Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerancis lawan Sepanyol: Imbau 5 pertemuan terhebat dua gergasi Eropah
Perancis lawan Sepanyol: Imbau 5 pertemuan terhebat dua gergasi Eropah
Kededua pasukan bakal bertemu di separuh akhir Piala Dunia pada 15 Jul
Perancis lawan Sepanyol: Imbau 5 pertemuan terhebat dua gergasi Eropah
ARLINGTON (Amerika Syarikat): Perancis dan Sepanyol bakal berentap dalam aksi separuh akhir Piala Dunia yang dijangkakan sengit pada 15 Julai, dengan Les Bleus (nama panggilan bagi Perancis) memburu tempat ke pusingan akhir buat kali ketiga berturut-turut.
Manakala, La Roja (nama panggilan bagi Sepanyol) pula masih berpeluang melengkapkan kejayaan menjuarai Euro 2024 dengan menjulang trofi paling berprestij dalam dunia bola sepak.
Menjelang pertemuan itu, media AFP Sports mengimbau lima pertemuan terbaik antara kedua-dua negara:
Kesilapan Arconada, gelaran sulung Perancis
Peringkat akhir Kejohanan Eropah 1984: Perancis 2 Sepanyol 0
Pertemuan kompetitif pertama antara dua jiran Eropah itu berlangsung di Paris dalam peringkat akhir Euro 1984, apabila Perancis yang diterajui Michel Platini, meraih kejuaraan antarabangsa pertama mereka.
Perlawanan di Stadium Parc des Princes, Perancis, berubah apabila sepakan percuma Platini sebelum sejam permainan melepasi genggaman penjaga gol Sepanyol, Luis Arconada, sekali gus menghadiahkan gol pendahuluan kepada Perancis.
Gol itu merupakan jaringan kesembilan Platini dalam lima perlawanan sepanjang kejohanan tersebut dan menjadi titik tolak kemenangan Perancis.
Walaupun Yvon Le Roux, pertahanan Perancis dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan, Bruno Bellone yang merupakan pemain sayap Perancis telah memastikan kemenangan buat tuan rumah.
Perancis muncul juara dalam kejohanan tersebut, manakala Sepanyol hanya kembali ke pentas akhir Euro apabila menjuarainya pada 2008.
Kebangkitan Perancis di Hanover
Piala Dunia 2006, pusingan 16 terakhir: Sepanyol 1 Perancis 3
Satu-satunya pertemuan antara dua pasukan itu di Piala Dunia sebelum edisi 2026 berlaku di Jerman pada 2006, apabila mereka bertemu dalam pusingan 16 terakhir di Hanover.
Sepanyol mara sebagai juara kumpulan selepas mencatat tiga kemenangan daripada tiga perlawanan.
Perancis pula sekadar muncul sebagai naib juara kumpulan selepas dikalahkan Switzerland dan Korea Selatan.
Sepanyol mendahului menerusi sepakan penalti David Villa, namun Franck Ribery menyamakan kedudukan sebelum rehat.
Patrick Vieira pula meletakkan Perancis di hadapan ketika masa tambahan semakin hampir, sebelum Zinedine Zidane memastikan kemenangan.
Skuad kendalian Raymond Domenech akhirnya tewas kepada Italy menerusi penentuan sepakan penalti dalam final.
Sepanyol pula sekali lagi kecewa di pentas kejohanan dunia, sebelum bangkit menjuarai Piala Dunia 2010 di celah kejayaan menjuarai Euro 2008 dan Euro 2012.
Mbappe hadiahkan kejohanan Uefa
Peringkat akhir Liga Negara-Negara Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) 2021: Sepanyol 1 Perancis 2
Dua pasukan itu kembali bertemu dalam peringkat akhir Uefa 2021 di Milan.
Di hadapan jumlah penyokong yang terhad akibat pandemik Covid-19, Mikel Oyarzabal meletakkan Sepanyol di hadapan sejurus selepas sejam permainan.
Karim Benzema, yang baru kembali menyertai skuad kebangsaan selepas lebih lima tahun tidak dipanggil, menyamakan kedudukan hasil hantaran Kylian Mbappe.
Mbappe kemudian menjaringkan gol kemenangan untuk menghadiahkan Perancis kejuaraan kedua di bawah kendalian Didier Deschamps, selepas kejayaan menjulang Piala Dunia 2018.
Jaringan hebat Yamal
Separuh akhir 2024: Sepanyol 2 Perancis 1
Skuad Perancis di Euro 2024 berbeza daripada pasukan yang menyerlah dalam Piala Dunia 2026.
Mereka mara ke separuh akhir selepas hanya menjaringkan tiga gol dalam lima perlawanan, dengan satu menerusi sepakan penalti dan dua lagi hasil jaringan sendiri lawan.
Randal Kolo Muani menjadi pemain pertama Perancis yang menjaringkan gol daripada permainan terbuka dalam kejohanan itu, apabila membuka tirai jaringan awal menentang Sepanyol di Munich.
Namun, Lamine Yamal menyamakan kedudukan menerusi rembatan luar biasa, empat hari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-17.
Dani Olmo kemudian menjaringkan gol kemenangan beberapa minit kemudian, sebelum Sepanyol menewaskan England dalam perlawanan akhir.
Keseronokan sembilan gol
Separuh akhir Uefa 2025: Sepanyol 5 Perancis 4
Perancis mula memperlihatkan transformasi menjadi pasukan yang lebih menyerang apabila kededua pasukan bertemu kali terakhir dalam separuh akhir Uefa 2025 pada Jun 2025 di Stuttgart, Jerman.
Sepanyol mendahului 4-0 pada awal babak kedua hasil jaringan Nico Williams, Mikel Merino, sepakan penalti Lamine Yamal dan Pedri.
Mbappe merapatkan jurang menerusi sepakan penalti, tetapi Yamal menambah gol kelima Sepanyol.
Perancis kemudian bangkit dengan jaringan Rayan Cherki dan Kolo Muani, diselitkan gol sendiri Dani Vivian, untuk menjadikan keputusan akhir lebih rapat.
Sepanyol akhirnya tewas kepada Portugal menerusi penentuan sepakan penalti dalam final.
Sepanyol turut menewaskan Perancis 5-3 dalam perlawanan penentuan pingat emas Sukan Olimpik 2024.
Manu Kone, Michael Olise, Jean-Philippe Mateta, Desire Doue, Cherki, Pau Cubarsi dan Alex Baena yang beraksi ketika itu dijangka sekali lagi menjadi antara pemain yang dimainkan dalam pertemuan kali ini. – Agensi berita.
