Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hidup ini hebat, kata Federer ketika lancar dokumentari persaraan

Jun 14, 2024 | 2:23 PM
Semasa pelancaran dokumentarinya di London pada 13 Jun, bekas jaguh tenis dunia, Roger Federer, berkata beliau menumpukan perhatian untuk menjadi suami dan bapa terbaik selepas bersara hampir dua tahun lalu.
Semasa pelancaran dokumentarinya di London pada 13 Jun, bekas jaguh tenis dunia, Roger Federer, berkata beliau menumpukan perhatian untuk menjadi suami dan bapa terbaik selepas bersara hampir dua tahun lalu. - Foto FACEBOOK ROGER FEDERER

LONDON: Ikon tenis terkenal, Roger Federer, berkata beliau seronok mendedikasi masanya untuk keluarga dan tidak tergesa-gesa melibatkan diri dalam sebarang projek besar selepas bersara daripada sukan itu hampir dua tahun lalu.

Ketika tampil sempena tayangan filem dokumentari barunya di London pada 13 Jun yang menjejak hari-hari terakhir kerjaya sukannya, juara Grand Slam sebanyak 20 kali itu berkata beliau sangat gembira dengan kehidupannya.

“Saya pastinya tidak bosan di rumah. Hidup ini hebat. Saya cuba menjadi ayah terbaik yang saya mampu,” kata Federer, 42 tahun, yang mempunyai dua anak kembar dengan isterinya, Mirka.

“Apakah seterusnya untuk saya? Saya sebenarnya mahu tunggu dan lihat dulu... saya tidak mahu mempunyai sejuta perkara untuk dilakukan sekarang. Saya mahu menjadi ayah yang baik, suami yang baik.

“Saya mahu hidup saya menjadi lebih tenang dan kemudian saya akan buat keputusan untuk projek mega seterusnya,” tambahnya.

Berjudul, Federer: Twelve Final Days, filem dokumentarinya merakamkan penghujung kerjaya bintang tenis itu yang penuh dengan emosi.

Pada mulanya, filem itu dirancang untuk dijadikan sebagai satu siri video untuk ditonton di rumahnya secara peribadi.

Ia menunjukkan Federer menyiapkan pengumuman persaraannya dan membawa penonton di sebalik tabir yang penuh sebak di hadapan peminat dan bekas pesaingnya pada Piala Laver 2022 di London.

Diarahkan bersama oleh Joe Sabia, yang terkenal dengan temu bual selebriti berjudul, 73 Questions, dan pembikin filem yang pernah memenangi Oscar, Asif Kapadia, dokumentari itu menggabungkan detik sebenar, bahan arkib serta wawancara dengan ikon terkenal tenis lain seperti Rafael Nadal, Novak Djokovic dan Andy Murray.

Proses di sebalik tabir itu, yang berlangsung selama dua minggu, mengejutkan Sabia.

Bagi menghasilkan dokumentari tersebut, pengarah itu diberi kesempatan meninjau Federer di rumahnya dan di bilik persalinan.

“Saya tidak sangka beliau begitu gementar. Sungguh menggerunkan melihat beliau begitu gelisah kerana saya hanya memerhatikannya dan tidak berkata apa-apa,” kata Sabia.

Federer, yang akan mencecah usia 43 tahun pada Ogos, berkata beliau gembira dapat menunjukkan perasaan sebenarnya pada skrin.

“Penonton akan melihat perjuangan yang kami lalui dan juga betapa terdedahnya kami dalam pelbagai sudut, serta bagaimana menjadi tumpuan utama dan peminat saya adalah penting kepada saya.

“Ia merupakan detik yang indah dan saya benar-benar ingin tahu bagaimana penonton akan menilainya... kita tunggu dan lihat,” ujar Federer.

Federer: Twelve Final Days akan disiarkan di saluran media Prime Video pada 20 Jun. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg