MEXICO CITY: Penganjuran bersama Piala Dunia berjaya memenuhkan stadium dan membangkitkan keterujaan jutaan peminat bola sepak di Mexico.

Namun, kejohanan tersebut gagal memulihkan ekonomi lembap negara itu akibat pelaburan yang lemah serta ketidaktentuan berhubung semakan semula perjanjian perdagangan Amerika Utara (USMCA) akan datang.

Kejohanan itu – yang bakal melabuhkan tirainya pada 19 Julai selepas lebih sebulan berlangsung merentasi Canada, Amerika Syarikat, dan Mexico – menyaksikan negara Latin Amerika itu menjadi tuan rumah bagi 13 daripada keseluruhan 104 perlawanan.

Bagaimanapun, ia gagal mencapai sasaran rasmi pelancongan bagi melonjakkan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP), yang dilaporkan menguncup pada suku pertama.

“Piala Dunia tidak akan mengubah hala tuju ekonomi Mexico secara menyeluruh,” kata ketua ahli ekonomi di Rankia, Encik Humberto Calzada.

Encik Calzada menyatakan bahawa kejohanan itu hanya menawarkan rangsangan jangka pendek bagi ekonomi yang diunjurkan pemerintah untuk berkembang antara 1.8 peratus dengan 2.8 peratus pada 2026, berbanding ramalan penganalisis pada kadar 1.1 peratus.

Kesan ekonomi daripada Piala Dunia juga didapati hanya tertumpu di kawasan tertentu.

Syarikat khidmat kewangan dan perbankan Mexico, Banorte, menurunkan anggaran sumbangan Piala Dunia kepada GDP kepada 0.4 peratus hingga 0.5 peratus, berbanding ramalan awal yang mencecah sehingga 0.62 peratus.

Sementara itu, salah satu bank terbesar Mexico, Banamex, menganggarkan keseluruhan impak ekonomi kejohanan itu hanya mencecah sekitar AS$2 bilion ($2.58 bilion). 

Jumlah itu sekadar mewakili 0.1 peratus daripada GDP, dan kurang separuh daripada kiriman wang (remittance) AS$5.6 bilion yang diterima Mexico pada Mei.

Deloitte pula meramalkan kejohanan itu bakal mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan sementara, iaitu 10 peratus lebih rendah berbanding anggaran awal mereka.

Sementara itu, institusi kewangan terbesar Mexico, BBVA, melaporkan penunjuk penggunaan isi rumah menyusut 0.2 peratus bulan ke bulan pada Jun, dengan perbelanjaan hotel merosot 10.5 peratus manakala restoran turun 4.9 peratus, meskipun sektor hiburan melonjak 16.5 peratus.

Manfaat ekonomi juga dilaporkan tidak seimbang di tiga bandar raya yang menjadi tuan rumah bagi kejohanan tersebut, iaitu Mexico City, Guadalajara, dan Monterrey.

Menurut laporan Persatuan Restoran Mexico, separuh daripada premis ahli persatuan itu mencatat prestasi lebih buruk berbanding minggu biasa ekoran kadar penginapan hotel yang rendah serta demonstrasi tempatan di ibu negara.

Data pengangkutan udara turut menunjukkan trend tidak sekata. 

Trafik penumpang meningkat sedikit pada Jun di Guadalajara dan Monterrey, namun mencatat penurunan di lapangan terbang utama Mexico City.

Penganalisis berpendapat pemacu utama ekonomi Mexico sebenarnya kekal berada di luar stadium, iaitu kepastian perdagangan di bawah USMCA.

Dengan syarikat-syarikat kini bertindak menangguhkan pelaburan menjelang semakan semula perjanjian perdagangan berkenaan, selain ekonomi yang menguncup 0.6 peratus pada suku pertama, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini menurunkan unjuran pertumbuhan Mexico kepada 1.2 peratus daripada 1.6 peratus. – Reuters.