Jaringan Ilhan Fandi membantu Lion City Sailors menebus kekalahan Perisai Masyarakat musim lalu selepas mereka berjaya mengatasi Tampines Rovers 2-0 pada 6 September.

Perlawanan di Jalan Besar itu bermula dengan intensiti yang baik, mempamerkan pertarungan antara dua pasukan terbaik dalam Liga Perdana Singapura (SPL) musim lalu.

Walaupun sengit, Sailors mempamerkan kualiti yang menunjukkan mengapa mereka bergelar juara SPL buat dua musim berturut-turut.

Sailors membuka tirai perlawanan melalui Ilhan yang menjaringkan gol menerusi tandukan untuk meletakkan pasukannya di hadapan 1-0 pada minit ke-17, hasil hantaran silang daripada Diogo Costa.

Hasil gerakan yang baik sekali lagi, hantaran kemas daripada Bart Ramselaar menemui Farhan Zulkifli di dalam kotak penalti, yang kemudiannya temui Ilhan untuk beliau menjaringkan gol keduanya pada minit ke-26.

Keputusan itu bermakna Sailors, walaupun tanpa pengurus tetap, membuka musim 2026/27 dengan trofi Perisai Masyarakat menjelang kempen SPL baharu yang akan bermula 11 September.