LONDON: Jurulatih Tottenham, Ange Postecoglou, kini kelihatan lebih terasing daripada penyokongnya sendiri.
Jurulatih dari Australia itu hanya mampu memberi tepukan kepada penyokong yang marah dari tengah padang selepas kekalahan 1-0 pasukannya di Chelsea pada 4 April, tetapi bagi peminat Tottenham, nasi sudah jadi bubur.
Jaringan Enzo Fernandez pada separuh kedua cukup untuk memberikan kekalahan ke-16 musim ini kepada Tottenham, meletakkan mereka di tangga ke-14 dalam Liga Perdana England (EPL) - ketinggalan 10 mata daripada 10 pasukan teratas - dan semakin ramai penyokong yang nampaknya sudah serik.
Sorakan “engkau tak tahu apa yang engkau sedang lakukan” kedengaran daripada penyokong Tottenham selepas pemain tengah Lucas Bergvall digantikan oleh Pape Sarr pada minit ke-65.
Namun, Sarr menjaringkan gol menerusi rembatan jarak jauh hebat hanya empat minit selepas itu, dan Postecoglou meraikan jaringan itu dengan memegang telinganya dan berpaling ke arah penyokong sendiri.
Tetapi VAR kemudian membatalkan gol tersebut setelah Moises Caicedo kelihatan dikasari.
“Aduh, sungguh luar biasa bagaimana kejadian itu ditafsirkan. Kami baru sahaja menjaringkan gol, saya cuma mahu mendengar mereka bersorak. Kami sedang melalui tempoh yang sukar, dan saya rasa itu adalah gol yang hebat,” kata Postecoglou apabila ditanya mengenai insiden itu selepas perlawanan.
Perkara itu hanya membuat hubungan Postecoglou dengan peminat Tottenham semakin renggang.
Ditambah dengan kekurangan kemajuan di atas padang walaupun dengan hampir keseluruhan pemain utama tersedia, keadaan kelihatan lebih muram.
Spurs, satu lagi panggilan bagi Tottenham, juga sedang berusaha mengelak daripada mencatatkan musim terburuk dalam era EPL mereka.
Postecoglou merupakan pengurus pertama Spurs yang tewas dalam empat perlawanan pertama menentang Chelsea.
Dengan baki lapan perlawanan, Spurs berada di tangga ke-14, dan berkemungkinan besar akan tamat di luar 10 pasukan teratas buat pertama kali dalam 17 tahun.
Kedudukan terendah Spurs dalam EPL kekal di tempat ke-15 pada 1994 di bawah pengurus Ossie Ardiles - ketika mereka hanya dapat memastikan mereka dapat kekal di EPL dalam perlawanan kedua terakhir mereka.
Mereka kini tewas 16 perlawanan liga musim ini, hanya tiga kurang daripada jumlah yang dicatatkan pada musim 2003-04.
Sejak penubuhan EPL pada 1992, hanya enam kali Spurs tewas 16 atau lebih perlawanan liga dalam satu musim.
Dengan 16 kekalahan daripada 30 perlawanan, kadar kekalahan Spurs musim ini adalah 53 peratus - dan mereka tidak pernah tewas lebih daripada separuh perlawanan liga dalam satu musim sejak 1934-35.
Postecoglou hanya meraih 44 mata daripada 39 perlawanan liga terakhirnya sebagai pengurus - yang bermula dari penghujung musim 2023/24.
Laporan juga menunjukkan Postecoglou kini mengalami tekanan yang sangat besar.
Andoni Iraola dari Bournemouth, Marco Silva dari Fulham dan Thomas Frank dari Brentford semuanya dikaitkan sebagai pengganti jawatan pengurus di Spurs.
Pengurus berusia 56 tahun itu, yang menjadi pengurus Spurs pada Jun 2023 dan telah menandatangani kontrak dengan kelab sehingga 2027, sanggup mencadangkan bahawa terdapat banyak calon yang cemerlang untuk menggantikannya.
Namun, Spurs dijangka akan menunggu sekurang-kurangnya sehingga kempen Liga Europa berakhir - satu peluang bukan sahaja untuk Spurs memenangi trofi pertama dalam 17 tahun, bahkan untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Mereka akan menjadi tuan rumah kepada pasukan Jerman, Eintracht Frankfurt, dalam perlawanan separuh akhir pertama pada 11 April.
Sumber kelab mengesahkan sebelum perlawanan bahawa mereka tidak menjangka sebarang perubahan pengurus sebelum musim ini berakhir.
Spurs juga telah menghabiskan 214.8 juta paun ($374 juta) untuk cuba memenangi trofi musim ini, tetapi selepas tersingkir daripada piala domestik, kini hanya Liga Europa yang menjadi harapan.
Itu merupakan peluang terakhir untuk Spurs merealisasikan komen Postecoglou pada awal kempen yang mengatakan beliau “selalu memenangi trofi pada musim keduanya” - sebagaimana yang beliau lakukan di Scotland, Jepun dan Australia.
Walaupun tidak ada apa pun yang boleh diperjuangkan oleh Spurs dalam EPL, menamatkan kemarau trofi Spurs dengan memenangi Liga Europa akan membantu Spurs menutup musim ini dengan positif. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg