Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Ikatan istimewa’ bantu adik-beradik Alexandri ungguli renang duet teknikal

Pasangan atlet renang artistik dari Austria raih pingat emas di Kejohanan Akuatik Dunia di S’pura
Jul 22, 2025 | 1:11 PM
Kejohanan Akuatik Dunia 2025, Anna-Maria Alexandri, Eirini-Marina Alexandri
Pasangan adik-beradik dari Austria, Anna-Maria Alexandri (kiri) dan Eirini-Marina Alexandri, meraikan kemenangan mereka dalam acara duet teknikal wanita renang artistik di Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura. - Foto ST

Seperti adik-beradik lain, pasangan atlet renang artistik dari Austria, Anna-Maria dan Eirini-Marina Alexandri, juga ada masanya berselisih faham.

Namun, mereka mempunyai cara yang agak luar biasa untuk menyelesaikannya.

Setiap kali berlaku salah faham antara mereka berdua – yang merupakan antara kembar tiga bersama atlet renang, Vasiliki – cukup sekadar saling berpandangan dan ketawa, dan segalanya akan kembali seperti sediakala.

Ikatan unik inilah yang membantu mereka merangkul gelaran dunia kedua mereka pada 21 Julai, apabila mereka memenangi pingat emas dalam acara duet teknikal wanita di Kejohanan Akuatik Dunia (WCH) di Singapura, lapor The Straits Times (ST).

Di Arena WCH, pasangan itu meraih 307.1451 mata, mengatasi pasangan kembar dari China, Lin Yanhan dan Lin Yanjun (301.4057), serta atlet dari Russia, Mayya Doroshko dan Tatiana Gayday (300.2183), yang bertanding sebagai atlet neutral yang tidak mewakili negara.

Dengan pasangan adik-beradik menguasai dua kedudukan teratas di podium, pasangan adik-beradik Alexandri yang berusia 27 tahun itu ditanya sama ada menjadi kembar atau kembar tiga boleh memberi kelebihan dalam persembahan mereka di kolam renang.

“Kami ada satu hubungan istimewa kerana kami saling memahami perasaan satu sama lain, dan saya tahu apa yang beliau rasa hanya dengan melihat wajahnya, jadi saya tahu apa yang perlu saya katakan untuk menenangkannya.

“Kadangkala ia lebih mudah kerana kembar dua, kembar tiga, atau adik-beradik biasanya mempunyai struktur badan yang serupa dan gaya yang sama dalam mengekspresikan muzik dan pergerakan – dan dalam renang artistik, kami mencari kesempurnaan,” jelas Eirini-Marina.

Selepas mendahului pusingan awal pada 18 Julai, pasangan adik-beradik ini menjadi pasangan terakhir yang beraksi di kolam renang.

Namun, mereka kurang memberi perhatian kepada mata yang dikumpul pesaing lain kerana yang penting bagi Anna-Maria ialah giliran mereka yang bakal tiba pada 7.25 malam.

Persembahan menakjubkan mereka diiringi lagu klasik Swan Lake yang diolah semula oleh komposer Jepun, Koji Sakurai, sekali gus mengesahkan gelaran dunia kedua mereka, selain pingat emas acara duet bebas yang dimenangi pada Kejohanan Dunia Fukuoka 2023 di Jepun.

Keserasian mereka bukan sahaja terserlah dalam kolam, ia turut tercermin di zon media campuran, apabila mereka melengkapkan jawapan wawancara satu sama lain dengan sempurna.

Kemenangan itu datang selepas mereka terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Dunia Doha 2024 kerana Anna-Maria masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan yang dialaminya pada 2023.

“Kami sangat gembira dapat kembali beraksi. Bahu saya terkehel pada musim panas 2023, saya masih rasa sakit dan belum pulih sepenuhnya untuk Doha.

“Oleh itu, kami terpaksa menarik diri daripada kejohanan dunia itu kerana matlamat utama kami adalah (untuk bertanding dalam) Sukan Olimpik Paris (2024).

“Kini kami sangat gembira kerana ini merupakan kemuncak tahun ini (2025) dan kami menamatkannya dengan pingat emas,” kata Anna-Maria.

Perjalanan pasangan atlet ini tidak mudah sejak mereka meraih tempat keempat dalam acara duet di Sukan Olimpik Paris.

Pada penghujung 2024, jurulatih yang telah membimbing mereka selama 12 tahun, Albena Mladenova, bersara.

Untuk sementara waktu, mereka menjalani latihan sendiri sehingga Februari apabila mereka mula bekerja dengan jurulatih dari Jepun, Takako Nakajima – satu kerjasama yang telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Sebelum kemenangan di Singapura itu, mereka turut menjuarai acara duet teknikal di Kejohanan Eropah pada Jun, manakala kembar mereka, Vasiliki, kembali beraksi selepas berehat selama 11 bulan dan memenangi pingat gangsa dalam acara solo teknikal di Piala Dunia di Canada.

Pada sebelah pagi 21 Julai, juara bertahan China mendahului pusingan awal acara teknikal berpasukan dengan 306.2460 mata, diikuti atlet neutral dari Russia (295.4633) dan Sepanyol (288.4091).

Singapura gagal mara ke pusingan akhir selepas menamatkan saingan di tempat ke-23 dengan 200.6333 mata.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg