Hartawan Singapura, Peter Lim, menafikan laporan media bahawa beliau akan menjual kelab bola sepak Sepanyol Valencia.
Menurut laporan The Business Times, Meriton Holdings, syarikat milik jutawan itu yang memegang kepentingannya dalam Valencia, berkata dalam satu kenyataan pada 3 Mac: “Meriton mahu menjelaskan bahawa laporan sedemikian adalah palsu. Valencia CF tidak dijual dan ia tetap komited kepada Valencia CF”.
Awal dari ini, stesen penyiar radio Sepanyol, Cope, melaporkan Lim sedang berusaha mendapatkan 400 juta euro ($562 juta) bagi saham majoritinya dalam kelab itu.
Apabila Lim membeli kelab itu pada 2014, beliau dilihat sebagai penyelamat kerana ia dirundung masalah pentadbiran.
Namun, selepas beberapa tahun, harapan kelab itu pudar apabila kewangannya tidak menunjukkan kemajuan dan tiada lagi wang mengalir masuk.
Lima tahun kemudian, Lim, yang dikenali sebagai peminat bola sepak tegar, memecat pengurus, Marcelino Garcia Toral.
Dalam tiga musim terakhir, Valencia hampir tersingkir, dan menjual beberapa pemain terbaik mereka setiap musim panas.
Lim juga enggan melabur lebih banyak wang dalam projek pembinaan stadium Nou Mestalla di Sepanyol yang baru, menyebabkan ia tidak aktif lebih sedekad.
Walaupun kelab itu bersetuju dengan majlis bandaran untuk memulakan semula pembinaan stadium tersebut, pembeli baru mungkin perlu membantu membiayai penyiapannya.
Berita rancangan Lim menawarkan penjualan kelab itu di pasaran timbul beberapa bulan lalu.
Media Sepanyol melaporkan keadaan kewangan kelab yang teruk, dengan hutang mencecah 340 juta euro pada masa itu, dan projek pembinaan stadium baru belum selesai.
Menurut laman Espana Football, terdapat minat dari pihak Indonesia untuk membeli kelab itu dua tahun lalu, tetapi Lim tidak menunjukkan minat untuk menjual.
Baru-baru ini, laporan media berkata Nasser Al Khelaifi, presiden kelab Perancis Paris Saint-Germain (PSG), antara pelabur berminat mengambil alih kelab itu.
Bagaimanapun, ahli perniagaan Qatar itu belum membuat tawaran rasmi.
Valencia kini menduduki tempat ketiga dari bawah dalam La Liga Sepanyol yang disertai 20 pasukan, berikutan keputusan seri 3-3 menentang Osasuna pada 2 Mac.
Pasukan di tempat tiga terbawah akan diturunkan ke divisyen kedua.
Sebelum membeli Valencia, Lim cuba membeli kelab Liga Perdana England (EPL) Liverpool pada harga £320 juta ($656 juta) tetapi tidak berjaya.
Kelab Anfield itu akhirnya menjadi milik kumpulan New England Sports Ventures, yang turut memiliki pasukan besbol Boston Red Sox.
Lim menjadi kaya-raya dengan menceburi pasaran saham dan mempunyai kekayaan yang dianggar bernilai AS$2.05 bilion ($2.61 bilion), menurut majalah Forbes.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg