Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hojlund tumpul atau pemain lain kurang sokong penyerang?

Pengurus United Amorim salahkan kekurangan sokongan bagi kemarau gol penyerang
Mar 10, 2025 | 5:30 AM
Kekalahan Manchester United melalui sepakan penalti kepada Fulham, yang menyingkirkannya daripada Piala FA, adalah perlawanan ke-18 berturut-turut penyerangnya, Rasmus Hojlund, gagal menjaringkan gol sejak menyumbatkan dua gol ketika menentang Viktoria Plzen dalam Liga Europa pada 12 Disember.
Kekalahan Manchester United melalui sepakan penalti kepada Fulham, yang menyingkirkannya daripada Piala FA, adalah perlawanan ke-18 berturut-turut penyerangnya, Rasmus Hojlund, gagal menjaringkan gol sejak menyumbatkan dua gol ketika menentang Viktoria Plzen dalam Liga Europa pada 12 Disember. - Foto REUTERS

MANCHESTER: Satu lagi prestasi buruk bagi Manchester United dan satu lagi perlawanan tanpa satu pun gol oleh penyerang mereka.

Kekalahan United melalui sepakan penalti kepada Fulham dalam Piala FA adalah perlawanan ke-18 berturut-turut penyerangnya, Rasmus Hojlund, gagal menjaringkan gol sejak menyumbatkan dua gol ketika menentang Viktoria Plzen dalam Liga Europa pada 12 Disember.

Sepanjang tempoh itu, Joshua Zirkzee, juga hanya menjaringkan satu gol dalam 16 perlawanan untuk United yang sedang terkial-kial di bahagian serangan, lapor BBC Sports.

Dan ketika United mengejar gol penyamaan semasa menentang Fulham, pemain antarabangsa Denmark itu – yang dibeli daripada Atalanta di bawah satu perjanjian bernilai hingga £72 juta ($123.6 juta) pada 2023 – terpaksa digantikan oleh pemain remaja, Chido Obi.

Hojlund ‘terpencil’ di bahagian serangan

Ruben Amorim menyatakan bahawa terdapat kurang bantuan bagi Rasmus Hojlund (kiri) dalam usahanya untuk menjaringkan gol.
Ruben Amorim menyatakan bahawa terdapat kurang bantuan bagi Rasmus Hojlund (kiri) dalam usahanya untuk menjaringkan gol. - Foto REUTERS

Pengurus United, Ruben Amorim, baru-baru ini menyalahkan kekurangan sokongan bagi prestasi Hojlund, 22 tahun, yang buruk di hadapan gol.

“Sudah jelas, sebagai sebuah pasukan, kami tidak membantu Rasmus. Kami tidak mencipta banyak peluang. Rasmus mempunyai banyak potensi. Jika kami memperbaiki cara kami bermain, beliau akan mempunyai lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol.

“Kami perlu melihat Rasmus sebagai pemain, beliau mempunyai rentak, beliau mempunyai teknik, beliau menjaringkan beberapa gol yang sangat sukar dijaringkan.

“Kadangkala beliau tidak memilih larian yang lebih baik, kadangkala beliau begitu bimbang untuk menyentuh bola kerana terdapat minit yang panjang tanpa bola dan beliau bergerak jauh dari gawang.

“Kami menangani perkara ini semasa latihan. Beliau mempunyai kebolehan – beliau sudah menunjukkannya di sini – tetapi saya fikir ia lebih merupakan mengenai pasukan daripada mengenai Rasmus,” kata Amorim.

Kurang pemain pilihan

Apatah lagi dengan berkurangnya pilihan disebabkan Amad Diallo cedera; Marcus Rashford dipinjamkan ke Aston Villa; dan Antony kini berada di Real Betis hingga akhir musim.

Pada Februari, terdapat keadaan agak lucu apabila pemain sayap Brazil itu menjaringkan lebih banyak gol bagi pasukan La Liga itu (tiga gol) berbanding keseluruhan pemain United pada ketika itu dalam bulan tersebut.

Namun, Amorim mengawal barisan pemain dan taktik, dan ada ketidakpuasan yang jelas di Old Trafford bahkan sebelum perlawanan menentang Fulham bermula apabila, Alejandro Garnacho, ditinggalkan di bangku simpanan.

Hingga Garnacho dimasukkan pada minit ke-53, Noussair Mazraoui dan Diogo Dalot – dua bek sayap yang bermain dalam peranan pemain sayap – terkial-kial untuk memberi sembarangan ancaman ke atas Fulham.

Apabila pemain sayap Argentina itu masuk, dinamik perlawanan mula berubah.

United bermain dengan lebih bermatlamat dan menghasilkan enam percubaan tepat pada separuh masa kedua berbanding dua percubaan mereka sebelum rehat.

Garnacho juga terlibat dalam gol penyamaan, Bruno Fernandes, apabila United akhirnya menggerakkan pemain ke hadapan, berbeza daripada babak pertama apabila Zirkzee dan Hojlund kekurangan sokongan.

“Saya rasa United bermain terlalu perlahan, kelajuan bola terlalu perlahan dan bagi penyerang tengah, mereka hanya menunggu,” kata bekas kapten United, Wayne Rooney, pada rancangan BBC Match of the Day.

“Kadang-kadang saya buat silap dan tidak bermain dengan baik, tetapi saya ada pemain yang bagus di sekitar saya.

“Hojlund tidak mempunyai bantuan. Beliau terpaksa menahan bola dan menggunakan tubuhnya. Beliau berlari dan berusaha, tetapi masih agak terasing (daripada pasukannya).

“Bukan Hojlund sahaja malah Joshua Zirkzee melepaskan bola terlalu banyak kali.

“Tidak cukup kreativiti dan mereka tidak menahan bola untuk pemain tengah dan pertahanan menyokong mereka, maka ia adalah kesilapan daripada kedua-dua pihak,” ujar Rooney.

Hojlund perlu bantuan

Kekalahan Manchester United melalui sepakan penalti kepada Fulham, yang menyingkirkannya daripada Piala FA, adalah perlawanan ke-18 berturut-turut penyerangnya, Rasmus Hojlund, gagal menjaringkan gol sejak menyumbatkan dua gol ketika menentang Viktoria Plzen dalam Liga Europa pada 12 Disember.
Kekalahan Manchester United melalui sepakan penalti kepada Fulham, yang menyingkirkannya daripada Piala FA, adalah perlawanan ke-18 berturut-turut penyerangnya, Rasmus Hojlund, gagal menjaringkan gol sejak menyumbatkan dua gol ketika menentang Viktoria Plzen dalam Liga Europa pada 12 Disember. - Foto REUTERS

Hojlund terpaksa menunggu hingga 26 Disember bagi mendapatlan gol pertamanya di Liga Perdana England (EPL) musim lalu.

Namun, itu mendorongnya mencatat keputusan cemerlang dengan lapan gol dalam lapan perlawanan. Musim pertamanya yang terganggu oleh kecederaan di United berakhir dengan 16 gol dalam 43 perlawanan.

Musim ini pula, beliau menjaringkan tujuh gol sahaja dalam 35 perlawanan dalam semua pertandingan dan kemerosotan itu tidak mengejutkan memandangkan beliau hanya mempunyai purata 1.5 percubaan setiap perlawanan sepanjang musim ini, dan membuat hanya purata 3.5 sentuhan di kawasan penalti lawan.

Garnacho (8.4), Diallo (7.3), Rashford (5.1) dan Zirkzee (4.7) semuanya mempunyai lebih banyak sentuhan di dalam kotak penalti lawan berbanding pemain Denmark itu.

Angka-angka itu turut kelihatan sangat rendah apabila dipertimbangkan bahawa Mohamed Salah dan Luis Diaz di Liverpool mempunyai 16 sentuhan antara mereka dalam kotak penalti Manchester City dalam kemenangan EPL mereka awal sebelum ini.

Obi mencatatkan enam sentuhan dalam masa kurang enam minit semasa menentang Fulham.

Satu lagi sebab untuk berasa bimbang ialah angka Hojlund terus merosot sejak 19 Disember kepada purata 1.3 percubaan setiap perlawanan dan 3.1 sentuhan di kawasan penalti lawan.

Walaupun United yakin akan potensinya untuk berkembang menjadi penyerang tengah kelas atas, Hojlund tidak memenuhi potensi itu, dan walaupun beliau telah menunjukkan sekilas keupayaan penyudahnya, keyakinannya kini nampaknya telah hancur.

Keadaan tidak membantu bagi pemain Denmark itu apabila Garnacho tidak diturunkan pada permulaan perlawanan kerana nampaknya Garnacho satu-satunya pemain semasa United yang boleh menghalang lawan menjaringkan gol dengan mudah dan memberi sokongan kepada penyerang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg