LONDON: Manchester United bakal memulakan kempen Liga Perdana England (EPL) 2026-27 dengan menentang kelab yang baharu dinaikkan taraf, Hull City, pada petang 22 Ogos.

Skuad The Red Devils itu menduduki tempat ketiga dalam carta EPL musim lalu.

Sementara itu, Hull mengesahkan kepulangan ke saingan divisyen teratas dalam arena bola sepak England menerusi kemenangan 1-0 dalam final perlawanan penentuan (play-off) Liga Kejohanan 2025-26 menentang Middlesbrough.

Hull kembali ke Liga Perdana buat kali pertama sejak 2016-17. 

Selain beraksi dalam divisyen kedua (Kejohanan), skuad The Tigers itu juga pernah jatuh ke divisyen ketiga (Liga Satu) sejak kali terakhir tersingkir daripada saingan liga utama.

Skuad kendalian Sergej Jakirovic itu giat membuat persiapan musim panas ini dengan membawa masuk 11 pemain baharu, termasuk pemain pertahanan Senegal, Nobel Mendy, daripada kelab Sepanyol, Rayo Vallecano.

Hull turut melepaskan beberapa pemain, sekali gus memberi wajah baharu kepada skuad musim ini – sesuatu yang diperlukan jika mereka mahu bersaing dalam EPL musim terkini.

The Tigers mencatat dua kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan daripada lima perlawanan persahabatan pramusim, dan akan melangkah ke perlawanan pada 22 Ogos menyusuli keputusan seri tanpa gol menentang kelab Perancis, Nice.

Hull hanya menang tiga daripada 18 pertemuan sebelum ini dengan United dalam semua pertandingan.

Kededua pasukan mencatat keputusan seri 0-0, pada kali terakhir mereka berdepan dalam Liga Perdana pada Februari 2017 di Old Trafford.

Sebelum itu, United mencatat kemenangan 1-0 ke atas Hull dalam kunjungan terakhir mereka ke padang lawan pada Ogos 2016, dan The Red Devils kini berhasrat memulakan kempen 2026-27 dengan kemenangan ke atas pasukan yang baru dinaikkan taraf itu.

Sepanjang tempoh pemindahan pemain pada musim panas, juara England 20 kali itu telah membawa masuk beberapa pemain seperti Andrey Santos dari Chelsea; Youri Tielemans dari Aston Villa; dan Karl Darlow dari Leeds United; bagi memperkasa skuad mereka.

Rundingan pembelian Carlos Baleba dari Brighton juga dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat, dengan kelab tersebut berkemungkinan akan membawa masuk seorang pemain pertahanan kiri dan penyerang sebelum tempoh jual beli pemain berakhir pada 1 September.

United mengakhiri aksi pramusim mereka dengan kekalahan 2-4 kepada AC Milan pada 15 Ogos.

Namun, persiapan mereka bagi kempen baharu kekal kukuh, dengan mencatat kemenangan ke atas Rosenborg, Atletico Madrid dan Leeds United, serta keputusan seri menentang juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG).

Meskipun menduduki tempat ketiga dalam Liga Perdana musim lepas, skuad kendalian Michael Carrick bakal berdepan cabaran lebih besar dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini.

Ia di samping hasrat pasukan itu untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Piala FA dan Piala EFL.

Skuad itu bakal menentang Ipswich Town dalam perlawanan di padang sendiri pertama mereka musim ini pada 30 Ogos, sekali gus memberi peluang kepada pasukan tersebut untuk mengutip enam mata awal sebelum berkunjung ke Everton bagi perlawanan pertama pada September.

Ramalan barisan kesebelasan utama Hull City:

Tzolakis; Coyle, Ajayi, Mendy, Giles; Slater, Crooks; Belloumi, Hjerto-Dahl, Stroud; McBurnie

Ramalan barisan kesebelasan utama Manchester United:

Lammens; Dalot, Maguire, Heaven, Shaw; Tielemans, Santos; Amad, Fernandes, Cunha; Mbeumo

Meskipun bakal menentang kelab yang baharu dinaikkan taraf, apa-apa sahaja boleh berlaku di atas padang, dan United berkemungkinan tidak akan memperoleh kemenangan mudah ke atas Hull.

Namun, skuad Carrick dijangka mampu menguasai perlawanan dan meraih tiga mata penuh pada minggu pembukaan kempen baharu ini. – Agensi berita.