Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iceland sekat rekod kemenangan Perancis dalam kelayakan Piala Dunia

Perancis yang turun tanpa beberapa tonggak utama diikat 2-2 dalam aksi sengit Kumpulan D
Oct 14, 2025 | 2:42 PM
Pemain tengah Iceland, Kristian Nokkvi Hlynsson, meraikan gol penyamaan 2-2 beliau dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 Kumpulan D antara Iceland dengan Perancis di Stadium Laugardalsvollur, Reykjavik, pada 13 Oktober 2025.
Pemain tengah Iceland, Kristian Nokkvi Hlynsson, meraikan gol penyamaan 2-2 beliau dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 Kumpulan D antara Iceland dengan Perancis di Stadium Laugardalsvollur, Reykjavik, pada 13 Oktober 2025. - Foto AFP

REYKJAVIK: Hasrat pasukan Perancis mengekalkan rekod kemenangan dalam kempen kelayakan Piala Dunia musnah selepas diikat 2-2 oleh Iceland dalam aksi sengit Kumpulan D, pada 13 Oktober.

Perancis yang turun tanpa beberapa tonggak utama seperti Kylian Mbappé, Ousmane Dembélé, Désiré Doué dan Bradley Barcola tetap tampil garang, namun gagal mempertahankan kelebihan selepas mendahului 2-1 pada separuh masa kedua.

Jean-Philippe Mateta menjaringkan gol sulungnya bersama skuad kebangsaan Perancis selepas Christopher Nkunku menyamakan kedudukan, untuk membalas jaringan awal Victor Palsson untuk tuan rumah.

Namun, Kristian Hlynsson menjadi wira Iceland apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-70 hasil serangan balas pantas Iceland.

Pengurus Perancis, Didier Deschamps, mengakui beliau kecewa dengan cara pasukannya dibolosi gol penyamaan.

“Iceland hanya ada dua percubaan tepat dan kedua-duanya menjadi gol. Kami tidak cukup agresif pada separuh masa pertama. Selepas menjaringkan gol, kami kemudian hilang fokus. Ia tidak sepatutnya berlaku,” kata jurulatih berusia 56 tahun itu.

Meskipun seri, Perancis kekal di puncak Kumpulan D dengan 10 mata selepas empat perlawanan, tiga mata di hadapan Ukraine, yang menewaskan Azerbaijan 2-1.

Perlawanan menentang Ukraine di Paris pada 13 November nanti dijangka menjadi penentu dalam perebutan tempat ke Piala Dunia 2026, yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Canada.

Perancis memulakan perlawanan dengan baik dan memaksa penjaga gol Iceland, Elias Olafsson, menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi daripada percubaan Christopher Nkunku dan Michael Olise.

Namun, Iceland terlebih dahulu membuka jaringan enam minit sebelum rehat apabila Palsson menyambar bola sepakan percuma yang gagal diadang benteng Perancis.

Nkunku sekali lagi mensia-siakan peluang keemasan pada awal babak kedua tetapi menebus kesilapan itu dengan rembatan leret dari sebelah kiri yang menewaskan Olafsson untuk menyamakan kedudukan – gol pertamanya bagi Perancis selepas setahun.

Perancis menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-68 apabila umpanan lintang Maghnes Akliouche disempurnakan Mateta.

Namun kecuaian benteng Perancis sejurus sepak mula membolehkan Albert Gudmundsson melorongkan bola kepada Hlynsson untuk menjaringkan gol penyamaan 2-2.

Dalam aksi Kumpulan J, Kevin De Bruyne berjaya menjaringkan dua sepakan penalti dalam kemenangan 4-2 Belgium ke atas Wales pada 13 Oktober.

Pasukan kendalian Rudi Garcia menghadapi permulaan hambar apabila Joe Rodon menjaringkan gol awal untuk Wales di Stadium Cardiff City.

Namun, De Bruyne menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti sebelum Thomas Meunier meletakkan Belgium di hadapan bagi memastikan mereka mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.

De Bruyne sekali lagi berjaya memanfaatkan sepakan penalti pada saat-saat akhir perlawanan sebelum Nathan Broadhead merapatkan jurang untuk tuan rumah.

Bagaimanapun, Leandro Trossard memadamkan harapan Wales untuk bangkit dengan gol keempat, sekali gus melonjakkan Belgium ke tangga teratas Kumpulan J.

Belgium kini berada satu mata di depan Macedonia Utara yang sekadar seri 1-1 ketika menentang Kazakhstan pada 13 Oktober.

Red Devils, julukan bagi pasukan Belgium, akan layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Dunia jika menang dalam salah satu daripada dua perlawanan terakhir mereka menentang Kazakhstan atau Liechtenstein pada November.

Dalam aksi Kumpulan A pula, gol tandukan Nick Woltemade pada separuh masa pertama cukup bagi membolehkan Jerman menewaskan Northern Ireland 1-0 di Belfast pada 13 Oktober, sekali gus mengekalkan kedudukan mereka di tangga teratas kumpulan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg