Topik diikuti
Pergi ke BHkuHijrah dari timur ke barat; Taufik buru tempat dalam kesebelasan utama, Piala Asia
Penyerang Tanjong Pagar United, Taufik Suparno, sering dilabel sebagai super sub – pemain yang dimasukkan ke padang daripada bangku simpanan dan memberi impak besar.
Larian yang rajin serta gaya permainan agresif menjadi kekuatannya untuk mengkucar-kacirkan pertahanan lawan yang sudah mula pancit di minit-minit akhir.
Namun, menjelang Liga Perdana Singapura (SPL) 2026/27, penyerang berusia 30 tahun itu tidak mahu sekadar dikenali dengan label tersebut.
Sebaliknya, Taufik bertekad untuk membuktikan kemampuan dan meletakkan namanya sebagai antara yang pertama dalam kesebelasan utama, lebih-lebih lagi sedang tiket ke Piala Asia 2027 panas direbut pemain setempat.
Selepas berbakti bersama kelab zaman kanak-kanaknya, Tampines Rovers di sebelah timur sejak 2018, Taufik kini berkelana di barat menyarung jersi Harimau Kumbang, Tanjong Pagar United.
‘Angin baharu’ di barat Singapura nampaknya turut memberi nafas segar buat Taufik.
Beliau bertekad membuktikan kemampuannya untuk bersinar dalam era baharu kelab tersebut, sekali gus mengejar impian untuk menerima panggilan yang dinantikan untuk beraksi buat pasukan nasional di Piala Asia 2027.
“Saya sering digelar super sub, tetapi impian saya sentiasa untuk memulakan perlawanan.
“Saya ingin buktikan kepada penyokong bahawa saya bukan sekadar pemain minit akhir, tetapi layak menjadi kesebelasan utama.
“Kita semua tahu, jika anda berada di kesebelasan utama, lebih mudah untuk mencuri tumpuan dan beraksi di peringkat lebih tinggi.
“Matlamat saya sekarang adalah merebut peluang bermain dan kembali ke skuad kebangsaan,” katanya yang meletakkan sasarannya untuk beraksi di pentas Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Menurut bapa tiga anak itu, beliau kini berada pada tahap yang baik, dan percaya dirinya boleh berkembang.
“Saya yakin saya masih mampu beri sumbangan kepada skuad kebangsaan kerana Gavin Lee (jurulatih pasukan negara) sangat mengenali saya dan tahu cara terbaik untuk manfaatkan kemampuan saya,” ujar beliau yang sudah mempunyai 13 penampilan di peringkat antarabangsa.
Taufik mengakui gelaran super sub itu bukan sesuatu yang mudah untuk diterimanya, terutama bagi seorang pemain yang ingin mencipta nama satu ketika dahulu.
Tetapi, beliau bersyukur atas kehadiran beberapa bekas rakan sepasukan yang membantunya melihat perkara itu daripada sudut yang positif.
Antara lain ialah bekas kapten Tampines, Yasir Hanapi, dan legenda penyerang Singapura, Khairul Amri.
“Yasir dan Amri banyak sokong saya di Tampines dan tenangkan hati saya dengan berkata ‘tak apa jadi super sub kerana apabila pemain lawan pancit, saya boleh beri tenaga pada pasukan, jurulatih tahu kemampuan pemain’.
“Kata-kata itu banyak bantu saya di sepanjang kerjaya bola sepak saya,” kongsinya.
Sebagai ‘budak’ Tampines, Taufik membesar dengan pasukan The Stags.
Daripada skuad bawah 16 tahun pada 2011, beliau meniti tangga kejayaan di akademi sehinggalah berjaya menembusi skuad itu dalam liga belia, Prime League.
Penampilan sulung Taufik bersama skuad senior Tampines Rovers hadir pada musim 2014 menentang Balestier Khalsa, apabila jurulatih, Rafi Ali, membawanya masuk pada lima minit terakhir perlawanan.
Beliau kemudian beraksi bersama Young Lions dari 2015 hingga 2018 ketika melaksanakan Perkhidmatan Negara (NS), sebelum pulang ke pangkuan The Stags.
Tampines bukan sahaja mengasah bakat Taufik, namun, menjadi ‘rumah’ di mana beliau menikmati musim paling gemilang dalam kerjayanya pada saingan SPL 2022.
Di bawah bimbingan Lee – yang ketika itu jurulatih pasukan itu – Taufik berjaya menjaringkan 12 gol dalam SPL, sekali gus muncul sebagai penjaring setempat ketiga terbanyak pada musim itu.
Menjelang perlawanan pertama Tanjong Pagar menentang Geylang International pada 14 September ini, Taufik bersedia untuk mengukir babak baharu dalam kerjayanya.
Taufik menyasarkan untuk menjaringkan lebih daripada 10 gol untuk pasukan baharunya, namun, mengakui matlamat itu bukanlah sesuatu yang mudah.
Selain kebanyakan rakan sepasukan di Tanjong Pagar United merupakan muka baharu buat dirinya, kelab itu sendiri kini sedang berada dalam fasa pembinaan semula – satu proses yang memerlukan masa untuk membina keserasian.
“Pada awalnya, memang kekok apabila saya perlu turun latihan ke Stadium Jurong East dari kediaman saya di Tampines. Itu saja saya perlu masa hingga sebulan untuk sesuaikan diri.
“Pasukan ini sedang berkembang, dan kami dalam proses memahami gaya permainan satu sama lain.
“Kebanyakan daripada mereka juga saya belum pernah main bersama selain daripada Boris (Kopitovic), Madhu (Mohana) dan Jared (Gallagher) yang saya sudah pernah beraksi bersama sebelum ini,” ujarnya.
Walau demikian, kedatangan ketua jurulatih baharu Tanjong Pagar United, Miquel Llado, memberi sinar harapan baharu buat Taufik untuk membuktikan kemampuannya.
Menurutnya, ketua jurulatih asal Sepanyol itu mempunyai kelebihannya tersendiri dalam menguruskan corak permainan anak didiknya.
“Walaupun beliau (Llado) baru sahaja bersama kami selama sekitar sebulan, beliau seakan sudah tahu bagaimana ingin keluarkan yang terbaik daripada pemain.
“Sekali pandang, beliau tahu mana ingin meletakkan posisi pemainnya – beliau memiliki corak jurulatih yang sama dengan Lee (ketika beliau di Tampines) yang berjaya mengeluarkan yang terbaik dalam diri saya satu ketika dahulu di Tampines,” tambah Taufik.
Taufik juga bersyukur dengan kehadiran Kopitovic, 31 tahun, dalam pasukan yang sama.
Penyerang asal Montenegro itu telah meledak 110 gol dan menyumbang 41 bantuan gol dalam 138 penampilan bersama The Stags dari 2020 hingga 2024.
Hubungan akrab mereka yang sudah dibina sejak di Tampines itu menjangkau hingga ke luar padang dengan Taufik sering memandu Kopitovic keluar dengan anak-anaknya serta keluar makan.
“Dahulu beliau tidak kenal Singapura jadi saya banyak membantunya.
“Boris juga suka dengan kanak-kanak dan beliau pandai layan anak-anak saya, itu buatkan kami lagi serasi.
“Kami berdua sangat gembira dapat bersatu kembali di Tanjong Pagar dan akan push (menggalakkan) satu sama lain untuk bawa pasukan ini ke peringkat lebih tinggi,” ujar Taufik.
