Apabila atlet renang terbuka Singapura, Ritchie Oh, bersara daripada sukan renang kompetitif pada 2023, beliau tidak pernah terbayang bahawa dua tahun kemudian, beliau akan kembali bertanding dalam Kejohanan Akuatik Dunia (WCH) di Singapura.
Selepas bertanding dalam Sukan SEA 2019, Sukan Asia di Hangzhou pada 2023, dan dua kejohanan dunia, beliau merasakan perjalanannya dalam sukan itu telah sampai ke penghujungnya.
Beliau yang dahulunya terdorong untuk melayakkan diri ke kejohanan utama, mula merasakan prestasinya tidak lagi berkembang.
Beliau sering membandingkan dirinya dengan orang lain, dan sesi latihan pula berubah menjadi sekadar rutin.
Oh berkata: “Saya berhenti mengambil berat untuk melayakkan diri ke kejohanan utama, yang sebelum ini merupakan pendorong utama saya untuk terus baiki diri dan mara ke pertandingan lebih besar yang seterusnya.
“Saya mula rasa berat hati untuk mengikuti latihan, dan tidak lagi mempunyai matlamat.”
Kini, perenang berusia 22 tahun itu adalah antara lapan perenang dalam pertandingan renang terbuka, atau di laut, yang mewakili Singapura dalam Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura.
Oh berkata beliau menikmati kebebasan pada bulan-bulan pertama selepas persaraannya, dan kadangkala bertemu rakan-rakannya.
Namun, pada akhir 2024, Oh mula merasakan ada sesuatu yang hilang dalam hidupnya.
“Saya cuba mendorong diri dengan berlatih di gimnasium, tetapi selepas beberapa bulan, saya sedar ia tidak cukup bagi saya.
“Saya rasa kehilangan sesuatu, cuma saya tidak sedar bahawa saya rindukan sukan renang, kerana saya fikir saya sudah membuat keputusan tegas untuk berhenti berenang, dan tidak lagi berminat (untuk berenang),” tambah Oh.
Selepas berbincang dengan ibu bapanya dan teman wanitanya, Claire Tan, perenang artistik negara, beliau akhirnya menyedari beliau sebenarnya merindui sukan renang, dan mula mempertimbangkan untuk menyertai semula sukan itu.
Walaupun masih ada ketidakpastian, beliau ingin sekali kembali bertanding bersama Tan dalam acara utama.
Tambahan pula, beliau masih menikmati debaran ketika berlumba.
Sekitar 10 bulan lalu, Oh mula berlatih dengan bimbingan jurulatih, Roderick Eng dan Jerome Teo, di Sekolah Sukan Singapura (SSS), lapor The Straits Times (ST).
Beliau mengambil sikap lebih berhati-hati dan mengelak latihan renang jarak jauh yang pernah melemahkan semangatnya dahulu.
Justeru, beliau pada mulanya memberi tumpuan kepada acara renang jarak dekat 200 meter dan ke bawah, dengan matlamat menyertai pasukan renang berganti-ganti 4x200 meter gaya bebas dalam Sukan Asia 2026.
Namun, tidak lama kemudian, beliau beralih kepada acara renang gaya bebas 1,500 meter, setelah menyedari bahawa tempoh berehat panjang daripada sukan itu telah menyukarkan beliau mencapai tanda aras bagi acara renang jarak dekat.
Dalam Kejohanan Renang Kumpulan Umur Kebangsaan Singapura pada Mac, beliau meraih tempat keempat dalam acara tersebut – satu pencapaian membanggakan.
Oh kini menetapkan matlamat meraih pingat dalam edisi Sukan SEA pada 2027 dan 2029.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg