Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hariss: Ini mungkin Kejohanan AFF saya yang terakhir

Pemain muda harus tingkat usaha dan lebih yakin ganti pemain berpengalaman
Dec 10, 2024 | 2:21 PM
Kapten Singa, Hariss Harun (kanan), sedia untuk berikan yang terbaik apabila dipanggil menyertai pasukan Singa. Bersama beliau ialah pemain yang pernah menjuarai Piala AFF 2012, (dari kiri) Shahdan Sulaiman dan Izwan Mahbud, sewaktu latihan di Hab Bola Sepak Kallang.
Kapten Singa, Hariss Harun (kanan), sedia untuk berikan yang terbaik apabila dipanggil menyertai pasukan Singa. Bersama beliau ialah pemain yang pernah menjuarai Piala AFF 2012, (dari kiri) Shahdan Sulaiman dan Izwan Mahbud, sewaktu latihan di Hab Bola Sepak Kallang. - Foto BH oleh KHALID BABA

Beliau pernah mencatatkan sejarah sebagai pemain termuda yang mewakili Singapura pada usia 16 tahun 217 hari pada Jun 2007.

Kini, pada usia 34 tahun, Hariss Harun,semakin menghampiri penghujung kerjaya antarabangsanya.

Walaupun demikian, semangat patriotisme untuk mewakili Singapura belum pudar.

Beliau menunjukkan semangat seakan-akan beliau baru sahaja memulakan perjalanan bersama pasukan nasional.

Hariss Harun mencatat sejarah sebagai pemain termuda yang mewakili Singapura pada usia 16 tahun 217 hari.
Hariss Harun mencatat sejarah sebagai pemain termuda yang mewakili Singapura pada usia 16 tahun 217 hari. - Foto fail

Dalam wawancara bersama Berita Harian (BH) di hotel Park Royal pada 8 Disember, Hariss tidak menafikan bahawa ini mungkin menjadi pertandingan AFF-nya yang terakhir.

“Mungkin… mungkin ini boleh menjadi Piala AFF terakhir saya.

“Namun, jurulatih melihat nilai sumbangan pemain berpengalaman kepada pasukan.

“Jadi, bagi saya, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk pasukan dan juga untuk diri saya sendiri,” kongsi kapten pasukan Singa yang sudah membuat 134 penampilan untuk pasukan negara dan menjaringkan 11 gol.

Hariss, yang memulakan kerjaya antarabangsanya pada usia muda, sedar akan kepentingan pemain muda dalam pasukan nasional.

Hariss berpendapat, “tiada pemain yang kekal” lantas pemain muda harus meningkatkan usaha dan lebih berkeyakinan untuk menggantikan pemain berpengalaman sepertinya.

Beliau menambah: “Mereka (pemain) sedang bermain untuk negara, mereka harus bertanggungjawab atas keputusan dan prestasi. Itulah satu-satunya cara untuk maju.

“Apabila anda dicampakkan ke dalam situasi yang mencabar, baru anda akan belajar untuk bertahan dan berkembang.”

Dalam saingan AFF Mitsubishi Electric kali ini, pasukan Singa akan beraksi dalam saingan kumpulan A 11-20 Disember.

Pasukan nasional akan menjadi tuan rumah ketika menentang Kemboja dan Thailand, sementara perlawanan menentang Timor-Leste dan Malaysia akan berlangsung di tempat lawan.

Dengan pasukan Singa memiliki usia purata 28.2 tahun, ia mempunyai keseimbangan pemain muda dan berpengalaman, dan menurut Hariss ia penting dalam membimbing pemain muda.

Skuad ini merangkumi sekitar 11 pemain berusia 30 tahun ke atas dengan lima pemain pernah beraksi di pasukan yang memenangi Piala AFF 2012 – Izwan Mahbud, Safuwan Baharudin, Shakir Hamzah, Shahdan Sulaiman dan Hariss Harun.

Kejohanan kali ini turut menuntut tugas besar daripada jurulatih Singa, Tsutomu Ogura, yang bakal memimpin kejohanan AFF pertamanya.

Ogura merupakan jurulatih berpengalaman yang sudah terlibat memimpin pasukan di Olimpik, Piala Dunia serta Piala Dunia bawah 17 tahun.

Beliau kini berperanan untuk mengubah nasib Singa, yang telah melalui beberapa edisi kejohanan yang mengecewakan.

Namun, Hariss percaya Ogura mampu melaksanakan tugasnya terutama sekali dengan piawaian yang telah diletakkannya yang mampu membantu pemain kurang pengalaman di pentas antarabangsa.

“Sejak beliau menyertai pasukan nasional pada Mac, beliau telah menetapkan piawaian untuk seluruh pasukan.

“Kehadiran seseorang seperti beliau untuk menetapkan piawaian dan meminta pemain bertanggungjawab terhadap prestasi dan keputusan, ini sangat baik untuk jangka panjang bola sepak,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pasukan lain yang memiliki pemain naturalisasi, Hariss mengakui bahawa mereka mempunyai pemain bermutu.

Namun, beliau percaya dalam bola sepak, terdapat faktor lain yang harus diambil kira seperti kerja sepasukan.

“Jika dilihat daripada sejarah, AFF yang kami menjuarai adalah hasil usaha sebagai satu pasukan. Kami tidak bergantung pada seorang pemain sahaja.

“Jadi, kali ini tiada bezanya. Kami perlu fokus pada diri sendiri, keupayaan kami, dan berusaha untuk menjadi sebuah unit yang kuat,” ujar Hariss.

Setakat ini, pemain naturalisasi yang disertakan Singapura dalam skuad AFF ialah pemain berketurunan Jepun, Kyoga Nakamura, manakala Song Ui-young, yang telah beraksi di dua kejohanan AFF sebelum ini, tidak disertakan disebabkan hal keluarga.

Ini ditambah dengan ketiadaan beberapa pemain yang tidak dilepaskan pasukan mereka – Irfan Fandi, Ikhsan Fandi, Ilhan Fandi – serta pemain yang mengalami kecederaan seperti Jacob Mahler.

Walau tanpa kehadiran pemain-pemain itu, kejohanan AFF kali ini mungkin menjadi yang terakhir bagi beberapa pemain berpengalaman, yang mungkin tidak akan kembali ke pentas AFF pada masa depan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg