ARLINGTON (Texas): Kerjaya panjang dan penuh pencapaian Didier Deschamps bersama pasukan negara Perancis bakal berakhir tanpa menjulang Piala Dunia 2026.

Beliau akan mengucapkan selamat tinggal selepas aksi penentuan tempat ketiga pada 18 Julai (19 Julai waktu Singapura).

Impian pengurus berusia 57 tahun itu – yang pernah menjulang Piala Dunia selaku pemain pada 1998 dan pengurus pada 2018 – untuk memenanginya buat kali ketiga punah menyusuli kekalahan 0-2 di tangan Sepanyol dalam separuh akhir pada 14 Julai.

Selepas mempamerkan aksi memukau sepanjang kejohanan itu dengan siri serangan bertenaga, Perancis hanya mampu melakukan 10 percubaan ke arah gol lawan sepanjang perlawanan di Stadium Dallas di Arlington itu. 

Ia merupakan rekod terendah mereka dalam Piala Dunia.

Pasukan yang turut dikenali sebagai ‘Les Bleus’ itu juga gagal memenuhi jangkaan ramai pihak yang melihat mereka sebagai pasukan pilihan sebelum perlawanan.

Bekas pemain tengah Perancis, Patrick Vieira, berkata:

“Terdapat harapan besar untuk Perancis memenangi Piala Dunia. Seluruh Perancis pasti kecewa dengan keputusan dan persembahan ini. Semua pemain utama kami ‘hilang’ (di atas padang). Secara keseluruhan, aksi kami amat buruk.”

Bintang pasukan itu, Kylian Mbappe, turut mengakui perkara yang sama:

“Apabila anda tidak melakukan apa yang sepatutnya dilakukan dalam aksi separuh akhir Piala Dunia, anda tidak akan menang.

“Matlamat kami adalah untuk memberikan tekanan tinggi bagi menghalang mereka (pasukan lawan) daripada bermain secara perlahan dan terkawal... Kami gagal melakukannya.”

Kekecewaan Deschamps mungkin tidak dapat diubati sepenuhnya, namun pengurus yang telah mengendali pasukan tersebut sejak 2012, melakar rekod baharu di Dallas sebagai pengurus yang telah mengendalikan perlawanan Piala Dunia terbanyak, iaitu 26 aksi.

Deschamps sebelum ini telah mengesahkan pada Januari 2025 bahawa beliau akan meletak jawatan selepas kejohanan itu. 

Beliau dijangka membuat penampilan terakhir selaku pengurus Perancis pada 18 Julai, dalam aksi menentang pasukan yang kalah dalam perlawanan antara England dengan Argentina di Stadium Miami, Florida.

“Ini bukan masanya untuk bercakap tentang masa depan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

“Secara peribadi, ia tidak penting sama ada saya meninggalkan kejohanan ini di peringkat separuh akhir mahupun final.

“Saya sangat gembira. Saya amat bangga dengan apa yang telah kami lakukan untuk mencapai tahap ini dan memenangi Piala Dunia – bagi membawa pasukan Perancis ke peringkat tertinggi.

“Saya amat bertuah ketika bergelar pemain. Saya pernah menikmati saat-saat gembira, namun hari ini bukanlah detik sebegitu. Kami harus menerimanya tanpa melupakan semua yang telah kami lalui bersama.”

Deschamps merupakan salah seorang daripada tiga individu – termasuk Mario Zagallo (Brazil) dan Franz Beckenbauer (Jerman Barat) – yang berjaya memenangi Piala Dunia selaku pemain dan pengurus.

Tempoh perkhidmatannya yang lama selaku pengurus juga merupakan sesuatu yang jarang dilihat dalam era bola sepak kini, selepas membimbing skuad kebangsaan itu selama 14 tahun.

Beliau memenangi 20 daripada 26 perlawanan Piala Dunia selaku pengurus Perancis, dan hanya mengalami tiga kekalahan – termasuk kekalahan di tangan Sepanyol baru-baru ini.

Selama tempoh bergelar pemain dan kemudian pengurus, beliau telah terlibat dalam lebih separuh daripada keseluruhan kemenangan yang pernah dicatatkan Perancis di Piala Dunia, termasuk ketika skuad itu menjulang piala sebanyak dua kali.

Sebelum ini, hanya tiga pasukan sahaja yang pernah mara sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir dalam empat kejohanan berturut-turut.

Les Bleus tewas kepada Argentina menerusi penentuan sepakan penalti pada final 2022 di Qatar, sekali gus hampir menjadi pasukan ketiga dalam sejarah yang berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Dunia.

Skuad yang turut membariskan salah seorang penjaring gol terbanyak kejohanan itu, Mbappe; selain pemenang Ballon d’Or, Ousmane Dembele; serta bintang Bayern Munich yang namanya sedang meningkat naik, Michael Olise; sepatutnya mampu mempamerkan aksi lebih hebat.

“Terdapat motivasi tambahan buat semua pemain pada Piala Dunia kali ini untuk memberikan Deschamps pengakhiran yang beliau inginkan dan selayaknya buat beliau,” kata bekas penyerang Perancis, Olivier Giroud.

“Beliau selayaknya meninggalkan pasukan dengan pencapaian besar. Walaupun beliau tidak berjaya melakukannya kali ini, beliau tetap seorang (pengurus) yang hebat kerana telah mencapai (semua ini) dalam tempoh 14 tahun.

“Rekod kejayaannya sudah cukup untuk membuktikan kehebatannya.” – Agensi berita.