Berjauhan daripada skuad kebangsaan Singapura memberikan kesan mendalam buat Ikhsan Fandi.

Walaupun penyokong Singa begitu terdesak mahu melihat penyerang itu kembali beraksi, tiada siapa yang lebih bersemangat untuk melangkah masuk ke padang selain Ikhsan sendiri.

Tatkala penyerang berusia 27 tahun itu mula menemui rentak cemerlangnya di Jepun bersama kelab Thespa Gunma – meraih penampilan pertama dalam kesebelasan utama serta mencipta sejarah sebagai pemain Singapura pertama yang menjaringkan gol di negara itu – kecederaan sekali lagi meragut peluangnya.

Tulang rusuk yang patah telah menyisihkannya daripada saingan Piala Asean Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), sekali gus menambah satu lagi episod kekecewaan dalam penantiannya untuk kembali ke pentas antarabangsa.

“Saya sangat kecewa dan sedih kerana dalam beberapa perlawanan sebelum itu, saya rasa saya semakin menyesuaikan diri dan mula serasi dengan pasukan.

“Saya rasa itu antara persembahan peribadi terbaik saya setakat ini, walaupun saya tidak menjaringkan gol.

“Apabila mendapat tahu tulang rusuk saya retak, memang mengecewakan kerana saya tahu saya perlu berehat selama empat hingga lima minggu dan kemudian perlu bermula semula,” kata Ikhsan yang ditemui Berita Harian (BH) baru-baru ini.

Kini, selepas mengharungi pelbagai halangan, tumpuan utamanya adalah untuk kembali cergas sepenuhnya demi menemui semula sentuhan berbisa, sekali gus menyarung kembali jersi skuad kebangsaan serta membuktikan keupayaannya di pentas antarabangsa.

“Saya mahu menjadi sebahagian daripada pasukan, saya mahu membantu pasukan sebanyak mungkin.

“Saya mahu bermain untuk Singapura, saya mahu menjaringkan gol. Jadi, memang mengecewakan apabila terlepas peluang untuk bersama pasukan,” katanya.

Bagi Ikhsan, terlepas peluang mewakili negara bukan sekadar terlepas beberapa perlawanan, malah terlepas detik berharga untuk kembali berada di samping rakan sepasukan serta insan tersayang.

Namun, peluang itu sekali lagi terlepas daripada genggamannya apabila kecederaan menghalangnya daripada menyertai kempen Piala Asean Fifa.

Keputusan untuk ke Jepun bersama kelab divisyen tiga, Thespa Gunma, dilihat sebagai batu loncatan penting buat Ikhsan Fandi untuk mencabar kemampuannya dan membina kerjaya di luar negara selepas hampir lima tahun di Thailand.
Keputusan untuk ke Jepun bersama kelab divisyen tiga, Thespa Gunma, dilihat sebagai batu loncatan penting buat Ikhsan Fandi untuk mencabar kemampuannya dan membina kerjaya di luar negara selepas hampir lima tahun di Thailand. - Foto ihsan IKHSAN FANDI

Ikhsan menyertai kelab divisyen tiga Jepun itu dengan harapan dapat membuktikan kemampuannya beraksi di luar negara.

Selepas hampir lima tahun beraksi di Thailand bersama BG Pathum United, beliau melihat pemindahan beliau ke Jepun pada Julai lalu sebagai langkah seterusnya dalam kerjayanya.

Walaupun bermula di J3 (tahap ketiga liga Jepun), Ikhsan menganggap peluang itu sebagai batu loncatan untuk membuktikan dirinya.

“Semua pemain sangat serius dan melakukan setiap perkara dengan penuh tujuan. Mereka begitu bersemangat kerana mahu naik ke J2 dan J1, jadi persaingan dalam pasukan memang tinggi,” kongsinya.

Buat masa ini, keutamaan Ikhsan adalah untuk kekal sihat dan bersedia apabila peluang menyertai skuad kebangsaan muncul semula.

Rentetan kecederaan itu bukan sahaja menjejas peluangnya di padang, malah menguji daya ketahanan mentalnya ketika cuba membina kerjaya di luar negara.

Menjalani kehidupan dan proses pemulihan bersendirian di bandar kecil Jepun menguji daya ketahanan mental Ikhsan Fandi, namun beliau menganggap cabaran berdepan kesunyian itu mampu membentuk wataknya menjadi pemain bola sepak dan insan yang lebih baik.
Menjalani kehidupan dan proses pemulihan bersendirian di bandar kecil Jepun menguji daya ketahanan mental Ikhsan Fandi, namun beliau menganggap cabaran berdepan kesunyian itu mampu membentuk wataknya menjadi pemain bola sepak dan insan yang lebih baik. - Foto ihsan IKHSAN FANDI

Berada jauh daripada keluarga dan rakan turut menambah cabaran, terutama ketika beliau perlu menjalani pemulihan dan menunggu peluang untuk kembali beraksi.

“Saya bersendirian di Jepun hampir sepanjang masa, jadi saya mempunyai banyak masa untuk berfikir sendiri di rumah. Kadangkala, saya berasa agak sunyi,” ceritanya.

Berbeza dengan kehidupannya di Thailand, apabila beliau mempunyai adik-beradik dan rakan sepasukan yang beliau rapat, kehidupan di bandar kecil di Jepun memberinya lebih banyak masa bersendirian selepas latihan.

Ada hari, beliau mengenang perjalanan yang telah dilaluinya dengan rasa syukur.

Namun, ada juga hari apabila beliau merindui perkara yang ditinggalkan di rumah dan memikirkan peluang yang terlepas.

Walaupun begitu, Ikhsan tidak menyesali keputusannya untuk beraksi di luar negara.

“Saya rasa pengalaman ini akan membina karakter dan keperibadian saya, serta membantu saya menjadi insan dan pemain bola sepak yang lebih baik,” katanya.

Motivasinya masih jelas – mengukir nama di Jepun, terus beraksi di luar negara dan kembali menyumbang kepada skuad nasional.

Penyerang Singa, Ikhsan Fandi, sentiasa meluangkan masa untuk beramah mesra dan menyuntik inspirasi buat peminat muda seperti Eilshan Shakil Mohammad Sofian (kanan).
Penyerang Singa, Ikhsan Fandi, sentiasa meluangkan masa untuk beramah mesra dan menyuntik inspirasi buat peminat muda seperti Eilshan Shakil Mohammad Sofian (kanan). - Foto SITI ELYZZA BADAR AMIR HUSSAIN SHAH

Walaupun berdepan pelbagai cabaran peribadi, beliau tetap dikenali dengan sikapnya yang mesra dengan peminat dan sentiasa meluangkan masa untuk mereka, demi menyuntik inspirasi dalam diri mereka.

“Saya berharap dapat kekal cergas, sihat dan berada dalam skuad nasional.

Pemain Singapura, Song Ui-young (dari kiri), meraikan dua gol jaringan peribadinya dalam kemenangan 2-1 pada aksi kelayakan Piala Asia di India tahun lalu bersama rakan penyerang The Lions yang sedang berada pada prestasi terbaik, Shawal Anuar, Ikhsan Fandi dan Ilhan Fandi.
Pemain Singapura, Song Ui-young (dari kiri), meraikan dua gol jaringan peribadinya dalam kemenangan 2-1 pada aksi kelayakan Piala Asia di India tahun lalu bersama rakan penyerang The Lions yang sedang berada pada prestasi terbaik, Shawal Anuar, Ikhsan Fandi dan Ilhan Fandi. - Foto FAS

“Saya ingin menjaringkan gol dan terus bermain pada tahap tinggi untuk mendorong golongan muda supaya berani keluar daripada zon selesa dan mencabar kebolehan diri,” tambahnya.

Bagi Ikhsan, segala cabaran hidup di luar negara tidak mengubah keinginannya untuk mewakili Singapura.

Meskipun sedar tidak mampu menentukan bila peluang seterusnya akan tiba, Ikhsan mahu memastikan dirinya sentiasa bersedia apabila dipanggil memperkuat pasukan.

“Saya tahu mengapa saya berada di Jepun dan saya tahu tujuan saya.

“Saya percaya saya hanya perlu terus bekerja keras dan bersedia untuk panggilan seterusnya,” katanya.

Buat masa ini, Ikhsan hanya mahu memulihkan tahap kecergasan, mendapatkan semula ketajaman sentuhan, dan kembali beraksi di padang.

“Saya hanya berharap dapat kekal cergas, terus tajam dan kembali membantu skuad nasional Singapura.

“Saya akan melakukan yang terbaik untuk menjaga diri dan tahap fizikal saya.

“Saya berharap dapat bertemu dengan penyokong Singa tidak lama lagi,” tambahnya.

KECEWA TIDAK DAPAT BERAKSI

“

Saya sangat kecewa dan sedih kerana dalam beberapa perlawanan sebelum itu, saya rasa saya semakin menyesuaikan diri dan mula serasi dengan pasukan. Saya rasa itu antara persembahan peribadi terbaik saya setakat ini, walaupun saya tidak menjaringkan gol. Apabila mendapat tahu tulang rusuk saya retak, memang mengecewakan kerana saya tahu saya perlu berehat selama empat hingga lima minggu dan kemudian perlu bermula semula.
INGIN BERSAMA PASUKAN SINGA

“

Saya berharap dapat kekal cergas, sihat dan berada dalam skuad nasional. Saya ingin menjaringkan gol dan terus bermain pada tahap tinggi untuk mendorong golongan muda supaya berani keluar daripada zon selesa dan mencabar kebolehan diri... Saya berharap dapat bertemu dengan penyokong Singa tidak lama lagi.
PENGALAMAN DI JEPUN

“

Saya bersendirian di Jepun hampir sepanjang masa, jadi saya mempunyai banyak masa untuk berfikir sendiri di rumah. Kadangkala, saya berasa agak sunyi... Saya rasa pengalaman ini akan membina karakter dan keperibadian saya, serta membantu saya menjadi insan dan pemain bola sepak yang lebih baik.
Ikhsan Fandi.