Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tandukan Maguire bantu Man U tewaskan Ipswich

Feb 27, 2025 | 3:06 PM
Kemenangan di Old Trafford mencatat sejarah apabila dua pemain pertahanan, salah seorangnya Harry Maguire (tengah), menjaringkan gol untuk Manchester United dalam perlawanan Liga Perdana England (EPL) yang sama.
Kemenangan di Old Trafford mencatat sejarah apabila dua pemain pertahanan, salah seorangnya Harry Maguire (tengah), menjaringkan gol untuk Manchester United dalam perlawanan Liga Perdana England (EPL) yang sama. - Foto AFP

MANCHESTER (England): Manchester United bangkit seawal minit keempat di Old Trafford untuk mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Ipswich, hasil tandukan Harry Maguire.

Maguire menanduk masuk sepakan sudut Bruno Fernandes dua minit selepas separuh masa kedua bermula untuk memberi Ruben Amorim hanya kemenangan ketiga di laman sendiri dalam Liga Perdana England (EPL), lapor BBC.

United meraih kejayaan meskipun kehilangan Patrick Dorgu, yang dilayangkan kad merah sebelum rehat selepas sistem penolong pengadil video (VAR) Craig Pawson mengesan terjahan Dorgu ke atas pemain sayap Ipswich, Omari Hutchinson, terlepas daripada perhatian pengadil Darren England.

Ipswich segera memanfaatkan kelebihan seorang pemain dengan menyamakan kedudukan apabila hantaran silang Jaden Philogene dari tepi padang masuk ke penjuru gawang selepas Andre Onana gagal bertindak apabila Liam Delap terlepas peluang untuk menanduk bola tersebut.

Namun, itu bukan satu-satunya kesilapan Onana malam itu. 

Perlawanan bermula dengan kesilapan penjaga gol Cameroon itu, yang terlalu dekat dengan Dorgu ketika pemain pertahanan tersebut cuba menangani bola hantaran jauh.

Sebaliknya, Dorgu secara tidak sengaja menghantar bola kepada Philogene yang dengan mudah menolak masuk ke gawang untuk gol pembukaan Ipswich.

Itu hanyalah permulaan kepada pembukaan permainan yang kacau-bilau apabila United menyamakan kedudukan hasil kesilapan kapten Ipswich, Sam Morsy, yang cuba menghalang Rasmus Hojlund daripada menanduk sepakan percuma Fernandes, secara tidak sengaja menanduk bola ke gawang sendiri.

Empat minit kemudian, United mendahului apabila percubaan gol Maguire dan Diogo Dalot berjaya diselamatkan, tetapi bola melantun ke arah Matthijs de Ligt, yang tidak mensia-siakan peluang untuk merembat masuk gol.

Ketika itu, kelihatan seperti pasukan tuan rumah akan melakar kemenangan mudah. Realitinya, bagaimanapun, jauh lebih mencabar.

Tiada apa yang mudah buat Manchester United ketika ini.

Selepas satu minggu yang sukar di luar padang ketua eksekutif Manchester United, Omar Berrada mengesahkan sehingga 200 kakitangan mungkin akan kehilangan pekerjaan.

Amorim juga secara terbuka mengkritik pasukannya kerana “tidak hadir” sepanjang 70 minit perlawanan di Goodison Park, yang mana para pemain United perlu beraksi dengan fokus yang sepenuhnya sejak wisel permulaan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg