Dahulu, setiap kali seseorang melihat Khirmern Mohamad berjalan menggunakan tongkat, mereka sering memandangnya dengan rasa simpati.

Mereka melihatnya sebagai seorang lelaki yang telah kehilangan sesuatu.

Ada juga yang tertanya-tanya bagaimana beliau mampu meneruskan kehidupan, selepas kaki kirinya terpaksa dipotong, akibat diserang kelemayuh, iaitu penyakit yang menyebabkan tisu daging mati kerana tidak mendapat bekalan darah, selepas satu kemalangan motosikal pada 2026 yang mengubah seluruh hidupnya.

Namun, atlet para boling padang negara berusia 56 tahun itu tidak pernah mahu dirinya dikaitkan dengan rasa kasihan.

Sebaliknya, beliau mahu dikenali kerana ketabahan dan keupayaannya untuk bangkit, seorang pejuang yang tidak pernah berhenti mengejar impian, mencabar batas diri, dan membuktikan bahawa kehilangan kaki kirinya bukanlah pengakhiran satu perjalanan.

Kini, beliau telah membuktikannya.

Khirmern merupakan salah seorang daripada hanya empat atlet para yang dipilih untuk mewakili Singapura di Sukan Komanwel Glasgow 2026, yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos.

“Saya tidak mahu pandang ke belakang lagi.

“Sekarang masa untuk saya melihat ke depan, dan bina hidup saya semula,” kata Khirmern mengenai prinsip yang membantunya bangkit, selepas melalui fasa sukar dalam hidupnya.

Baginya, perjalanan itu bukan sekadar tentang kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Ia adalah tentang membuktikan bahawa beliau masih mampu mencapai sesuatu yang besar.

Peluang terbesar itu hadir apabila beliau dipilih untuk mewakili Singapura di Sukan Komanwel, satu pencapaian yang pada awalnya tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

Gandingan Khirmern (kanan) dan Mawjit Singh, juga atlet para boling padang, melakar sejarah dengan merangkul pingat gangsa bersama dalam acara Pasangan Lelaki Para di Kejohanan Boling Padang Dunia 2023 di Gold Coast, Australia.
Gandingan Khirmern (kanan) dan Mawjit Singh, juga atlet para boling padang, melakar sejarah dengan merangkul pingat gangsa bersama dalam acara Pasangan Lelaki Para di Kejohanan Boling Padang Dunia 2023 di Gold Coast, Australia. - Foto FACEBOOK MOBOT

Pemilihannya berlaku selepas kejayaan bersama rakan sepasukan, Mawjit Singh, memenangi pingat gangsa Kejohanan Dunia Boling Padang 2023 di Gold Coast, Australia, yang secara automatik membuka laluan kelayakan ke Sukan Komanwel sebelum pemilihan akhir dibuat.

Apabila mendapat pengesahan mengenai pemilihannya, perasaan pertama yang hadir adalah kegembiraan dan rasa bangga.

“Saya begitu gembira apabila mendapat tahu saya antara empat atlet yang akan mewakili Singapura,” katanya.

Namun bagi Khirmern, peluang itu membawa makna lebih besar daripada sekadar mewakili negara.

Ia adalah bukti bahawa segala usaha, pengorbanan dan cabaran yang dilaluinya sejak bergelar atlet para, akhirnya membawa kepada satu detik yang tidak pernah beliau bayangkan sebelum ini.

Sebelum menemui minat terhadap boling padang, Khirmern sebenarnya sudah mencuba pelbagai jenis sukan.

Perjalanan sukannya bermula dengan olahraga para, khususnya acara lontar lembing dan lontar peluru.

Selepas itu, beliau cuba sukan layar sebelum beralih kepada angkat berat. Setiap sukan memberikan pelajaran yang berbeza.

Angkat berat mengajarnya tentang kekuatan dan keupayaan fizikal.

Sukan layar pula mengajarnya tentang membaca keadaan sekeliling dan membuat keputusan berdasarkan arah angin.

Khirmern merasakan boling padang menggabungkan semua elemen yang pernah dipelajarinya.

Baginya, boling padang bukan hanya mengenai ketepatan balingan.

Ia memerlukan kawalan emosi, fokus dan ketahanan mental kerana satu perlawanan boleh berlangsung sehingga dua jam.

“Boling padang memerlukan ketahanan mental.

“Sepanjang dua jam perlawanan berlangsung, pemain perlu fokus dan tenang,” jelasnya.

Itulah aspek yang paling menarik perhatian Khirmern iaitu kemenangan dalam boling padang bukan bergantung pada kekuatan fizikal semata-mata, tetapi pada kekuatan minda dan keupayaan untuk kekal tenang ketika berdepan tekanan.

Khirmern mula menceburi boling padang pada 2020.

Pada awalnya, beliau sendiri tidak menyangka sukan itu akan membawanya sejauh ini.

Namun selepas menyertai beberapa kejohanan tempatan dan meraih kejayaan, keyakinannya mula berkembang.

Detik yang mengubah keyakinannya bermula apabila beliau menyertai Sukan Para Asia Hangzhou 2023 di China, pertandingan antarabangsa pertamanya.

Di pentas itu, beliau berjaya meraih pingat gangsa, satu pencapaian yang membuktikan bahawa beliau mampu bersaing dengan atlet terbaik di rantau ini.

Baginya, berdiri di podium ketika itu adalah antara detik paling bermakna dalam kerjayanya.

“Sukan Para Asia Hangzhou 2023 merupakan pertandingan sulung saya di peringkat antarabangsa.

“Penyertaan saya itu merupakan detik yang membanggakan, dan saya percaya saya boleh pergi jauh,” ceritanya.

Namun di sebalik pencapaian tersebut, perjalanan menuju Sukan Komanwel memerlukan satu keputusan yang sangat besar.

Beliau memilih untuk tidak meneruskan tawaran pekerjaan sepenuh masa kerana mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan temasya itu, dan ia bukan keputusan mudah.

Mempunyai pekerjaan sepenuh masa menawarkan kestabilan, dan Khirmern perlu mempertimbangkan masa depan dirinya dan keluarga.

Sokongan tidak berbelah bahagi daripada isteri dan keluarga menjadi pemacu semangat serta faktor utama yang membolehkan Khirmern membuat keputusan besar mengetepikan tawaran kerja tetap demi latihan Sukan Komanwel.
Sokongan tidak berbelah bahagi daripada isteri dan keluarga menjadi pemacu semangat serta faktor utama yang membolehkan Khirmern membuat keputusan besar mengetepikan tawaran kerja tetap demi latihan Sukan Komanwel. - Foto ihsan KHIRMERN MOHAMAD

Sokongan keluarga menjadi faktor utama yang membolehkan beliau membuat keputusan itu.

Isteri dan anaknya memahami komitmen latihan yang diperlukan, terutama kerana Sukan Komanwel hanya berlangsung setiap empat tahun sekali.

Lebih penting, Khirmern melihat keluarganya sebagai sumber motivasi terbesar.

“Saya harus kuat bukan untuk diri saya sendiri, tapi untuk anak saya dan keluarga saya,” katanya.

Di Glasgow nanti, sasaran Khirmern adalah jelas iaitu untuk berada dalam kelompok empat terbaik, atau lebih membanggakan lagi jika dapat membawa pulang pingat.

“Saya tidak mahu pandang ke belakang lagi. Sekarang masa untuk saya melihat ke depan, dan bina hidup saya semula. Saya harus kuat bukan untuk diri saya sendiri, tapi untuk anak saya dan keluarga.”
Khirmern Mohamad.