Topik diikuti
Pergi ke BHkuHougang mahu bina identiti baru, Sailors tekad pertahan mahkota SPL
Hougang mahu bina identiti baru, Sailors tekad pertahan mahkota SPL
Cara terbaik untuk memulakan proses pembinaan semula ialah dengan memberikan persembahan yang mantap, lebih-lebih lagi apabila ia menentang juara bertahan.
Itulah cabaran yang menanti Hougang United apabila mereka membuka kempen Liga Perdana Singapura (SPL) menentang Lion City Sailors di Stadium Bishan pada 12 September.
Bagi Hougang, ini bukan sekadar perlawanan pertama musim baharu, tetapi peluang awal untuk menunjukkan bahawa proses rombakan yang dilakukan sepanjang pramusim mempunyai asas yang kukuh.
Ketua jurulatih Akbar Nawas tidak mahu usaha itu sekadar menjadi satu lagi usaha pembinaan semula yang tidak menjadi.
“Bagi saya, objektif sebenar ialah membina struktur dan identiti bola sepak yang kekal walaupun pemain berubah,” katanya.
Malah, mesej Akbar cukup jelas: Hougang mahu membina sesuatu yang lebih besar daripada sekadar mengejar keputusan untuk satu musim.
“Pemain akan datang dan pergi, tetapi cara kami bekerja tidak sepatutnya berubah. Itulah yang kami cuba wujudkan di Hougang,” tambahnya.
Maka, tiada ukuran awal yang lebih baik daripada berdepan Sailors – juara bertahan yang baru sahaja menjulang Perisai Masyarakat selepas mengatasi Tampines Rovers 2-0.
Namun, Sailors tidak boleh menganggap perlawanan ini sebagai tugas mudah.
Hougang bukan sahaja mempunyai motivasi untuk memulakan era baharu dengan baik, malah mereka mahu membina identiti permainan yang lebih jelas di bawah Akbar.
Dalam proses mencari pemain baharu, Akbar mendedahkan beliau meneliti lebih 100 profil pemain sebelum membuat keputusan, dengan fokus bukan sekadar kepada statistik atau reputasi.
“Pengambilan pemain bukan hanya tentang melihat statistik atau reputasi seseorang pemain. Saya mahu memahami sama ada pemain itu sesuai dengan bola sepak kami, persekitaran kami dan apa yang kami cuba bina.”
Soalnya sekarang ialah sama ada identiti itu sudah cukup matang untuk menentang sebuah pasukan yang mempunyai jauh lebih banyak pengalaman dan kualiti individu.
Salah seorang pemain yang boleh menjadi kunci kepada peluang Hougang ialah Jaushua Sotirio.
Penyerang Australia itu mempunyai pengalaman luas dalam Liga Australia (A-League) bersama Western Sydney Wanderers, Wellington Phoenix dan Newcastle Jets sebelum meneruskan kerjayanya di Singapura.
Sotirio menjaringkan lima gol dalam kempen SPL 2025/26 dan mempunyai kepantasan serta kekuatan untuk mengganggu pertahanan Sailors, terutama jika Hougang berjaya memenangi bola dan menyerang dengan pantas.
Beliau juga boleh beroperasi di beberapa posisi di bahagian serangan, menjadikannya pemain yang sukar dikawal jika diberi ruang.
Penyerang berusia 30 tahun mengakui bahawa kecederaan telah menjejas musimnya bersama Hougang, tetapi kini tidak sabar untuk beraksi.
“Setiap latihan, setiap perlawanan dan setiap detik beraksi mengingatkan saya kenapa saya tidak berputus asa,”
“Saya rasa hebat sekarang, dan tidak sabar menantikan apa yang bakal datang,” katanya.
Bagi Sailors, Ilhan Fandi jelas menjadi pemain yang paling perlu diberi perhatian.
Selepas hampir empat tahun beraksi di luar negara, penyerang Singapura itu hanya memerlukan 17 minit untuk membuka tirai sebelum menambah gol kedua sembilan minit kemudian.
Dua golnya dalam Perisai Masyarakat bukan sahaja memberikan permulaan sempurna kepada kerjayanya bersama kelab itu, malah menunjukkan bahawa beliau sudah kembali ke SPL dengan keyakinan dan ketajaman yang tinggi.
Lebih menarik, beliau kini dikelilingi skuad Sailors yang mempunyai banyak pilihan di bahagian serangan dan kreativiti dari tengah padang.
“Ia merupakan peluang untuk menimba ilmu bukan sahaja daripada pemain luar negara, tetapi juga daripada pemain tempatan,”
“Saya menjangkakan intensiti latihan akan tinggi dan persaingan juga sengit, yang sememangnya saya suka kerana ia akan mendorong saya untuk terus mencabar diri dan membawa permainan saya ke tahap yang lebih tinggi,” kata penyerang berusia 23 tahun itu.
Jika Ilhan dapat terus menemukan ruang seperti ketika menentang Tampines, Hougang bakal berdepan ujian besar.
Namun, Sailors sendiri memasuki musim dengan beberapa persoalan yang perlu dijawab.
Mereka baru sahaja berpisah dengan Jesus Casas dan melantik Mark Jackson sebagai jurulatih baharu, tetapi Jackson masih menunggu kelulusan visa kerja.
Buat sementara waktu, Varo Moreno terus mengendalikan pasukan.
Pertembungan di Bishan itu bakal menjadi ujian awal terhadap dua projek yang sangat berbeza: Hougang yang mahu membina identiti untuk jangka panjang, dan Sailors yang mahu mengekalkan identiti sebagai pasukan yang perlu ditewaskan.
