kembali ke puncak walaupun mengambil ramai pemain mahal.

Lebih daripada £600 juta ($1.03 bilion) telah dibelanjakan oleh Ten Hag, dalam lebih lima jendela perpindahan untuk pembelian pemain baru, tetapi hanya segelintir telah membuktikan bahawa penampilan mereka di padang sepadan dengan bayaran yang diterima.

Amorim akan mempunyai sekumpulan pemain berbakat dan lebih hebat berbanding di Sporting, tetapi beliau perlu bekerja keras untuk mendapatkan hasil terbaik daripada mereka.

“Saya tahu bahawa menjadi pengurus United memberi saya pengalaman yang sangat berbeza dan sukar, tetapi saya rasa saya sudah bersedia,” kata Amorim yang optimis selepas perlawanan perpisahannya dengan Sporting.

United semasa dalam era Ten Hag hanya berjaya meraih dua trofi daripada Piala Liga Bola Sepak England (EFL) dan Piala FA.

Jurulatih Belanda itu memperoleh beberapa kemenangan mengagumkan sepanjang tempohnya menentang Barcelona, ​​Liverpool dan Manchester City tetapi beliau bergantung pada kecemerlangan individu dan bukannya strategi yang dirancang.

United kerap kelihatan huru-hara di bawah pengawasannya, menggabungkan kerapuhan yang membimbangkan dengan ketidakupayaan untuk menjaringkan gol secara konsisten.

Formasi 3-4-3 pilihan Amorim mungkin sesuai dengan pemain yang akan dimilikinya di Old Trafford.

Namun Amorim hanya memiliki sedikit masa latihan untuk menerapkan strateginya ke United, yang bakal menghadapi 12 perlawanan melelahkan, dari 24 November hingga 5 Januari berikutan rehat antarabangsa.

“Saya tahu langkah apa yang akan saya ambil sebagai permulaan.

“Anda perlu bermula dengan struktur yang anda tahu, dan kemudian menyesuaikan diri dengan pemain yang anda ada,” kata Amorim.

Penyokong United yang sekian lama bangga akan pencapaian pasukan mereka harus menelan hakikat yang pahit, apabila pasukan itu tergelincir ke bawah liga, dirampas City dan Liverpool.

Amorim perlu menyuntik tenaga kepada penonton di Old Trafford dan menanamkan kepercayaan kepada mereka bahawa kali ini keadaan akan menjadi lebih baik.

Walaupun United berada di kedudukan bawah EPL, mereka hanya berada empat mata di belakang empat kelab teratas, kedudukan yang akan membawa mereka kembali Liga Juara-Juara.

Pemain tengah Casemiro berkata para pemain United sudah tidak sabar untuk belajar daripada Amorim.

“Beliau sudah membuktikan bahawa beliau seorang jurulatih yang telah memenangi banyak kejohanan,” kata Casemiro. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg