Selepas satu lagi kempen hambar yang menyaksikan Tanjong Pagar United menduduki tangga terbawah dalam saingan Liga Perdana Singapura (SPL) yang disertai lapan pasukan, kelab itu bakal memulakan era baru di bawah pengurusan baru.

Kelab itu akan dipimpin oleh pengerusi baru, usahawan tempatan, Rajesh Nair, dan satu jawatankuasa pengurusan baru yang turut dianggotai bekas pemain tengah kebangsaan Singapura, Goh Tat Chuan.

Perubahan itu akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini dengan Raymond Tang, pengerusi kelab itu sejak 2019, melepaskan jawatannya bersama barisan jawatankuasa pengurusannya yang lain.

Satu kenyataan media oleh kelab itu pada 1 Jun menyatakan:

“Peralihan kepimpinan ini menandakan permulaan fasa baru yang menarik bagi kelab ini, dengan tumpuan yang diperbaharui terhadap pembangunan bola sepak, penglibatan penyokong dan pembinaan asas yang kukuh bagi kejayaan jangka panjang.”

Pasukan yang diberi gelaran ‘The Jaguars’ itu telah mengalami kempen hambar berturut-turut, setelah menduduki tangga tercorot bagi musim SPL 2024-25 dan musim 2025-26 yang baru sahaja melabuhkan tirainya.

Rajesh, yang merupakan rakan kongsi dan pengasas bersama Sport Dev yang mengendalikan Akademi Bola Sepak FC Barcelona di Singapura sejak 2022, berkata beliau dimaklumkan oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) tentang peluang membentuk sebuah pasukan bagi mengambil alih pengurusan kelab SPL tersebut.

Beliau, yang berusia 53 tahun, mempunyai pengalaman bekerja di Sepanyol selama lebih sedekad dan merupakan saudara kepada anggota majlis FAS ketika ini, Dinesh Nair.

Beliau berkata: “Kami berpendapat bahawa kami sebenarnya boleh melakukan sesuatu yang positif bagi arena bola sepak Singapura. 

“Memang mudah untuk mengkritik, tetapi kami mahu turun padang dan cuba melakukan sesuatu. Kami teruja dengan peluang ini dan apa yang mahu kami lakukan adalah membina sebuah kelab bola sepak yang mampan serta diuruskan secara profesional.”

Tanjong Pagar sebelum ini bergelut untuk bersaing dalam liga profesional, dengan pengkritik mempersoalkan pengambilan pemain asing yang kurang menyerlah serta barisan pemain tempatan yang kurang mantap.

Bagi musim terbaru, mereka sekadar mengumpul tujuh mata daripada 21 perlawanan dan memboloskan 63 gol, jumlah tertinggi dalam liga, berikutan kekalahan besar termasuk tewas 0-6 kepada Balestier Khalsa dan dibantai 0-7 oleh juara liga, Lion City Sailors.

Rajesh, yang memulakan kerjayanya sebagai jurutera aeroangkasa sebelum beralih ke dunia korporat, percaya pasukannya itu mampu menyuntik nafas baru untuk “mengembalikan keterujaan kepada kelab ini”.

Beliau akan memanfaatkan pengalaman dirinya dan pasukannya itu dalam membina perniagaan merentasi pelbagai sektor dan negara.

Ini termasuk mengembangkan Akademi Barcelona di Singapura daripada sebuah operasi kecil yang dianggotai sekitar 80 kanak-kanak di satu lokasi, kepada operasi pelbagai cawangan yang melibatkan sekitar 1,600 kanak-kanak di empat lokasi dalam tempoh empat tahun.

Perancangan bagi musim 2026-27 yang dijadualkan bermula pada September sudah pun bermula.

Beliau enggan mendedahkan sama ada terdapat perubahan pada barisan kejurulatihan, yang ketika ini diterajui ketua jurulatih, Noh Alam Shah, serta pemain yang sedang menjadi sasaran kelab itu.

Beliau berkata: “Apa yang boleh saya katakan ialah kami sedang meninjau beberapa nama yang menarik, iaitu pemain yang telah mempamerkan prestasi cemerlang dalam liga sebelum ini serta pemain berkaliber skuad kebangsaan. Kami juga sudah pun memulakan rundingan dengan mereka.”

Antara pemain yang sedang dipertimbangkan termasuk mantan penyerang berbisa BG Tampines Rovers, Boris Kopitovic, yang kini bermain untuk kelab Indonesia, Bali United.

Penyerang kelahiran Montenegro berusia 31 tahun itu telah menjaringkan 110 gol dan menyumbang 41 bantuan gol dalam 138 perlawanan bersama pasukan tersebut dari 2020 hingga 2024.

Rajesh akur bahawa cabaran di hadapan tidak mudah, namun beliau tidak sabar untuk mengembalikan kegembiraan kepada penyokong kelab berkenaan.