LONDON: Pemain tengah Tottenham Hotspur, Pierre-Emile Hojbjerg, telah menyertai kelab Ligue 1 Perancis, Olympique de Marseille, sebagai pemain pinjaman dengan pilihan untuk membeli, umum kedua-dua kelab itu pada 22 Julai.
Walaupun butiran bayaran pemindahan tidak didedahkan, media Britain melaporkan Marseille bersetuju membayar sekitar £16 juta ($27.8 juta) bagi pemain berusia 28 tahun itu, jika mereka memilih membelinya.
Pemain antarabangsa Denmark tersebut, yang kontraknya bersama Spurs berbaki setahun lagi, membuat 184 penampilan dan menjaringkan 10 gol untuk kelab London Utara itu.
Beliau menyertai Spurs pada 2020 selepas empat tahun bersama Southampton.
Hojbjerg bermain untuk Bayern Munich sebelum beraksi di Liga Perdana England (EPL).
Sementara itu, Aston Villa telah menandatangani bek tengah, Amadou Onana, dari sebuah lagi pasukan EPL, Everton.
Ini diumumkan oleh kedua-dua kelab itu pada 22 Julai.
Baik Villa mahupun Everton tidak mendedahkan jumlah pemindahan itu, tetapi media Britain melaporkan perjanjian tersebut bernilai sekitar £50 juta.
Villa tidak mendedahkan tempoh kontrak pemain antarabangsa Belgium berusia 22 tahun itu.
Dilahirkan di Dakar, Senegal, Onana memulakan kerjaya seniornya di kelab Jerman, Hamburg, sebelum berpindah ke kelab Ligue 1, Lille, pada 2021.
Beliau membuat 75 penampilan untuk Everton selepas menyertai kelab itu pada 2022. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg