NOTTINGHAM: Persaingan untuk kelayakan ke kejohanan Eropah semakin sengit dalam Liga Perdana England (EPL), dengan England hampir pasti mendapat satu lagi tempat dalam Liga Juara-Juara musim depan.
Nottingham Forest mengambil langkah besar ke arah kelayakan dengan kemenangan 1-0 ke atas Manchester United di stadium City Ground pada 2 April.
Pasukan itu, yang diurus Nuno Espirito Santo, kini berada di tangga ketiga dalam EPL, mempunyai lapan mata lebih daripada Chelsea yang berada di tangga keempat, dan akan menentang Tottenham pada 4 April.
Dengan kelebihan ini, Forest berpeluang besar untuk mendapatkan tempat ke Liga Juara-Juara.
Forest juga cemerlang dalam Piala FA, berjaya untuk mara ke peringkat separuh akhir dan akan menentang Manchester City pada 26 April.
Mereka sebelum ini menewaskan Brighton pada 30 Mac.
Pengulas BBC Radio 5 Live, yang juga bekas pemain Tottenham, Andy Reid, berkata Forest berada dalam “kedudukan yang kuat” untuk layak ke Liga Juara-Juara.
Namun, beliau juga mengingatkan bahawa musim belum lagi berakhir.
Kapten Forest, Ryan Yates, berkata pasukannya kekal fokus.
“Kami masih ada Piala FA dan liga untuk difikirkan. Perlawanan seterusnya menentang Aston Villa (pada 6 April), dan mereka dalam prestasi yang baik. Kami fokus satu perlawanan pada satu masa,” katanya.
Espirito Santo juga enggan berbincang tentang kelayakan Liga Juara-Juara.
Beliau berkata: “Kami fokus pada perlawanan seterusnya, hari demi hari.”
Beberapa pasukan, termasuk Manchester City, Newcastle, Brighton, Aston Villa dan Bournemouth, akan beraksi pada 3 April.
Saingan untuk kedudukan teratas semakin sengit, dengan hanya lima mata memisahkan pasukan di tangga keempat dan ke-10.
Terdapat cara untuk sebuah negara mendapat tempat tambahan dalam Liga Juara-Juara.
Setiap liga negara memperoleh kedudukan ‘koefisien’ berdasarkan prestasi kelab mereka dalam tiga pertandingan lelaki Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa), iaitu Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Liga Persidangan.
Kelab memperoleh mata koefisien untuk negara mereka – dua mata untuk kemenangan atau satu mata untuk seri.
Mata keseluruhan kemudian dibahagikan dengan jumlah kelab dari negara tersebut yang bertanding di Eropah.
Sebagai contoh, jika kelab EPL memperoleh 100 mata dan terdapat tujuh kelab England di Eropah, mata koefisien England adalah 14.28.
Musim ini, mata tambahan diberikan kepada kelab yang bermain dalam Liga Juara-Juara.
Ini memberi kelebihan kepada negara seperti Jerman dan Italy yang mempunyai lebih banyak kelab dalam kejohanan itu.
Dua negara teratas dalam ranking Uefa akan mendapat satu tempat tambahan ke Liga Juara-Juara pada musim berikutnya.
Tempat tambahan itu diberikan kepada kelab yang berada di kedudukan tertinggi di bawah zon kelayakan biasa.
Mengambil EPL sebagai contoh, empat kelab teratas secara automatik layak ke Liga Juara-Juara menerusi kedudukan liga, justeru mana-mana tempat tambahan akan diberikan kepada pasukan di tangga kelima.
Untuk musim 2024-25, tempat tambahan itu diberikan kepada Bologna (Italy) dan Borussia Dortmund (Jerman), yang masing-masing menduduki tangga kelima dalam liga mereka. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg