MANCHESTER: Manchester United telah mendapatkan pemain pertahanan Perancis berusia 18 tahun, Leny Yoro dari Lille, dengan kontrak lima tahun dalam usaha mereka untuk memperkuat barisan pertahanan mereka.
Kelab Liga Perdana England itu mengumumkan pembelian pemain itu pada 18 Julai.
Sumber mengatakan bahawa United bersetuju dengan bayaran 62 juta euro ($90.68 juta) untuk Yoro, yang telah bermain 60 perlawanan untuk Lille.
Bek tengah itu, yang membuat 41 penampilan musim lalu, dinamakan dalam pasukan terbaik Ligue 1 musim itu selepas membantu Lille menduduki tempat keempat dan mengesahkan tempat di kelayakan Liga Juara-Juara.
Sebelum ini, Yoro telah mencuri perhatian beberapa kelab terkemuka Eropah, dengan Real Madrid menjadi salah satu pasukan yang dikaitkan dengan pemain itu.
Beliau akan menjadi tambahan yang diperlukan di barisan pertahanan Man Utd yang sering dibelenggu masalah kecederaan dan juga baru kehilangan Raphael Varane yang sudah berpindah.
“Leny adalah salah seorang pemain pertahanan muda paling menarik dalam bola sepak dunia; beliau memiliki sifat yang diperlukan untuk berkembang menjadi bek tengah terbaik,” kata pengarah sukan United, Dan Ashworth, dalam satu kenyataan.
“Setelah memulakan kerjaya dengan cemerlang, kami teruja untuk menyokongnya dalam mencapai potensi besarnya di Manchester United.”
Remaja itu merupakan pembelian kedua utama kelab Old Trafford itu selepas penyerang Belanda, Joshua Zirkzee, menyertai mereka dengan harga 42.5 juta euro ($62.19 juta) pada 14 Julai.
“Menandatangani kontrak untuk kelab yang mempunyai reputasi dan cita-cita seperti Manchester United pada awal kerjaya saya adalah satu penghormatan yang luar biasa,” kata Yoro dalam satu kenyataan.
“Sejak perbualan pertama saya dengan kelab, mereka telah menetapkan rancangan yang jelas tentang bagaimana saya boleh berkembang di Manchester sebagai sebahagian daripada projek yang menarik ini, dan memberikan banyak perhatian untuk saya dan keluarga saya.
“Saya tahu tentang sejarah pemain muda di Manchester United dan berasa ia boleh menjadi tempat yang sesuai untuk mencapai potensi dan cita-cita saya, bersama rakan sepasukan baharu saya,” tambahnya.
Yoro dinamakan dalam skuad sementara Perancis kendalian, Thierry Henry, untuk Sukan Olimpik Paris, namun dikecualikan daripada skuad terakhir. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg