Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Izwan tekad bantu Singa mengaum di Piala AFF

Izwan kembali ke skuad nasional selepas diketepikan selama lebih dua tahun
Dec 9, 2024 | 4:12 PM
Penjaga gawang Singapura, Izwan Mahbud, merupakan penjaga gawang pasukan nasional ketika Singapura menjuarai Piala AFF 2012.
Penjaga gawang Singapura, Izwan Mahbud, merupakan penjaga gawang pasukan nasional ketika Singapura menjuarai Piala AFF 2012. - Foto BH oleh KHALID BABA

Beliau pernah menjadi wira ketika Singapura menjulang Piala AFF 2012.

Namun, kecederaan mula menghantuinya sehingga pernah diketepikan selama lebih dua tahun.

Kini, selepas episod jatuh bangun, Izwan Mahbud, kembali ke skuad nasional untuk saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2024.

Kepulangan penjaga gawang itu membawa harapan baru, baginya dan juga Singapura.

Izwan, 34 tahun, disahkan mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior pada lututnya pada November 2022.

Sejak itu, segalanya tidak lagi sama bagi pemain yang pernah menjadi tulang belakang pasukan nasional.

Mengimbau perjalanannya semasa tempoh pemulihan kepada Berita Harian (BH), Izwan berkongsi bahawa ia merupakan pengalaman yang membuka matanya.

“Ketika saya cedera, segala-galanya mula merosot. Allah beri saya ujian. Saya sedang berjuang untuk nombor satu, tiba-tiba, Allah mengambilnya kembali.

“Saya seperti... hanya mampu melihat dari tepi, menyaksikan rakan-rakan dan pasukan saya beraksi dalam dua kejohanan. Saya benar-benar marah dengan diri sendiri,” katanya.

Namun, cabaran itu tidak mematahkan semangat Izwan.

Selepas lebih satu setengah tahun berjuang untuk kembali cergas, Izwan kini bersedia kembali beraksi dengan semangat yang berkobar-kobar.

“Selama satu setengah tahun saya hanya melihat dari tepi. Kini selepas ujian (yang dihadapi), tiba masanya untuk saya kembali bermain.

“Saya benar-benar bersemangat untuk Piala AFF kali ini,” ujarnya.

Kehadirannya seperti menyalakan semula api perjuangan pasukan yang pernah menggegarkan rantau Asean lebih sedekad lalu.

Beliau, yang ketika itu berusia 22 tahun, mengatasi segala getaran dan menunjukkan keberanian luar biasa, membantu Singapura menjulang Piala AFF 2012, mengatasi Thailand di peringkat final.

Kemenangan itu menjadikan Singapura pasukan kedua terbanyak memenangi kejohanan tersebut di belakang Thailand, yang telah memenanginya sebanyak tujuh kali.

Pada edisi tersebut, Izwan menggantikan penjaga gawang veteran, Hassan Sunny, yang mengalami kecederaan.

Kini, dengan pengumuman persaraan Hassan daripada bola sepak antarabangsa 18 Ogos lalu, Singapura kembali menghadapi situasi yang serupa.

Sebelum kecederaannya, Izwan dan Hassan sering bertarung merebut tempat nombor satu bagi pasukan kebangsaan namun, kini persoalan penjaga gawang nombor satu Singa kembali bermain di fikiran penyokong.

“Selepas Hassan, penyokong mengharapkan seorang lagi pemain nombor satu, untuk menjadi lebih baik daripada Hassan atau sekurang-kurangnya setaraf dengan Hassan.

“Tapi saya percaya setiap penjaga gawang mempunyai keistimewaan mereka sendiri,” kata Izwan sambil merujuk kepada penjaga gawang seperti Syazwan Buhari, Rudy Khairullah dan Zharfan Rohaizad.

Walau dengan ketidaktentuan itu, Izwan tetap berhasrat membantu membawa Singapura kembali menjadi raja bola sepak Asean.

Walaupun usianya sudah mencecah 30-an tahun, beliau percaya ia bukanlah sebuah cabaran namun kelebihan baginya.

“Di seluruh dunia, kita lihat ketika penjaga gol semakin berusia, mereka menjadi semakin baik, semakin matang.

“Kita tahu posisi kita dengan baik dan baca permainan dengan baik. Jadi, saya rasa ia bukanlah sebuah cabaran,” tambah Izwan.

Beliau percaya mereka sepasukan ingin memberi yang terbaik buat penyokong Singapura terutama selepas kejohanan AFF lalu yang kurang memuaskan.

Sejak edisi 2012, pasukan Singa layak ke pusingan separuh akhir hanya sekali, iaitu pada Piala AFF Mitsubishi Electric 2020.

“Sudah lebih 10 tahun sejak kemenangan terakhir kami, yang pada ketika itu saya turut beraksi.

“Selama ini, ia merupakan kejohanan (AFF) yang mengecewakan buat kami, kami perlu buktikan diri sebagai pemain, sebagai pasukan,” tambahnya.

Namun, Izwan percaya dengan kebolehan rakan pasukannya sambil berkata:

“Kami mempunyai mutu kerana itulah kami berada di sini.

“Kami bukan pasukan yang hanya menyertai, kami harus membuktikan kebolehan kami.”

Singapura akan memulakan kempen Kumpulan A bagi Piala AFF Mitsubishi Electric menentang Kemboja di Stadium Negara pada 11 Disember.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg